al-Imam al-Ghazali RH

Beliau ialah Abu Hamid, Muhammad bin Muhammad bin Muhammad bin Ahmad al-Ghazzali. Mendapat gelaran laqab sebagai Hujjah al-Islam حجة الإسلام

Terdapat dua pandangan berkaitan nisbah beliau: 

Pertama: Berpandangan beliau dinisbahkan kepada kampung di Tus (طُوس) yang dipanggil Ghazalah (غَزَالَة), menjadikan nisbah beliau ialah al-Ghazali (الغزَاليّ) dengan takhfif huruf "zai". Di dalam Taj al-'Arus (تاج العَروس) kalimah غَزَالَة sebutannya seperti سَحَابَة , di mana ia (Ghazalah) merupakah satu kampung di Tus, kepadanya dinisbahkan Abu Hamid (al-Ghazaliy).  al-Imam al-Nawawi menyebut perkara ini di dalam al-Tibyan. 

Di dalam al-Wafi al-Wafayat (الوافي بالوفيات) dinyatakan: "Bahawa beliau (al-Ghazali) menyatakan di dalam sebahagian tulisannya: "Dan ada kaum yang menisbahkan aku kepada al-Ghazzal, sebenarnya aku adalah al-Ghazaliy (الغزَاليّ) nisbah kepada satu kampung yang dinamakan al-Ghazalah dengan takhfif huruf "Zai".

Kedua: Sebahagian lain berpandangan nisbah beliau ialah al-Ghazzali (الغزَّاليّ) dinisbahkan kepada (غَزَّال) dengan tasydid huruf "Zai", maka beliau digelar al-Ghazzali (الغزَّاليّ). Ia merupakan penisbahan kepada bapa beliau, seorang pembuat Ghazl al-Suf غَزْل الصوف (tukang tenun atau anyam kain bulu). al-Subki menghikayatkan penisbahan al-Ghazzali (الغزَّاليّ) di dalam al-Tabaqat al-Wusta. Kata al-Sayyid Murtadha al-Zabidi di dalam Ithaf al-Sadah al-Muttaqin: "Berkata pemilik kitab Tuhfah al-Irsyad, sebagai menukilkan daripada al-Nawawi di dalam Daqa-iq al-Rawdhah, al-Tasydid pada الغزَّاليّ dan ianya suatu yang makruf yang disebut oleh Ibn al-Athir." Penisbahan ini juga berdasarkan pandangan al-Zahabi di dalam al-'Ibar (العِبَر), Ibn Khallikan (ابن خلّكان) di dalam al-Tarikh yang berkata: "Kebiasaan penduduk Khuwarazma (خُوَارَزمَ) dan Jurjan (جُرجَان) berkata: القَصَّارِيّ dan الحَبَّارِيّ dengan huruf "ya" pada (hujung) kedua-duanya, maka mereka menisbahkan bagi al-Ghazl (الغَزْل) sebagai al-Ghazzaliy (الغزَّاليّ). 

al-Sam'ani (السمعاني) membantak sebutan al-Ghazali dengan takhfif. Beliau berkata: "Aku telah bertanya kepada penduduk Tus tentang kampung ini (dengan sebutan Ghazali) dan mereka membantahnya. Dan penambahan huruf "Ya" (Ya"), mereka berkata bagi tujuan ta'kid (penegasan." 

Asal-Usul al-Ghazzaliy

Terdapat dua pandangan: 

Pertama: Beliau berasal dari keturunan 'Arab yang masuk ke Parsi di awal al-Futuhat al-Islamiyyah. 

Kedua: Beliau berketurunan Parsi.

Kelahiran dan Kewafatan

Beliau dilahirkan di bandar Tus, Khurasan pada tahun 450H bersamaan 1059M. al-Subki menyatakan bapa al-Gazzaliy seorang miskin dan soleh. Beliau tidak makan melainkan dari usaha tangannya sendiri menenun kain bulu. Beliau sentiasa hadir dalam majlis pengajian fiqh dan berkhidmat untuk majlis ilmu, bersungguh-sungguh berbuat baik kepada mereka yang mempelajari ilmu fiqh dan membiayai mereka semampunya. Apabila beliau mendengar pengajian, beliau menangis dan merintih supaya direzekikan seorang anak dan menjadikannya seorang faqih. Beliau juga menghadiri majlis disampaikan nasihat dan peringatan, beliau menangis mendengar peringatan dan berdoa kepada ALlah agar dikurniakan seorang anak yang menjadi Wa'idz (واعظا).  

Allah SWT memustajabkan doa bapa al-Imam al-Ghazzaliy dengan dikurniakan kepadanya dua orang anak lelaki. Salah seorangnya terkenal sebagai seorang Wa'idz (واعظ) iaitulah saudara lelaki kepada al-Imam al-Ghazzaliy bernama Ahmad dan seorang lagi sebagai faqih (فقيه) iaitulah al-Imam al-Ghazzaliy sendiri. 

Ketika bapa al-Ghazzaliy hampir meninggal dunia. Beliau menyerahkan dua orang anak lelakinya ini kepada seorang sufi bernama Ahmad bin Muhammad al-Razakani (الرازكاني) untuk menjaga mereka berdua. Setelah beliau meninggal dunia, al-Razakani menjaga al-Ghazzaliy dan saudaranya sehinggalah habis bekalan yang ditinggalkan oleh bapa mereka berdua, dan beliau tidak mampu lagi menanggung perbelanjaan mereka berdua, lalu berkata kepada mereka: "Ketahuilah kamu berdua sesungguhnya aku telah infakkan untuk menanggung kamu berdua apa-apa yang kamu berdua berhak menerimanya. Aku pula seorang yang fakir dan susah, tidak memiliki harta. Perkara yang lebih baik untuk kamu berdua menurutku ialah pergi ke madrasah, menjadi penuntut ilmu, kamu berdua akan mendapatkan makanan yang cukup."

Ternyata perkara ini mendatangkan kebahagian dan meninggikan kedudukan mereka berdua. Kisah ini sering diceritakan oleh al-Ghazzaliy sendiri. Beliau juga berkata: 

طلبنا العلم لغير الله، فأبى أن يكون إلا لله

maksudnya: "Pada awalnya kami menuntut ilmu bukan kerana ALlah, namun Allah tidak mahu menuntut ilmu kami itu melainkan kerana Allah." 

Kitab al-Tarikh dan al-Tarajim menyatakan al-Imam al-Ghazzaliy berkahwin sebelum berumur 20 tahun. Beliau dikurniakan tiga orang cahaya mata perempuan, salah seorangnya bernama Sittu al-Muna (ست المنى) dan seorang anak lelaki bernama 'Ubaidullah. Saudara lelakinya Ahmad dikatakan meninggal dunia 15 hari selepas kewafatan al-Ghazzaliy, iaitulah pada tahun 520H dan dikebumikan di Qazwin (قزوين). 

Tidak banyak diceritakan tentang Ibu al-Ghazzaliy melainkan beliau kekal hidup setelah kematian suaminya dan menjadi terkenal di Baghdad dengan sebab dua orang anaknya ini. 


Cetak  
Wallahu a'lam