SDI 1089: Hukum Membiarkan Kucing Peliharaan Mengotorkan Rumah Jiran

Soalan:
Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh, yg saya hormati yg berbahagia Ustaz.
Soalan saya : 1 Apakah berdosa jika kita membiarkan kucing peliharaan kita(tidak mengurung) bebas merayau dan membuang najis dan kencing merata di rumah jiran-jiran?
2 Adakah berdosa skiranya tidak memberi mkn pd kucing yg mendatang di rumah(kerana khuatir kucing tersebut mengotori rumah2 jiran) atau kucing2 liar di jalanan?
3 Apakah hukum mengutamakan kebajikan kucing lebih dari ahli kluarga sdri cthnya anak, suami , cucu dsbnya?

Jawapan:

Wa'alaikumussalam warahmatullah.

1. Ya, berdosa jika jiran anda terganggu dengan najis kucing anda tersebut. Oleh itu anda semestinya mengurung kucing peliharaan agar tidak mengotorkan rumah jiran terutamanya jika anda tinggal di taman-taman perumahan. Jika di kampung, kemungkinan besar masalah ini tidak berlaku kerana tanah yang luas menjadikan kucing itu bebas berkeliaran dan akan mencari sendiri tempat yang sesuai untuk najisnya. Membiarkan kucing peliharaan kita mengotorkan rumah jiran termasuk mendatangkan perkara yang menyakiti jiran sedang mereka tidak ada kena mengena dengan sebab kedatangan najis tersebut . Firman Allah SWT:

وَٱلَّذِينَ يُؤۡذُونَ ٱلۡمُؤۡمِنِينَ وَٱلۡمُؤۡمِنَٰتِ بِغَيۡرِ مَا ٱكۡتَسَبُواْ فَقَدِ ٱحۡتَمَلُواْ بُهۡتَٰنٗا وَإِثۡمٗا مُّبِينٗا

Maksudnya: "Dan orang-orang yang menyakiti orang-orang mukmin laki-laki dan perempuan, tanpa ada kesalahan yang mereka perbuat, maka sungguh, mereka telah memikul kebohongan dan dosa yang nyata." (al-Ahzab: 58)

2. Allah SWT telah menciptakan bagi kucing habitatnya yang tersendiri. Anda tidak memberi makan kepadanya, dia tetap mendapat makan dari serangga-serangga yang berkeliaran, cuma mungkin kucing itu tidak gemuk dan gebu. Namun itulah habitatnya. Cuba timbangkan; amalan memberi makan kepada kucing adalah SUNAT, manakala menyakiti jiran adalah HARAM. Apakah bijak seorang muslim melakukan perkara yang haram kerana hendak mendapatkan perkara yang sunat? Amat rugi orang yang telah rosak pertimbangannya.

3. HARAM dan TERAMAT RUGI orang yang melakukan hal sedemikian. Dia telah terperangkap dengan tipudaya iblis.


Cetak  
Wallahu a'lam