Bantahan Kepada Hujjah Golongan Yang Membenarkan Zikir Menari

Umat Islam telah bersepakat, penggunaan gendang adalah harus dalam majlis-majlis perkahwinan, ketika peperangan dan ketika berhari-raya dengan syarat-syarat yang tertentu. Manakala zikirullah pula adalah suatu ibadah yang perlu di lakukan dalam keadaan al-Tabattul dan al-Khusu’. Allah SWT berfirman:

Maksudnya: “sebutlah nama Tuhanmu, dan beribadatlah kepada-Nya dengan penuh ketekunan.” (al-Muzammil: 8) firman Allah lagi:

Maksudnya: “Belumkah datang waktunya bagi orang-orang yang beriman, untuk khusu’ jantung-hati mereka untuk mengingat Allah…” (al-Hadid: 16)

Perintah berzikir dan beribadah kepada Allah dengan penuh ketekunan dan khusu’ ini menyalahi tujuan diadakan pukulan gendang dan tarian, sekalipun sebahagian golongan mendatangkan seribu-satu alasan. Memasukkan gendang dan tarian ke dalam zikir adalah perbuatan menjadikan sesuatu terkeluar jauh dari tujuannya.

Sesungguhnya ibadah kepada Allah SWT tidak boleh dibina berdasarkan nafsu dan rekaan. Bagaimana hendak dikatakan boleh menari ketika berzikir sedangkan keharusan bergendang dan menari untuk majlis perkahwinan, ketika peperangan dan ketika berhari raya, yang ketiga-tiganya memiliki maksud dan tujuan yang tersendiri. Manakala zikir pula memiliki asas dan tujuan yang jauh berbeza dan tidak memiliki sebarang persamaan sama sekali.

Gerakan dan tarian yang dilarang adalah gerakan dan tarian yang dilakukan sebagai salah satu cara mendekatkan diri kepada Allah SWT. Atau ia dianggap lebih baik dan menjadi amalan ‘Ahli Zikir’ yang telah tenggelam di dalam keasyikan bersama dengan Allah SWT. Inilah yang dapat difahami melalui nukilan-nukilan dari para ulama seperti al-Qurtubi, Ibn Qudamah, ‘Izz al-Din bin ‘Abd al-Salam, Abu Bakr al-Turtusi dan selainnya

Jawapan untuk hadis tarian orang-orang Habashah di dalam masjid di hadapan Nabi SAW. Jika diperhatikan dengan baik, hadis ini sebenarnya tidak boleh dijadikan dalil disyariatkan tarian ketika berzikir. Hal ini kerana, tarian yang dilakukan oleh orang-orang Habashah tersebut bukan ketika atau kerana berzikir. Mereka juga bukan menari kerana hendak berzikir. Sebaliknya mereka ketika itu sedang bermain dan bergembira. Hal ini dapat dibuktikan melalui riwayat-riwayat berikut:

i. Riwayat al-Bukhari dan Muslim daripada ‘Aisyah RA:

لَقَدْ رَأَيْتُ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يَوْمًا عَلَى بَابِ حُجْرَتِي وَالحَبَشَةُ يَلْعَبُونَ فِي المَسْجِدِ، وَرَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يَسْتُرُنِي بِرِدَائِهِ ، أَنْظُرُ إِلَى لَعِبِهِمْ

Maksudnya: “Aku pernah melihat Rasulullah SAW pada suatu hari berada di pintu bilikku, ketika itu orang-orang Habasyah sedang bermain di dalam masjid, dan Rasulullah SAW melindungiku dengan selendang baginda, aku melihat permainan mereka.”

ii. Riwayat Muslim daripada ‘Aisyah RA

جَاءَ حَبَشٌ يَزْفِنُونَ فِي يَوْمِ عِيدٍ فِي الْمَسْجِدِ ، فَدَعَانِي النَّبِيُّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ، فَوَضَعْتُ رَأْسِي عَلَى مَنْكِبِهِ ، فَجَعَلْتُ أَنْظُرُ إِلَى لَعِبِهِمْ ، حَتَّى كُنْتُ أَنَا الَّتِي أَنْصَرِفُ عَنِ النَّظَرِ إِلَيْهِمْ

Maksudnya: “Orang Habasyah datang menari pada hari raya di dalam masjid, Maka Nabi SAW memanggilku, lalu aku meletakkan kepalaku di atas bahu baginda, aku melihat permainan mereka, sehingga aku sendiri berpaling dari melihat mereka.”

iii. Riwayat al-Bukhari dan Muslim daripada Abu Hurairah RA:

بَيْنَا الحَبَشَةُ يَلْعَبُونَ عِنْدَ النَّبِيِّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ بِحِرَابِهِمْ ، دَخَلَ عُمَرُ فَأَهْوَى إِلَى الحَصَى فَحَصَبَهُمْ بِهَا، فَقَالَ: (دَعْهُمْ يَا عُمَرُ)

Maksudnya: “Ketikamana orang-orang Habasyah sedang bermain tombak mereka di sisi Rasulullah SAW, tiba-tiba masuk ‘Umar lalu beliau mengambil seketul batu, hendak membalingnya. Lalu baginda bersabda: “Biarkan mereka wahai ‘Umar.”

iv. Riwayat Ahmad dan Abu Daud daripada Anas bin Malik RA:

لَمَّا قَدِمَ رَسُولُ اللهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ الْمَدِينَةَ لَعِبَتِ الْحَبَشَةُ لِقُدُومِهِ بِحِرَابِهِمْ فَرَحًا بِذَلِكَ

Maksudnya: “Ketikamana Rasulullah SAW sampai di Madinah, orang Habasyah bermain tombak disebabkan ketibaan baginda, kerana gembira dengannya.” (al-Albani: Isnadnya Sahih)

v. Riwayat Ahmad daripada ‘Urwah:

أنَّ عَائِشَةَ قَالَتْ: " قَالَ رَسُولُ اللهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يَوْمَئِذٍ - يعني يوم لعب الحبشة في المسجد، ونظرت عائشة إليهم - ( لِتَعْلَمَ يَهُودُ أَنَّ فِي دِينِنَا فُسْحَةً إِنِّي أُرْسِلْتُ بِحَنِيفِيَّةٍ سَمْحَةٍ

Maksudnya: “Aisyah berkata: “Rasulullah SAW bersabda pada hari orang-orang Habashah bermain di dalam masjid, ketika itu aku melihat permainan mereka: Agar orang-orang Yahudi mengetahui bahawa di dalam agama kita adalanya kelapangan, dan Daku diutuskan dengan membawa agama yang memiliki kelapangan dan keluasan.” (Dinilai sebagai Hasan oleh al-Albani di dalam al-Sahihah 1829)

Jika diperhatikan kepada riwayat-riwayat hadis ini dari jalan yang berbagai, maka dapat diketahui bahawa tarian yang dilakukan oleh orang-orang Habashah tersebut adalah disebabkan bermain atau ketika sangat bergembira. Bukan untuk tujuan berzikir. Disertakan di sini juga perkataan ulama tentang hadis ini:

1.1 al-Imam al-Bukhari meletakkan tajuk untuk hadis ini sebagai: باب الحراب والدَّرَق يوم العيد iaitulah: Bab Lembing-lembing dan perisai-perisai (yang dimainkan) pada hari Raya”.

1.2 Kata al-Imam al-Nawawi: “Padanya ada keharusan bermain dengan pedang dan seumpamanya terdiri dari kelengkapan perang di dalam masjid, dan disamakan dengannya apa-apa yang semakna dengannya dari sebab-sebab tertentu untuk berjihad.” (Syarh Muslim 6/271)

1.3 Al-Imam Ibn Hajar berkata: “Dan dijadikan dalil dengannya akan keharusan permainan pedang dalam bentuk saling menerkam bagi tujuan latihan berperang dan pencergasan untuknya.” (Fath al-Bari 2/445)

Riwayat dari Sayyidina ‘Ali bin Abi Talib yang mensifatkan keadaan para sahabat beribadah dan berzikir pada malam hari dinilai Dhaief oleh al-Albani, beliau berkata:

وبهذه المناسبة لا بد من التذكير نصحاً للأمة، بأن ما يذكره بعض المتصوفة، عن علي رضي الله عنه أنه قال وهو يصف صحاب النبي صلى الله عليه وسلم: كانوا إذا ذكروا الله مادوا كما تميد الشجرة في يوم ريح .فاعلم أن هذا لا يصح عنه رضي الله عنه، فقد أخرجه أبو نعيم في "الحلية" (1/76) من طريق محمد بن يزيد أبي هشام: ثنا المحاربي ، عن مالك بن مغول ، عن رجل من (جعفى) عن السدي ، عن أبي أراكة ، عن علي. قلت: وهذا إسناد ضعيف مظلم.
1. أبو أراكة، لم أعرفه، ولا وجدت أحداً ذكره، وإنما ذكر الدولابي في((الكنى)) (أبو أراك) وهو من هذه الطبقة، وساق له أثراً عن عبد الله بن عمرو، ولم يذكر فيه جرحاً ولا تعديلاً كعادته.
2. الرجل الجعفي لم يسم كما ترى فهو مجهول.
3. محمد بن يزيد قال البخاري: ((رأيتهم مجمعين على ضعفه))

Maksudnya: “Di sini di berikan peringatan sebagai nasihat kepada ummat, bahawa apa yang dinyatakan oleh sebahagian orang yang bersufi tentang riwayat dari ‘Ali RA yang mensifatkan para sahabat Nab SAW dengan berkata: “Mereka dahulunya apabila berzikir, akan bergerak sepertimana bergeraknya pokok ditiup angin.” Maka ketahuilah bahawa ini adalah tidak sahih daripada ‘Ali. Ia (cerita ini) telah dikeluarkan oleh Abu Nu’aim di dalam al-Hilyah 1/76 dari jalan Muhammad bin Yazid, Abi Hisham: “Menceritakan kepada kami al-Muharibiy, daripada Malik bin Mighwal, daripada seorang lelaki dari Ju’fa, daripada Suddiy, daripada Abu Arakah, daripada ‘Ali. Aku (al-Albani katakan: “Isnad ini adalah Dhoief. 1) Abu Arakah, tidak aku ketahui tentangnya, tidak aku dapati seseorangpun menyebut tentangnya. Hanyasanya al-Dulabiy menyebut di dalam al-Kuna sebagai Abu Arak, dan ia dari tabaqah ini, beliau (al-Dulabiy) menyertakan baginya satu athar daripada Abdullah bin ‘Amr, namun beliau tidak menyatakan sebarang tajrih atau ta’dil padanya seperti kebiasaan beliau. 2) lelaki Ju’fa itu tidak dinyatakan namanya, maka ia majhul. 3) Muhammad bin Yazid pula al-Bukhari berkata: “Aku melihat mereka semua (para ulama hadis) bersepakat akan kelemahannya.” (al-Silsilah al-Sahihah 3/307-308)

Hadis daripada 'Ali:

قال علي رضي الله عنه : زرت النبي صلى الله عليه وسلم مع جعفر وزيد بن حارثة ، فقال النبي صلى الله عليه وسلم لزيد : ( أنت مولاي ) فبدأ زيد يحجل ويقفز على رجل واحدة حول النبي صلى الله عليه وسلم ، ثم قال لجعفر : ( أما أنت فتشبهني في خَلقي وخُلقي ) فحجل جعفر كذلك ، ثم قال لي : ( أنت مني وأنا منك ) فحجل خلف جعفر

Maksudnya: “Kata ‘Ali RA: “Aku menziarahi Nabi SAW bersama dengan Ja’far dan Zaid bin Harithah. Sabda Nabi SAW kepada Zaid: “Kamu Maulaku.” Lalu zaid mula Hajal dan melompat-lompat dengan sebelah kakinya mengelilingi Nabi SAW. Kemudian baginda bersabda: kepada Ja’far: “Adapun kamu, maka kamu menyerupaiku pada rupa paras dan akhlak.” Lalu Ja’far juga berhajal seperti itu juga. Kemudian baginda bersabda kepadaku: “Kamu adalah daripadaku dan aku daripadamu.” lalu ‘Ali berhajal di belakang Ja’far.”

Hadis ini Dhoief/Lemah. Hadis ini diriwayatkan oleh Imam Ahmad 2/213. Hadis ini padanya terdapat dua illah:

i. Jahalah salah seorang rawinya bernama Hani’ bin Hani (هانئ بن هانئ) Al-Hafidz Ibn Hajr al-‘Asqalani berkata:

ذكره ابن سعد في الطبقة الأولى من أهل الكوفة ، قال : وكان يتشيع ، وقال ابن المديني : مجهول ، وقال حرملة عن الشافعي : هانئ ابن هانئ لا يُعرف وأهل العلم بالحديث لا يثبتون حديثه لجهالة حاله ." تهذيب التهذيب " ( 11 / 22 ) .

Maksudnya: “Ibn Sa’ad menyebut tentangnya di dalam al-Tobaqat al-Ula dari kalangan Ahli Kufah, katanya: “Dia seorang yang bertasyyu’.” Kata Ibn al-Madini: “Dia seorang yang majhul.” Kata Harmalah dari al-Syafie: “Hani’ bin Hani’ tidak dikenali, dan Ahli Ilmu hadis tidak menghukum thabit hadisnya disebabkan jahalah halnya.”

ii. Tadlis Abi Ishak al-Sabi’ie (أبي إسحاق السبيعي)

Abu Sa’id al-‘Alla’ie (أبو سعيد العلائي) berkata: “’Amr bin ‘Abdillah al-Sabi’ie, Abu Ishak, seorang yang masyhur dengan kuniyyah, telah dinyatakan sebelum ini bahawa beliau adalah seorang yang banyak melakukan tadlis (مكثر من التدليس).” (Lihat Jami’ al-Tahsil fi Ahkam al-Marasil. Halaman: 245)

Selain itu, hadis ini juga telah dihukum sebagai Lemah oleh para pentahkik kitab Musnad Ahmad dengan kata mereka:

إسناده ضعيف ، هانئ بن هانئ تقدم القول فيه ، ومثله لا يحتمل التفرد ، ولفظ " الحجل " في الحديث منكر غريب

Maksudnya: “Isnadnya Lemah, Hani bin Hani telah dinyatakan sebelum ini tentangnya, seumpama beliau tidak diambil tafarrudnya. Manakala lafaz ‘Hajal’ yang terdapat di dalam hadis adalah mungkar lagi gharib.”

Hadis ini terdapat juga dari jalan lain yang diriwayatkan oleh Ibn Sa’ad di dalam al-Tobaqat 4/35,36 daripada Ja’far bin Muhammad daripada Bapanya. Namun hadis ini Mursal kerana Muhammad al-Baqir bin ‘Ali Zain al-‘Abdidin tidak berjumpa dengan mana-mana sahabat yang disebut di dalam hadis seperti yang dinyatakan oleh al-Zaila’ie di dalam Nasb al-Rayah li Ahadith al-Hidayah 3/268, demikian juga al-Albani di dalam al-Silsilah al-Dha’iefah 3/256.

iii. Jika diandaikan hadis ini sahih sekalipun, namun ia bukan bermaksud tarian yang dilakukan di dalam halaqah zikir mengingati Allah SWT. Sebaliknya ia berlaku sebagai menyatakan kegembiraan terhadap pujian baginda SAW kepada mereka. Maka sudah tentu perbuatan seperti ini adalah suatu yang harus. Al-Imam al-Baihaqi berkata:

وفى هذا - إن صح ! - دلالة على جواز الحجَل ، وهو أن يرفع رجلاً ويقفز على الأخرى من الفرح ، فالرقص الذي يكون على مثاله يكون مثله في الجواز ، والله أعلم

Maksudnya: “Jika ia sahih, ia adalah bukti akan keharusan al-Hajal, iaitulah dengan cara diangkat sebelah kaki dan menari dengan sebelah kaki yang satu lagi kerana kegembiraan. Maka tarian yang berlaku kerana seumpamanya, maka hukumnya sama adalah harus, wallahu a’lam.” (al-Sunan al-Kubra 10/226)

Ibn Hajar al-Haitami RH ketika membatah golongan sufi berhujjah dengan hadis ini atas keharusan menari ketika berzikir berkata:

أن هذه كلها أحاديث منكرة ، وألفاظ موضوعة مزورة . ولو سلمت صحتها لم تتحقق حجتها ؛ أي : لأن المحرم هو الرقص الذي فيه تثن وتكسر، وهذا ليس كذلك

Maksudnya: “Bahawa semua ini adalah hadis-hadis mungkar, lafaz-lafaz yang direka-reka dan didustakan, sekalipun jika diandaikan ia sahih, tetap tidak dapat terlaksana hujjahnya, iaitulah yang diharamkan itu adalah tarian yang padanya terdapat lenggokan dan goyangan, namun yang ini bukan seperti tersebut.” (Kasyf al-Ri’aa’ ‘An Muharramat al-Lahw wa al-Sama’: 75)

Berdalilkan boleh zikir menari berdasarkan ayat al-Quran dari surah Ali Imran: 191 adalah terjadi dari salah faham dalam memahami ayat al-Quran tersebut.

Ayat ini sebenarnya menceritakan tentang keadaan Ulul Albab, dimana mereka sentiasa mengingati Allah samada ketika berdiri, duduk mahupun berbaring. Ayat ini tidak menceritakan mereka menari ketika mengingati Allah SWT. al-Imam al-Qurtubi ketika menafsirkan ayat ini berkata:

ومعنى الآية: إنَّ في خلق السموات والأرض واختلاف الليل والنهار لآيات لأولي الألباب، الذاكرين الله قيامًا وقعودًا وعلى جنوبهم، يعني بذلك: قيامًا في صلاتهم، وقعودًا في تشهدهم وفي غير صلاتهم، وعلى جنوبهم نيامًا

Maksudnya: “Dan makna ayat ini, sesungguhnya pada penciptaan langit-langit dan bumi dan pertukaran malam dan siang, memiliki tanda-tanda (kebesaran Allah) bagi Uli al-Albab iaitulah orang yang mengingati Allah dalam keadaan berdiri, duduk dan ketika berbaring, iaitulah ketika berdiri di dalam solat mereka, ketika duduk bertasyahhud dan duduk di luar solat dan ketika berbaring untuk tidur.” (Tafisr al-Qurtubi 7/474)

Selain itu golongan Ulul Albab yang dinyatakan di dalam ayat, mengingati Allah SWT hasil dari memikirkan ciptaan Allah SWT, bukan bermaksud mereka mengingati Allah dalam keadaan tidak sedarkan diri dan tidak mengetahui apa yang ada disekeliling mereka seperti yang berlaku kepada golongan sufi yang menari ketika berzikir.

Daripada ‘Abdullah bin ‘Umar katanya:

سمعت رسول الله صلى الله عليه وسلم وهو على المنبر يقول: يأخذ الجبار سماواته وأرضيه بيده، وقبض يده فجعل يقبضها ويبسطها، ثم يقول: أنا الجبار، أنا الملك، أين الجبارون؟ أين المتكبرون؟ قال: ويتمايل رسول الله صلى الله عليه وسلم عن يمينه وعن شماله حتى نظرت إلى المنبر يتحرك من أسفل شيء منه حتى إني لأقول أساقط هو برسول الله صلى الله عليه وسلم"، وفي رواية أحمد: "...حتى رجف به المنبر حتى ضننا أنه سَيَخِرُّ به

Maksudnya: “Aku pernah mendengar Rasulullah SAW ketika berada di atas mimbar bersabda: “Tuhan yang maha Perkasa mengambil kesemua petala langit dan bumi dengan tanganNya, dan menggenggam tanganNya itu, menggenggam dan membukanya, kemudian berfirman: “Aku tuhan yang al-Jabbar, Aku tuhan yang al-Malik. Di mana al-Jabbarun yang lain? Di mana al-Mutakabbirun?” Ibn ‘Umar berkata: “Dan rasulullah SAW bergerak ke kanan dan ke kiri, sehingga aku melihat mimbar bergerak sedikit di bahagian bawahnya, sehingga aku berkata: “Apakah mimbar itu akan menyebabkan Rasulullah jatuh?” di dalam riwayat Ahmad: “Sehingga menjadikan mimbar bergerak, sehingga kami menyangka ia akan menjatuhkan baginda.”

Hadis ini tidak boleh dijadikan dalil membenarkan perbuatan zikir menari. Alasannya adalah seperti berikut:

i. Hadis tersebut diriwayatkan juga oleh Muslim di dalam Sahihnya (2788) dengan lafaz:

عَنْ عُبَيْدِ اللهِ بْنِ مِقْسَمٍ: أَنَّهُ نَظَرَ إِلَى عَبْدِ اللهِ بْنِ عُمَرَ كَيْفَ يَحْكِي رَسُولَ اللهِ -صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ-، قَالَ: يَأْخُذُ اللهُ -عَزَّ وَجَلَّ- سَمَاوَاتِهِ وَأَرَضِيهِ بِيَدَيْهِ، فَيَقُولُ: أَنَا اللهُ - وَيَقْبِضُ أَصَابِعَهُ وَيَبْسُطُهَا - أَنَا الْمَلِكُ»، حَتَّى نَظَرْتُ إِلَى الْمِنْبَرِ يَتَحَرَّكُ مِنْ أَسْفَلِ شَيْءٍ مِنْهُ، حَتَّى إِنِّي لَأَقُولُ: أَسَاقِطٌ هُوَ بِرَسُولِ اللهِ -صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ

Di dalam riwayat Muslim ini tidak terdapat lafaz:

ويتمايل رسول الله صلى الله عليه وسلم عن يمينه وعن شماله

Dalam riwayat lain pula ia datang dalam bentuk yang berbeza-beza. Dimana sebahagian menyebut يميل dan sebahagian lain dengan lafaz يتميل. Ini menunjukkan riwayat yang mengithbatkan lafaz ini diriwayatkan secara makna. Kerana itu al-Imam al-Nawawi berkata:

قَوْلُهُ -فِي الْمِنْبَرِ-: (يَتَحَرَّكَ مِنْ أَسْفَلِ شَيْءٍ مِنْهُ)، أَيْ: مِنْ أَسْفَلِهِ إِلَى أَعْلَاهُ ؛ لِأَنَّ بِحَرَكَةِ الْأَسْفَلِ يَتَحَرَّكُ الْأَعْلَى. ويحتملُ أَنَّ تَحَرُّكَهُ بِحَرَكَةِ النَّبِيِّ -صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ- بِهَذِهِ الْإِشَارَةِ، قَالَ الْقَاضِي: وَيُحْتَمَلُ أَنْ يَكُونَ بِنَفْسِهِ ؛ هَيْبَةً لَسَمْعِهِ كَمَا حَنَّ الْجِذْعُ. ثُمَّ قَالَ: وَاللَّهُ أَعْلَمُ بِمُرَادِ نَبِيِّهِ -صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ

Maksudnya: “perkataan beliau tentang mimbar: “mimbar itu bergerak dari bahagian bawah.” Iaitulah dari bahagian bawah hingga ke atasnya, kerana dengan pergerakan bahagian bawah akan bergerak juga bahagian atas. Boleh dipikul membawa maksud pergerakan itu disebabkan pergerakan Nabi SAW ketika membuat isyarat tersebut. Kata al-Qadhi: barangkali juga pergerakan itu dengan sendirinya kerana haibah dengan apa yang didengarinya sepertimana batang pokok tamar pernah menangis. Kemudian beliau berkata: “Allah sahaja yang maha mengetahui maksud nabiNya SAW…” (Syarh Sahih Muslim: 17/132)

ii. Jika diandaikan lafaz تمايل diterima sekalipun, ia bukanlah menunjukkan bolehnya zikir menari. Sebaliknya ia tidak lebih dari menunjukkan tindak-balas baginda ketika memberi penerangan ilmu atau ketika menyampaikan ilmu kepada para sahabat. Ia sama seperti hadis lain yang diriwayatkan daripada Jabir bin ‘Abdillah menceritakan baginda apabila berkhutbah akan merah-padam kedua-dua mata, tinggi suara, dan tegas seperti seorang yang memberi arahan kepada tentera.

Maka suatu yang tidak masuk akal seorang yang menjiwai khutbah yang disampaikan seperti yang disifatkan oleh Jabir hanya berdiri kaku tanpa sebarang pergerakan. Bahkan sudah semestinya akan bergerak samada ke kira mahupun ke kanan.

 


Cetak  
Wallahu a'lam