SDI 0666: Kisah Yang Sahih Tentang Saidina Umar Menyebat Anaknya

Soalan:
Saya hadir dlm kuliah ust, klu tak salah apa yg saya dengar, ustaz kata kisah saidina umar laksanakan hudud ke atas anaknya yg meminum arak dan selepas itu berzina adalah kisah palsu. Betulkah apa yg saya dengar?

Kisah tu saya pernah dengar puluhan tahun dahulu ust. Ramai ustaz yg menceritakannya di masjid2. Dlm kisah tu juga ada diceritakan, anak saidina umar meninggal dunia ketika hukuman sebat 100 kali belum sempat disempurnakan. Setelah itu saidina umar tetap terus menyebatnya sekalipun anaknya telah mati. Kisah ini adlh bukti jika seseorg mati ketika perlaksanaan hudud, hukuman ke atasnya tetap diteruskan sekalipun ia telah mati. Mohon penjelasan.

Jawapan:

Ya, sememangnya saya ada menyebut dalam beberapa siri kuliah saya, kisah yang saudara maksudkan itu adalah PALSU dan BATIL. 

Bukan saya yang menghukum kisah tersebut sebagai batil dan palsu, bahkan ramai dalam kalangan ulama yang menyatakannya. Saya hanya sampaikan hukuman yang telah dijelaskan oleh para ulama. Di bawah ini penjelasan lanjut:

alJauzajaniy di dalam alAbathil wa alManakir wa alSihah wa alMasyahir 2/185, selepas menyebut kisah tersesut berkata:

"Hadis Rekaan lagi Batil... direka oleh para Qussas (penceramah-penceramah)."

Kata Ibn alJauzi dalam kitabnya alMaudhu'at 3/608 berkata:

"Hadis ini Palsu, direka oleh para Qussas, mereka memulakannya, mengulang-ngulangnya, menghuraikannya dan memanjang-manjangkannya."

Dalam kitab yang sama pada halaman 613 pula beliau berkata:

"Hadis ini Palsu, bagaimana sekalipun ia diriwayatkan, dari manapun jalan ia dinukilkan, ia telah direka oleh golongan jahil para qussas bertujuan menjadikan orang awam dan para wanita menangis. Mereka (para qussas) telah mereka-reka kisah itu dan membawa setiap perkara jelek ke dalamnya, lalu mereka menisbahkan cerita rekaan mereka kepada 'Umar sesuatu yang tidak layak buat 'Umar, mereka juga telah menisbahkan kepada para sahabat nabi sesuatu yang tidak layak buat mereka. Ungkapan-ungkapan yang ada di dalam kisah itu juga penuh dengan kecacatan yang membuktikan ia adalah kisah palsu, hukum-hakam yang menyeleweng, yang ada di dalam kisah tersebut adalah bukti pereka kisah tersebut buruk kefahamannya, tiada pengetahuannya."

Jika diselidiki, sememangnya ada kisah 'Umar menghukum sebat anaknya iaitulah Abdul Rahman, anak sulung beliau kerana meminum arak. Kisah tersebut adalah seperti berikut:

Abd alRazzaq meriwayatkan di dalam alMusannaf 9/23 dengan katanya:

"Mengkhabarkan kepada kami Ma'mar, daripada alZuhri daripada Salim, daripada Ibn ''Umar yang berkata:

شرب أخي عبد الرحمن بن عمر ، وشرب معه أبو سروعة عقبة بن الحارث وهما بمصر في خلافة عمر فسكرا ، فلما أصبحا انطلقا إلى عمرو بن العاص، وهو أمير مصر " فقالا : طهرنا فإنا قد سكرنا من شراب شربناه ، فقال عبد الله : فذكر لي أخي أنه سكر فقلت : ادخل الدار أطهرك ، ولم أشعر أنهما أتيا عمرا ، فأخبرني أخي أنه قد أخبر الأمير بذلك ، فقالعبد الله : " لا يحلق القوم على رءوس الناس ادخل الدار أحلقك ، وكانوا إذ ذاك يحلقون مع الحدود فدخل الدار " ، فقال عبد الله : فحلقت أخي بيدي ، ثم جلدهم عمرو فسمع بذلك عمر فكتب إلى عمرو أن ابعث إلي بعبد الرحمن على قتب ففعل ذلك ، فلما قدم على عمر جلده ، وعاقبه لمكانه منه ، ثم أرسله فلبث شهرا صحيحا ، ثم أصابه قدره فمات فيحسب عامة الناس أنما مات من جلد عمر ولم يمت من جلد عمر .

"Saudaraku 'Abd alRahman bin 'Umar telah meminum khamar, telah minum bersamanya ketika itu Abu Sirwa'ah 'Uqbah bin alHarith sehingga mabuk, kedua-dua mereka di Mesir di zaman pemerintahan 'Umar. Ketika pagi hari, mereka berdua pergi bertemu 'Amr bin al'Ash, gabenor (bagi pihak 'Umar) di Mesir ketika itu. Mereka berdua berkata: "sucikan kami, kerana kami telahpun mabuk disebabkan air (arak) yang kami minum." Kata 'Abdullah saudaraku (Abdul Rahman) sebut kepadaku yang beliau telah mabuk. Aku berkata kepadanya: "Masuklah ke dalam rumah, aku sucikan kamu (kerana kesalahan tersebut), aku tidak menyangka mereka berdua telah mengadu kepada 'Amr. Lalu saudaraku (Abdul Rahman) memberitahu yang mereka berdua telah mengaku melakukan kesalahan itu kepada gabenor (Amr bin alAsh). Kata Abdullah: "Jangan mereka mencukur di hadapan orang ramai, masuk ke dalam rumah, biar aku yang mencukur rambutmu. Umat Islam ketika itu akan mencukur rambut bersama hukuman hudud (ke atas pesalah). Lalu beliau masuk ke dalam rumah." Sambung Abdullah: "Lalu aku mencukur rambut saudaraku (Abdul Rahman) dengan tanganku sendiri. Setelah itu 'Amr melaksanakan hukuman sebat (minum khamar) ke atas Abdul Rahman. Hal itu sampai ke pengetahuan 'Umar alKhattab, lalu 'Umar menulis surat kepad 'Amr untuk dihantar pulang Abdul Rahman kepadanya di atas tunggangan. Lalu dilaksanakan oleh 'Amr. Apabila Abdul Rahman dibawa sampai kepada 'Umar, beliau menyebatnya lagi sebagai hukuman disebabkan kedudukannya (anak kepada khalifah), setelah itu Abdul Rahman dilepaskan, beliau dalam keadaan sihat sejahtera selama sebulan, setelah itu meninggal dunia. Orang ramai mengira beliau meninggal disebabkan sebatan yang dilakukan oleh 'Umar, akan tetapi beliau meninggal dunia bukan disebabkan sebatan 'Umar."

Kisah ini diriwayatkan oleh Ibn Syabbah di dalam Tarikh alMadinah 3/841, alBaihaqi di dalam alSunan alKubra 17/472, alKhatib alBaghdadi di dalam Tarikh Baghdad 3/481, alJauzajani di dalam alAbathil wa alManakir wa alSihah wa alMasyahir 2/193 dan selain mereka.

alJauzajani berkata: "Hadith ini Thabit, dan Isnadnya bersambung lagi Sahih."

Kata Ibn Kathir di dalam Musnad alFaruq 2/250: "Isnadnya Sahih."

Ibn alJauzi di dalam kitabnya alMuntazham Fi Tarikh alMuluk wa alUmam 4/185 berkata:

"Dan tidak sepatutnya disangka bahawa Abdul Rahman meminum arak. Sebaliknya beliau hanyalah meminum nabiz dengan takwilan dari beliau sendiri. Beliau menyangka nabiz yang diminumnya tidak memabukkan, demikianlah juga Abu Sirwa'ah. Namun apabila air itu memabukkan mereka, maka mereka berdua minta dibersihkan (dari kesalahan mabuk) dengan dilaksanakan hukum had. Sesungguhnya memadai dengan penyesalan sahaja (dengan kesalahan tersebut), akan tetapi mereka berdua marah kepada diri sendiri yang telah berlaku cuai terhadap larangan Allah Taala, lalu mereka menyerahkan diri mereka untuk dilaksanakan hukum had. Adapun sebatan ulangan yang dilakukan oleh 'Omar ke atas Abdul Rahman adalah sebatan memberi pengajaran bukan sebatan had."

Ada perbezaan pendapat dalam kalangan ulama tentang pengulangan sebatan yang dilakukan oleh 'Umar ke atas anaknya Abdul Rahman. Namun yang penting Abdul Rahman meninggal dunia bukan disebabkan sebatan had minum arak mahupun berzina. Demimian juga beliau tidak meninggal dunia disebabkan sebatan yang dilakukan oleh 'Umar alKhattab.

Kata Ibn 'Abd alBarr di dalam alIsti'ab 2/842:

"Amr telah menyebat Abdul Rahman di Mesir disebabkan meminum khamar. Kemudian beliau dibawa ke Madinah. Beliau disebat sekali lagi oleh bapanya ('Umar alKhattab) sebagai sebatan didikan seorang bapa. Setelah itu Abdul Rahman ditimpa sakit dan meninggal dunia selepas sebulan. Demikianlah yang diriwayatkan oleh Ma'mar daripada alZuhri daripada Salim daripada bapanya. Adapun penduduk 'Iraq, mereka berkata: "Abdul Rahman meninggal dunia di bawah sebatan 'Umar, demikian itu adalah satu kekeliruan."

Kata alBaihaqi: "Yang lebih menghampiri maksud sebatan 'Omar itu adalah sebatan Ta'zir, ini kerana sebatan hukum Had tidak boleh diulang. Wallahu a'lam."

Syeikh alIslam Ibn Taimiyyah berkata: "Amr menyebat Abdul Rahman secara sembunyi, sedangkan hukuman hudud dilakukan secara terang-terangan. Maka 'Umar bin alKhattab mengingkari perbuatan 'Amr tersebut, 'Umar tidak mengira sebatan (yang dilakukan oleh 'Amr) itu (sebagai hukum Had), sehinggalah diserahkan anaknya Abdul Rahman kepadanya dan sampai di Madinah. Lalu 'Umar melaksanakan sebatan secara terang-terangan kerana berpandangan hukuman Had belum gugur dengan perlaksanaan yang pertama. Setelah itu anak beliau terus hidup beberapa tempoh, kemudian jatuh sakit dan meninggal dunia. Beliau tidak meninggal dunia disebabkan hukuman Had. Tiada juga 'Umar menyebat anaknya sekalipun telah meninggal dunia sepertimana yang didakwa oleh para pendusta." (Majmu' alFatawa 15/287. Dengan maksud yang sama juga disebut di dalam Minhaj alSunnah 6/36)

Imam Ibn Kathir ada pandangan yang lebih menarik berkaitan sebab 'Umar mengulangi sebatan. Beliau berkata: "Adapun 'Umar mengulangi sebatan Had ke atas anaknya, dapat dipikul membawa maksud ia menyempurnakan sebatan menjadi 80 sebatan... dan boleh difahami dari perbuatan 'Umar menyebat kali kedua Abdul Rahman adalah disebabkan Abdul Rahman adalah keluarga beliau. Sesungguhnya pada awal pemerintahan 'Umar, beliau telah nyatakan kepada ahli keluarganya, agar mereka tidak melakukan apa-apa perkara yang ditegah kepada orang ramai. Jika tidak, akan digandakan hukuman ke atas mereka. Inilah yang zahir berdasarkan perkataan Ibn 'Umar sendiri: "apabila Abdul Rahman sampai di Madinah, 'Umat menyebatnya disebabkan kedudukan beliau dengannya (ahli keluarga)."


Cetak  
Wallahu a'lam