Sedikit tentang 'Ammar bin Yasir dan Suhaib alRumi

Ammar bin Yasir dari kalangan sahabat yang awal memeluk Islam. Sehinggakan di dalam Sahih al-Bukhari daripada Hammam, dia berkata: “Aku pernah mendengar ‘Ammar berkata:

رَأَيْتُ رَسولَ اللَّهِ صَلَّى اللهُ عليه وسلَّمَ وما معهُ، إلَّا خَمْسَةُ أعْبُدٍ، وامْرَأَتَانِ، وأَبُو بَكْرٍ

Maksudnya: “Aku telah melihat Rasulullah SAW, dan tiada bersama dengan baginda (memeluk Islam) melainkan lima orang hamba, dua orang wanita dan Abu Bakar.” (al-Bukhari)

Ini menunjukkan ‘Ammar adalah orang yang kesembilan memeluk Islam dan mengikut Nabi SAW. Ini satu kelebihan dan kedudukan yang besar dan mulia yang ada pada ‘Ammar bin Yasir.

Cuba tuan-tuan tengak, dia telah dipilih oleh Allah untuk menjadi sahabat Nabi yang awal. Dan Allah SWT tidak memilih para sahabat melainkan orang-orang yang sebaik umat, orang-orang yang paling baik sekali, berdasarkan hadis riwayat Ibn Majah daripada Abdullah bin Mas‘ud RA, dan Abdullah bin Mas‘ud juga termasuk dalam orang yang awal memeluk Islam, sehinggakan beliau bagitahu, beliau adalah orang yang keenam. Kata Abdullah bin Mas‘ud:

كان أول من أظهر إسلامه سبعة: رسول الله صلى الله عليه وسلم، وأبو بكر، وعمار، وأمه سمية، وصهيب، وبلال، والمقداد، فأما رسول الله صلى الله عليه وسلم فمنعه الله بعمه أبى طالب، وأما أبو بكر فمنعه الله بقومه، وأما سائرهم فأخذهم المشركون، وألبسوهم أدراع الحديد، وصهروهم في الشمس، فما منهم من أحد إلا وقد وَاتَاهم على ما أرادوا، إلا بلالًا فإنَّه قد هانت عليه نفسه في الله، وهان على قومه؛ فأخذوه فأعطوه الولدان فجعلوا يطوفون به في شعاب مكة، وهو يقول: أحد أحد

Maksudnya: “Orang yang mula-mula menzahirkan Islamnya ada tujuh orang: (iaitulah) Rasulullah SAW, Abu Bakr, ‘Ammar bin Yasir dan Ibunya Sumayyah, Suhaib, Bilal dan al-Miqdad. Adapun Rasulullah SAW, Allah pelihara baginda dari kejahatan musyrikin dengan adanya bapa saudara baginda Abu Talib. Manakala Abu Bakar, Allah pelihara beliau dari kejahatan musyrikin melalui kaum keluarganya. Adapun mereka yang lain, telah menerima tindakan zalim orang-orang musyrik, mereka diberi pakai baju-baju besi dan dijemur di bawah terik matahari (sehingga melecur dan masak kulit mereka). Tiada seorangpun dari kalangan mereka melainkan menurut[1] apa yang dikehendaki oleh golongan musyrikin, kecuali Bilal yang telah menganggap dirinya tiada nilai untuk dikorbankan di jalan Allah. Kaum musyrikin juga menganggap dirinya tiada nilai. Lalu mereka mengenakan kepadanya seksaan dan diserahkan kepada kanak-kanak dan para hamba, mereka mengheretnya di lembah-lembah Mekah, dalam keadaan mulut Bilal tetap mengucapkan: “Allah yang esa, Allah yang esa.” (Ibn Majah. Dinilai sahih isnadnya oleh Ahmad Syakir di dalam Takhrij al-Musnad. 5/319)

Suhaib juga kita tahu, beliau seorang tukang kayu. Asalnya orang Rom, datang ke Mekah berniaga sehingga menjadi orang kaya. Bila berlaku peristiwa Hijrah, orang Quraisy tak bagi dia hijrah. Waktu dia keluar dari Mekah untuk berhijrah, orang Quraisy ikut dia, orang Quraisy kata:  “Wahai Suhaib, kamu dari Rom datang ke Mekah dalam keadaan miskin. Kamu datang ke tempat kami dan menghimpun kekayaan, bila dah kaya, kamu nak bawah kekayaan yang kamu himpunkan di negeri kami ini ke Madinah?” Kata orang Mekah kepada Suhaib. Waktu tu Suhaib naik ke bukit sedikit. Dia kata: “kamu semua hendakkan harta aku sebenarnya.” Suhaib ketika tu bawah panah dan bilangan anak panahnya kurang sebilah dari jumlah orang Quraisy yang ikut dia. Suhaib terkenal dari kalangan sahabat Nabi yang tepat memanah. Dia tengak orang Quraisy ligan dia, dia naik atas bukit dan berhenti, berpaling kepada orang Quraisy yang ikut dia dan berkata: “Demi Allah, kamu semua tahu tiada orang yang lebih tetap panahnya melainkan aku. Aku akan pastikan setiap anak panah aku ini tidak akan tersasar selain kamu semua.” Selepas tu baru orang Quraisy kata: “Wahai Suhaib kamu datang ke sini dalam keadaan miskin, kemudian setelah kamu kaya kamu nak tinggalkan Mekah dan membawa kekayaan kamu ke Madinah?” Kata Suhaib: “Rupa-rupanya kamu semua hiraukan tentang harta aku, bukan kerana agama aku. Kalau begitu pergilah dapatkan harta aku yang ada di sekian sekian tempat dan pada sekian-sekian orang dan ambillah apa yang kamu semua inginkan.” Lalu orang Quraisy tinggalkan Suhaib, berjayalah Suhaib berhijrah ke Madinah. Beliau juga termasuk antara orang yang awal memeluk Islam.

---------------------------------------

[1] Menurut di sini adalah terjemahan yang dipilih untuk ungkapan hadis وَاتَاهم yang berasal dari kalimah المُواتاةِ yang pada asalnya bermaksud الموافقه وحسن المطاوعة iaitulah bersetuju atau menurut. Yang dimaksudkan di dalam riwayat ini adalah menurut seperti yang dikehendaki secara taqiyyah. Taqiyyah dalam situasi seperti ini diharuskan berdasarkan firman Allah SWT: مَنْ كَفَرَ بِاللَّهِ مِنْ بَعْدِ إِيمَانِهِ إِلَّا مَنْ أُكْرِهَ وَقَلْبُهُ مُطْمَئِنٌّ بِالْإِيمَانِ وَلَكِنْ مَنْ شَرَحَ بِالْكُفْرِ صَدْرًا فَعَلَيْهِمْ غَضَبٌ مِنَ اللَّهِ وَلَهُمْ عَذَابٌ عَظِيمٌ  yang bermaksud: “Sesiapa yang kufur terhadap Allah setelah beriman, melainkan orang yang dipaksa sedangkan hatinya tetap dengan iman. Akan tetapi sesiapa yang tetap memilih kekufuran, maka untuknya kemurkaan Allah dan azab yang besar.” (al-Nahl: 106)


Cetak  
Wallahu a'lam