SDI 1302: Hukum Pembedahan Kecantikan dan Menanam Rambut Yang Gugur

Thursday, December 19, 2013

Soalan:

Saya mempunyai dua telinga yang agak panjang dan kelihatan buruk dan hodoh. Untuk menutup aib tersebut, saya  membiarkan rambut terbiar panjang. Namun masalah saya sekarang rambut saya pula asyik keguguran. Apa yang perlu saya lakukan? Sama ada membuat pembedahan kecantikan untuk telinga atau menanam semula rambut yang gugur.

 

Jawapan:

Pertama: Harus menjalani perubatan menanam semula rambut yang gugur. Keharusan ini berdasarkan keizinan yang diberikan oleh Nabi SAW kepada ‘Arfajah bin Sa’d (عرفجة بن سعد) yang terpotong hidungnya dalam peperangan, untuk membaiki hidungnya itu dengan menggunakan emas. Hadis ini diriwayatkan oleh al-Tirmizi dan beliau menilainya sebagai Hasan.

Kedua: Tidak boleh melakukan pembedahan kecantikan pada telinga puan, selama mana kedua-dua telinga tersebut tidak sampai ke tahab aib yang jelas. Jika tidak ia akan termasuk dalam perbuatan mengubah ciptaan Allah SWT yang dilarang. Allah SWT berfirman:

وَلَآمُرَنَّهُمْ فَلَيُغَيِّرُنَّ خَلْقَ اللَّهِ

Maksudnya: "dan Aku (Syaitan) akan menyuruh mereka mengubah ciptaan Allah". (al-Nisaa’: 119)

Garis panduan dalam persoalan pembedahan kecantikan ini ialah sekiranya pembedahan tersebut dilakukan hanya sekadar untuk mengelok dan mencantikkan sahaja, maka ia adalah terlarang. Sebaliknya jika pembedahan itu dilakukan bagi tujuan menghilangkan aib dan hodoh yang jelas, maka ia adalah harus. Inilah yang telah difatwakan oleh sekumpulan ulama, antara mereka ialah al-Syeikh Muhammad bin Soleh al-‘Uthaimin RH, beliau menyebut:

القاعدة في هذه الأمور أن العملية لإزالة العيب جائزة، والعملية للتجميل غير جائزة، ودليل ذلك أن النبي صلى الله عليه وآله وسلم لعن المتفلجات في أسنانهن من أجل تجميل السن، ولكنه أذِنَ لأحد الصحابة -رضي الله عنه- لما أصيبت أنفه وقطع أن يتخذ أنفاً من ذهب، فالقاعدة: أن ما كان لإزالة عيب فهو جائز، وما كان لزيادة التجميل فهو ليس بجائز. فمثلاً: لو كان الأنف أعوج وأجرى عملية لتعديله، فلا بأس؛ لأن هذا إزالة عيب، أو كانت العين حولاء فأجرى عملية لتعديلها، فلا بأس؛ لأنه إزالة عيب. فهذا الأنف إذا كان كبره يعتبر عيباً، فهذا عيب ولا بأس بإجراء عملية، أما إذا كان فيه كبر وتصغيره يكون أجمل، فإن هذا يعتبر تجميلاً فهو كالتفلّج، والتفلج لا يجوز

Maksudnya: Dan kaedah untuk perkara ini, bahawa pembedahan bagi tujuan menghilangkan keaiban adalah harus. Manakala pembedahan bagi tujuan mencantikkan (semata-mata) adalah tidak harus (tidak boleh). Dalil dalam perkara ini ialah Nabi SAW telah melaknat al-Mutafallijaat (wanita yang meminta di jarakkan) gigi-giginya bagi tujuan mencantikkan gigi. Namun baginda telah memberi keizinan kepada salah seorang sahabat RA yang terpotong hidungnya di dalam peperangan untuk menggantikan hidungnya yang terpotong itu dengan emas. Maka kaedah (dalam permasalahan ini) ialah: “Bahawa apa-apa yang bertujuan menghilangkan keaiban maka ia adalah harus. Manakala apa-apa yang bertujuan menambahkan kecantikan, maka ia tidak boleh.” Sebagai contoh: sekiranya sesuatu hidung itu senget, lalu dilakukan pembedahan untuk membetulkannya, maka tidak mengapa, kerana ia termasuk menghilangkan aib. Atau mata yang juling, lalu dijalankan operasi membetulkannya, maka tidak mengapa, kerana ia termasuk proses menghilangkan aib. Demikianlah hidung, jika ia besar dan dikira sebagai satu keaiban, maka aib yang seperti ini tidak mengapa untuk dilakukan pembedahan. Adapun jika besar (yang biasa), dan mengecilkannya adalah lebih cantik, maka ketika itu ia termasuk proses mencantikkan seperti al-Tafalluj, dan ianya adalah terlarang.” (Majmu’ Fatawa wa Rasa’il, jilid 17)


Cetak  
Wallahu a'lam