Tidak Semua Minuman Yang Mengandungi Etanol Itu Arak

Soalan:

Assalamualaikum ustaz


Apakah hukumnya minuman non alkohol dimana ia diproses dari air perahan bijirin (misalnya barli, gandum, beras) atau buahan (misalnya epal, anggur, berries) atau tumbuhan lain seperti tebu, halia dan lain2.  

 

Dalam proses Itu air perahan tersebut dicampurkan yis (ragi) dan diperam untuk proses fermentasi (penapaian) hingga terhasil etanol.  Tempoh fermentasinya lebih pendek dari minuman arak. Kemudian  ia dipanaskan pada suhu 70 °C supaya alkohol terbebas hingga menjadi 0% atau tidak lebih dari 0.5% alkohol per isipadu.

 

1. Apakah hukumnya minuman dari proses tersebut?

 

2. Adakah minuman seperti Ini sudah ada sejak zaman salaf dan adakah ia adalah nabiz?

 

Mohon pencerahan dari ustaz dan maaf pada soalan ini. Ahsanallahu ilaik. Jazakallahu khaira ustaz. 03:28 PM

 

Jawapan:

 

Soalan pertama: Apakah hukumnya minuman dari proses tersebut?

 

Jawapan: Semua minuman yang tidak dikategorikan sebagai alkohol, sebaliknya non alkohol, maka ia halal diminum dan ia bukan arak. Adanya etanol dalam sesuatu minuman tidak semestinya minuman itu arak, kerana etanol bukan arak. Arak ialah minuman yang memabukkan, dan di dalam arak ada etanol, tetapi tidak semua etanol itu memabukkan. Maka minuman yang memiliki kandungan etanol yang tidak memabukkan bukan arak dan halal diminum. Kerana itu kita akan tengak di dalam riwayat hadis menceritakan Nabi SAW meminum air peraman tamar atau nabiz sehingga tiga hari. Nabiz ialah air orang Arab dahulu mereka nak bagi air itu sedap dan manis, mereka akan peramkan rutab atau tamar dalam air, supaya air itu terasa manis rutab atau tamar. Nabi SAW letak tamar dalam air, ada riwayat yang menyebut Nabi meminum air peraman itu berterusan sehingga tiga hari, maknanya tamar yang diperam, sudah tentu berlaku fermentasi atau penapaian, sudah tentu ada etanol di dalam minuman tersebut. Tetapi selagi ia tidak memabukkan maka minuman itu bukan arak. Kerana itu minuman yang telah dinyatakan sebagai zero alkohol, pada hakikatnya tiada minuman yang telah melalui proses penapaian itu zero alkohol, bahkan kandungan alkohol atau etanol itu pasti ada, paling kurang 0.5%, kerana etanol yang telah terhasil dari proses penapaian itu tidak boleh dinyahkan semua sekali, berdasarkan apa yang dimaklumkan kepada saya. Kerana itu minuman yang mengandungi etanol pada kadar yang tidak memabukkan bukan arak, maka ia adalah minuman yang halal.

Secara ringkasnya, minuman yang tidak dikategorikan sebagai minuman yang beralkohol, maka minuman tersebut adalah halal diminum.

 

Soalan kedua: Adakah minuman seperti ini telah ada sejak zaman salaf dan adakah ia dikira nabiz?

 

Jawapannya: ya, telah ada, seperti yang saya sebut di awal tadi, di mana nabiz dari huruf نبذ, iaitulah perbuatan mencampak tamar atau rutab ke dalam air yang hendak dibuat nabiz, bagi tujuan air itu berasa manis, lalu mereka minum air yang terasa manis disebabkan tamar yang diperam di dalamnya. Saya sebut di awal tadi, Nabi SAW ada minum nabiz yang diperam sehari, dua hari dan tiga hari. Selepas tiga hari Nabi SAW tidak minum lagi air peraman tersebut. Lepas tu air tu baginda buat apa? Nabi SAW serahkannya kepada khadam, kemudian khadam itu akan tengak, jika air itu telah غلى dan اشتداد iaitulah apabila ia telah berbuih dan bergas, maka khadam itu tengak kalau memabukkan dia akan buang, kalau masih belum memabukkan ia akan minum. Ketika itu sudah tentu etanol itu ada kerana ia telah melalui proses penapaian beberapa hari. Hadis ini menunjukkan bukan setakat tiga hari sahaja boleh minum, bahkan ukuran menuntukan nabiz bertukar menjadi arak apabila ia memabukkan, bukan hanya semata-mata dengan keberadaan etanol, kerana etanol bukan arak, kerana arak adalah minuman yang memabukkan.

 

Jadi, apabila sesuatu nabiz itu telah tiga hari diperam, Nabi SAW serahkannya kepada khadam. Jika khadam itu mendapati minuman tersebut masih boleh diminum dan belum memabukkan, dia akan minum. Ini menunjukkan etanol telah ada dalam minuman nabiz tersebut, Nabi dan para sahabat masih meminumnya, kerana ia masih belum memabukkan.

 

Jadi apakah minuman yang diharamkan? jawapannya: minuman yang diharamkan adalah minuman yang memabukkan. Berapa persen alkohol yang dapat memabukkan? Sehingga kini kita masih belum ada kajian yang begitu jelas dalam permasalahan ini. Ini perkara yang mengecewakan kita, sehingga tidak ada di kalangan orang Islam yang buat kajian ini secara pasti, bagi mengetahui sebagai contoh barli yang diperam, berapa persen etanol yang akan memabukkan, sehingga bertukar hukumnya menjadi arak. Gandum yang diperam, berapa persen dia akan غلى  dan اشتد iaitulah ia menggelegak atau berbuih dan berasid sehingga memabukkan, beras yang diperam, berapa lama ia akan menghasilkan kandungan etanol yang memabukkan. Ketika ia memabukkan itu, banyaknya haram dan sedikitnya pun haram. Sama juga berapa lama epal, anggur yang diperam akan menghasilkan kandungan etanol yang memabukkan, tebu dan halia, semua ini memerlukan kajian bagi memastikan pada kadar mana, segala jenis bahan yang diperam itu akan menghasilkan kandungan etanol yang memabukkan. Jika dapat dipastikan tempoh tertentu peraman akan menghasilkan kadar etanol yang memabukkan, maka pada ketika itu minuman yang mengandungi kadar tersebut diharamkan, sama ada banyak mahupun sedikit, kerana ia mengandungi kadar etanol yang memabukkan. Adapun jika hanya sekadar mengandungi etanol, tetapi kadar yang tidak memabukkan, seperti 1 atau 1.5% sebagai contoh, dan kadar itu dapat dipastikan tidak memabukkan, maka ia bukan arak dan ia halal diminum sedikit mahupun banyak.

 

Ini yang malang, di mana kita tidak memiliki kajian yang jelas untuk memastikan perkara ini. Orang agama dan ustaz tak tahu perkara ini, kerana bukan bidang ustaz. Sepatutnya orang tertentu dan pakar dalam bidang berkaitan, sepatutnya dari dahulu membuat kajian untuk memastikan setiap bahan yang diperam, berapa lama ia akan menghasilkan kandungan etanol yang memabukkan.

 

Saya percaya perkara ini boleh dikenal pasti. Kerana apa? kerana negara kita sebagai contoh, JPJ telah ada alat untuk kenalpasti kandungan alkohol yang ada dalam pernafasan dan darah pemandu. Dapat dikesan berapa peratus kandungan alkohol yang ada dalam nafas dan darah pemandu, kandungan dalam air kencing dan seumpamanya, boleh dikenalpasti. Maka mustahil kita tak dapat kenalpasti pada tahap mana kandungan etanol dalam setiap minuman yang boleh memabukkan. Tetapi masalah adalah sikap kita yang hanya berpada dengan kajian dari barat sahaja. Barat kata minuman yang memiliki etanol di bawah 2% bukan minuman beralkohol, lebih dari 2% dikategorikan sebagai minuman beralkohol, lalu kita ambil bulat-bulat, sedangkan kita tak buat kajian sendiri. Barat tiada dalam kepala mereka nak kenal pasti halal dan haram. Kita umat Islamlah yang kena kaji untuk memastikannya.

 

Saya sebut lagi sekali, bukan hanya semata-mata keberadaan etanol dalam minuman menjadikan ia arak, kerana etanol bukan arak. Sebaliknya arak ialah minuman yang memabukkan. Zaman dahulu dikenali apabila sesuatu minuman itu mula غلى  dan اشتد, mula berbuih dan berasid, ia mula menggelegak dan berbuih, baru dikira boleh memabukkan. Sebelum berlaku غلى  dan اشتد, etanol telah ada, kerana غلى  dan اشتد itu berlaku beberapa hari setelah diperam, dan etanol terhasil sebaik sahaja berlaku proses pemeraman, dan ia bukan lagi dikategorikan sebagai arak kerana ia masih tidak memabukkan.

 

Kerana itu kena ada kajian, pada tahap dan kandungan bagaimana etanol itu memabukkan, maka pada ketika itu minuman tersebut termasuk di dalam kategori arak yang diharamkan, sama ada banyak mahupun sedikit.

 

Sebagai contoh, kita andaikan anggur yang diperam sehingga menghasilkan etanol sebanyak 1.5% mampu memabukkan, maka peraman anggur yang mengandungi kandungan etanol sebanyak 1.5% adalah arak yang diharamkan. Jika etanol yang ada dalam sesuatu peraman anggur baru mengandungi 1% etanol atau kurang dari 1.5%, ia bukan arak, sebaliknya ia adalah jus anggur yang halal diminum, sama ada banyak mahupun sedikit.  


Cetak  
Wallahu a'lam