SDI 0948: Sebahagian Maklumat Berkaitan Isteri Nabi SAW

Soalan:

Ustaz, boleh terangkan serba sedikit ttg isteri Nabi SAW? berapa org semuanya? Pernahkah baginda ceraikan mana2 isteri dan apa2 yg berkaitan setakat yg ust sempat.

Terima kasih atas kesudian ustaz menjawab soalan saya.

Jawapan:

1. Ulama sirah bersepakat, wanita pertama yang dikahwini oleh baginda ialah Khadijah binti Khuwailid RA خديجة بنت خويلد. Demikian juga baginda SAW tidak mengahwini mana-mana wanita lain sehinggalah khadijah meninggal dunia.

2. Ulama juga bersepakat ketika baginda SAW wafat, isteri baginda seramai sembilan orang iaitulah 'Aisyah, Hafsah, Saudah, Zainab, Ummu Salamah, Ummu Habibah, Maimunah, Juwairiah dan Safiyyah RA. (Syarah Sahih Muslim oleh alNawawi 10/47)

3. Ulama juga bersepakat isteri baginda bernama Zainab binti Khuzaimah meninggal dunia ketika Nabi SAW masih hidup. 

Kesemua nama-nama di atas iaitulah seramai 11 orang, telah disepakati oleh para ulama, mereka adalah isteri Nabi SAW. 

Enam orang dari bangsa Quraisyh, iaitulah: Khadijah, Saudah, 'Aisyah, Hafsah, Ummu Salamah dan Ummu Habibah RA.

Empat orang dari bangsa Arab lain, iaitulah: Zainab binti Khuzaimah, Zainab binti Jahsy, Juwairiah dan Maimunah.

Dan seorang dari keturunan Bani Israil iaitulah Safiyyah.

Dua orang dari mereka meninggal ketika hayat baginda SAW. Mereka ialah Khadijah dan Zainab binti Khuzaimah RA. Manakala sembilan yang lain masih hidup ketika baginda meninggal dunia.

4. Berdasarkan beberapa riwayat menunjukkan Nabi SAW juga ada mengahwini wanita lain selain dari 11 orang di atas. Akan tetapi sebahagiannya diceraikan oleh baginda dan sebahagiannya baginda tidak pun bersama dengannya. Namun kebanyakan riwayat-riwayat tentang hal ini TIDAK SAHIH, sehingga al-Imam al-Zahabi setelah menyebut riwayat-riwayat tentang hal ini beliau menyatakan tujuannya bukan untuk perakuan. (alSiyar 2/495)

Kata Ibn 'Abd alBarr RH: "adapun wanita-wanita yang diperselisihkan siapa dari kalangan mereka yang berkahwin dan sempat disentuh oleh baginda kemudian diceraikan atau siapa yang dikahwini baginda namun tidak disentuh, atau siapa yang dipinang oleh baginda akan tetapi tidak sempat diijab kabulkan yang berlaku perbezaan pendapat ulama, demikian juga berkaitan sebab-sebab yang membawa baginda menceraikan mereka, dalam bentuk perbezaan pandangan yang banyak, menjadikan terhenti dari memberi kata putus kesahihan berkaitan salah seorang dari mereka."

Kata Ibn alQayyim: "para isteri baginda yang digauli diketahui. Adapun yang dipinang dan tidak dikahwini, yang menyerahkan diri kepada baginda dan tidak dikahwini baginda ada sekitar empat atau lima orang. Kata sebahagian ulama, semua wanita tersebut seramai 30 orang, ulama sirah tidak mengetahui tentang hal ini (asal-usul perkara ini) bahkan mereka mengingkarinya." (Zad alMa'ad 1/110)

5. Berdasarkan riwayat yang sahih, Nabi SAW pernah mengahwini seorang perempuan bernama Umaimah binti Syarahil أميمة بنت شراحيل, kemudian baginda menceraikannya disebabkan perlakuannya memohon perlindungan kepada Allah dari baginda SAW. Lalu Nabi SAW menceraikan Umaimah kerana beradab dengan Allah SWT. 'Aisyah RA meriwayatkan bahawa anak perempuan alJaun ابنة الجون, ketika mana baginda masuk dan menghampiri beliau, dia berkata: "Daku berlindung kepada Allah darimu." Lalu baginda bersabda: "Sesungguhnya engkau telah berlindung dengan zat yang Maha Agung. Pulanglah kamu kepada keluarga kamu." (alBukhari 5254)

6. Terdapat juga hadis yang menyatakan Nabi SAW pernah mengahwini Ukhtu alAsy'ath bin Qais أخت الأشعث بن قيس, bernama Qutailah قتيلة. Namun baginda wafat sebelum sempat bersma dengannya. Menjadikan beliau tidak tergolong dari kalangan isteri baginda SAW.

Kisah ini ada diriwayatkan oleh alBazzar di dalam Kasyf alAstar 2444. Kata alHafidz Ibn Hajar: "Diriwayatkan oleh alBazzar dari wajah lain daripada Daud, daripada 'Ikrimah daripada Ibn 'Abbas secara Mausul. Dinilai Sahih oleh Ibn Khuzaimah dan alDhiya' dari jalannya di dalam alMukhtarah." (alTalkhis alHabir 3/292)

7. Termasuk dari keistimewaan baginda SAW. Isteri yang baginda kahwini menjadi ibu kepada orang-orang yang beriman dan tidak boleh dinikahi lagi oleh sesiapa (namun tidak boleh Khalwah). Lihat alQuran alAhzab: 6 dan 53. Mereka adalah seramai 11 orang seperti yang telah dijelaskan di atas.

Para ulama juga berbeza pandangan akan status Mariah al-Qibtiyyah, apakah tergolongan dalam kalangan isteri baginda ataupun tidak.

8. Wanita yang diceraikan oleh baginda, TIADA seorang ulamapun yang memasukkan mereka ke dalam kumpulan Ummahatul Mukminin (para ibu orang yang beriman).

Kata alImam alQurtubi RH: "Dan adapun para isteri baginda AS yang diceraikan ketika baginda hidup seperti alKalbiyyah الكلبية dan lainnya, apakah boleh orang lain menikahinya? Ada khilaf (perbezaan pandangan) dan yang sahih harus menikahi mereka berdasarkan riwayat tentang alKalbiyyah yang Raaul SAW ceraikan, mengahwini lelaki lain dan tiada seorangpun (dari sahabat) yang meningkarinya, maka ini menunjukkan ijmak." (Sedikit olahan semula dari Tafsir alQurtubi 17/211)


Cetak  
Wallahu a'lam