Pengembaraan al-Ghazali Dalam Menuntut Ilmu Di Jurjan

al-Ghazzali memulakan pengembaraannya dalam menuntut ilmu dari tanah tumpah darahnya atau tempat kelaiharannya (مَسْقِط رأسه) Tus menuju ke Jurjan جرجان, kemudian ke Naisabur, ke Baghdad, ke Dimasyq, ke Bait al-Maqdis, kemudian ke Mekah, kemudian ke Mesir dan kembali semula ke tempat lahirnya Tus membawa ilmu dan pengetahuan yang banyak.

al-Gazzali memulakan pengajiannya bersama para ulama di Tus. Syeikh pertama beliau mengambil ilmu bersama Ahmad bin Muhammad al-Razakani الراذكاني dengan membaca darinya beberapa persoalan fiqh. Manakala di Jurjan, pengajiannya bermula setelah beliau semakin dewasa, beliau mempelajari ilmu dari seorang ulama di Jurjan bernama al-Imam Abu Nasr al-Ismailiy (أبو نصر الإسماعيلي), beliau mendengar dan menulis pengajaran darinya di dalam nota beliau yang beliau namakan sebagai al-Ta'liqah التعليقة tanpa beliau hafal sedikitpun dari ilmu-ilmu tersebut. 

Berlaku satu peristiwa yang mengubah hidup al-Ghazzali dalam menuntut ilmu, iaitulah peristiwa yang berlaku dalam perjalanan pulangnya dari Jurjan ke kampung halamannya Tus. al-Subki meriwayatkan di dalam Tabaqatnya, bahawa al-Imam As'ad al-Mihaniy (أسعد الميهنيّ) pernah berkata: "Aku pernah mendengar al-Ghazzali menceritakan: "AKu pernah disamun dalam perjalanan. Semua yang ada bersamaku disamun dan dibawa pergi. Aku menuruti mereka sehinggalah aku berjaya berada di hadapan dan bersua muka dengan penunggang paling hadapan sekali dan aku berkata: "kembalikan kepadaku (barangku), binasa engkau jika kami tidak kembalikannya." Aku terus berkata: "Aku meminta kepada kamu dengan nama tuhan yang kamu harapkan keselamatan dari-Nya, untuk kamu kembalikan kepadaku ta'liq milik ku yang mana ia tidak bermanfaat sedikitpun untuk kamu semua." 

Kata orang yang berada di hadapan tersebut: "Apa dia ta'liq kamu itu?" AKu menjawab: "Kitab-kitab yang ada di dalam beg itu (المِخلاة), aku tinggalkan kampung halamanku untuk mendengar semua yang aku tulis di dalamnya, untuk menulisnya dan untuk mengetahuinya."  

Mendengar jawapanku tersebut orang itu ketawa sambil berkata: "bagaimana kamu mendakwa kamu telah mengetahui ilmu yang ada dalam catitanmu di adlam beg ini?. Sekarang kamu telah kehilangannya dan kamu sekarang seorang yang tidak memiliki apa-apa ilmu sama sekali." Kemudian orang itu memerintahkan orangnya untuk mengembalikan beg berisi buku catitan-catitanku kepadaku. Kata al-Ghazzali: "Aku berkata (kepada diriku), orang ini seorang mustantaq yang dipercakapkan oleh Allah (percakapannya itu), bagi meluruskan urusan ku menuntut ilmu, Ketika mana aku sampai di Tus, aku menyibukkan diri dengan ilmu-ilmu yang aku tulis tersebut selama tiga tahun, sehingga aku menghafal kesemua yang aku catit, Maka aku menjadi seorang yang jika disamun sekali lagi, ilmu ku tidak akan hilang lagi."  


Cetak  
Wallahu a'lam