Tahun 48 Sebelum Hijrah Bersamaan 575 Masihi

Kewafatan Bonda Nabi SAW Aminah binti Wahb Dan Baginda Dipelihara Oleh Ummu Aiman 

Ketika Nabi SAW berumur 6 tahun, bonda baginda, Aminah binti Wahb (آمنةُ بنتُ وهبٍ) membawa baginda menziarahi akhwal (bapa dan emak saudara sebelah ibu) dari Bani 'Adiy bin al-Najjar (بني عَديِّ بن النَّجَّار). Turut serta bersama dengan mereka ialah pengasuh Nabi Muhammad SAW bernama Ummu Aiman. Mereka menaiki dua ekor unta. Dalam perjalanan bonda Nabi SAW singgah di Dar al-Nabighah (دارِ النابغةِ) menziarahi kubur ayahanda Nabi SAW, Abdullah bin 'Abdul Muttalib.

Di Bani 'Adiy bin al-Najjar, bonda Nabi SAW menetap di situ selama sebulan. Setelah itu pulang ke Mekah. Ketika mereka sampai di al-Abwa' (الأبواءِ), bonda Nabi SAW jatuh sakit dan meninggal dunia. Lalu baginda SAW dibawa pulang oleh Ummu Aiman yang nama sebenarnya ialah Barakah bintu Tha'labah binti Hisn (بَرَكةُ بِنتُ ثَعلَبةَ بنِ حِصنٍ). Ummu Aiman benar-benar menyayangi Nabi SAW. Demikian juga Nabi SAW, dan baginda akhirnya setelah dewasa memerdekakan Ummu Aiman dan mengahwinkan Ummu Aiman dengan Zaid bin Harithah (زيدَ بنَ حارِثةَ) dan mereka dikurniakan anak yang bernama Usamah bin Zaid (أُسامةَ بنَ زيدٍ). Ummu Aiman meninggal dunia lima bulan setelah kewafatan Nabi SAW.

Apabila meninggalnya bonda Nabi SAW, Aminah binti Wahb, Baginda SAW ketika itu berumur 6 tahun. Maka tanngungan hidup baginda dipikul oleh datuk baginda 'Abd al-Muttalib bin Hashim (عبدِ المطلب بن هاشِمٍ). seorang yang memiliki kedudukan mulia di sisi kaumnya. Masyarakat Qurasy memanggil 'Abd al-Muttalib dengan gelaran al-Fadhl (الفضلَ) disebabkan kelebihan dan kemuliaannya di sisi mereka semua. 'Abd al-Muttalib juga seorang yang memilikul tanggungjawab memberi makan dan minum (الرِّفادةِ والسِّقايةِ) kepada jemaah haji setelah kematian bapanya Hashim bin 'Abd Manaf (هاشمِ بن عبد مَنافٍ)

'Abd al-Muttalib amat menyayangi cucunya Muhammad bin Abdillah, sehingga beliau sering melebihkan Baginda SAW berbanding anaknya yang lain. Kata Ibn Ishak: 

وكان رسولُ الله صلَّى اللهُ عليه وسلَّم مع جدِّه عبد المطلب بن هاشم -يعني: بعدَ موتِ أُمِّه آمنةَ بنتِ وَهبٍ-؛ فكان يُوضَعُ لعبد المطلب فِراشٌ في ظلِّ الكعبة، وكان بَنوه يَجلِسون حول فِراشِه ذلك حتى يَخرُج إليه، لا يَجلِسُ عليه أحدٌ مِن بنيه إجلالًا له؛‏ فكان رسولُ الله صلَّى اللهُ عليه وسلَّم يأتي وهو غُلامٌ جَفْرٌ -أي: ممُتلئٌ قويٌّ- حتى يَجلِسَ عليه؛ فيأخذُه أعمامُه ليؤخِّروه عنه؛ فيقول عبدُ المطلب إذا رَأى ذلك منهم‏:‏ دَعوا ابني؛ فوالله إنَّ له لَشأنًا، ثم يُجلِسُه معه على فِراشِه، ويَمسَحُ ظهرَه بيدِه، ويَسُرُّه ما يراه يَصنَعُ‏". وكان عبدُ المطلب لا يَأكلُ طَعامًا إلَّا يقولُ:‏ "عَلَيَّ بابني!" فيُؤتَى به إليه‏.‏ ولمَّا حَضَرت عبدَ المطلب الوفاةُ أوصى أبا طالبٍ بحِفظِ رسولِ الله صلَّى اللهُ عليه وسلَّم وحياطَتِه

maksudnya: "Dahulunya Rasulullah SAW bersama datuk baginda 'Abd al-Muttalib selepas kewafatan bonda baginda AMinah binti Wahb.  Diletakkan permaidani untuk 'Abd al-Muttalib di sisi Kaabah. Kesemua anaknya hanya akan duduk sekitar permaidani tersebut menunggu beliau keluar ke tempatnya. Seorangpun dari kalangan mereka tidak berani duduk di atas permaidani tersebut. Namun Rasulullah SAW ketika baginda masih seorang kanak-kanak telah duduk di atas permaidani tersebut, menyebabkan bapa-bapa saudara baginda (anak-anak 'Abd al-Muttalib) akan mengmbil baginda bagi menjauhkan baginda dari permaidani 'Abd al-Muttalib. Namun apabila 'Abd al-Muttalib melihat itu, beliau berkata:  "Biarkan cucuku itu (duduk di tempatku) kerana sesungguhnya dia memiliki ketinggian." Kemudian beliau akan meletakkan baginda untuk duduk bersamanya di atas permaidani tersebut. Beliau akan menggosok belakang baginda dengan tangannya dan beliau gembira melihat apa yang dilakukan oleh baginda. Abd al-Muttalib juga tidak akan makan sesuatu makanan melainkan beliau akan berkata: "Bawakan cucuku (Nabi Muhammad SAW) kepadaku." Ketika 'Abd al-Muttalib jatuh sakit yang membawa kepada kewafatannya. Beliau telah berwasiat kepada salah seorang anaknya iaitulah 'Abu Talib untuk menjaga Rasulullah SAW."


Cetak  
Wallahu a'lam