Hukum Salam Whatsapp & Salam Tahajjud

 

Assalamu’alaikum warahmatullah wabarakatuh.

Soalan yang bertanya, apakah hukum tak jawab salam orang yang hantar salam melalui whatsapp melalui poster salam whatsapp. Wajibkah kita menjawabnya? Terima kasih.

Jawapan:

Kalau berdasarkan apa yang disertakan di sini, iaitulah satu poster yang tertulis di alamnya: “Assalamu ‘alaikum, salam tahajud, salam Subuh.” Kemudian ada doa pula di bawah ini: “Ya Allah, kami memohon kepada-Mu terimalah ibadah kami semoga segala amalan yang kami lakukan hari ini dan seterusnya, di awalnya membawa rahmat dan pertengahannya membawa nikmat, di akhirnya membawa berkat.”

Wallahu a’lam, jika kita lihat kepada perbahasan para ulama menyebutkan, salam itu wajib dijawab sama ada salam yang diucapkan secara berdepan, mahupun salam yang ditulis di dalam risalah ataupun surat ataupun dalam masej yang ada pada hari ini. Di mana salam-salam itu wajib dijawab berdasarkan keumuman perintah Allah SWT di dalam al-Quran: وإذا حييتم بتحية، فحييوا بأحسن منها أو ردوها jika kamu diberi ucapan salam atau hormat, maka jawablah dengan seumapama dengannya atau yang lebih baik darinya.

Maka berdasarkan keumuman perintah Allah SWT ini, maka wajib menjawab salam yang diberikan kepada kita. Tetapi mestilah salam itu memang orang yang memberi salam itu berniat dengan lafaz salam tersebut. memang dia nak ucapkan salam.

Wallahu a’lam, kalau salam whatsapp yang disampaikan oleh penulis sendiri, maka itu jelas memang dia memaksudkan salam dan ia wajib dijawab. Sama ada kita jawab secara lisan ataupun bertulis. Kalau kita jawab secara lisan, maka selesailah perintah itu. Tidak wajib lagi untuk menulisnya. Tetapi jika tulis, maka itu yang terbaik jika melihat kepada uruf yang berlaku sesama pengguna whatsapp pada hari ini.

Adapun poster seperti yang dikongsikan, wallahu a’lam, kita tengak kebanyakan poster ini forward, selepas itu forward, selepas itu forward sahaja. Ia bukan dari orang asal yang menghantarnya. Bahkan ia lebih seperti salam poster sahaja yang sama seperti kita mendengar azan rakaman di TV seperti yang saya pernah sebut sebelum ini. Iaitulah azan rakaman yang diluangkan di TV, bukan azan syar'ie sebenarnya dan tidak diperintahkan untuk dijawab, kerana dia bukan azan sebenarnya. Samalah dengan salam-salam poster yang sudah pasti orang pertama yang membuat poster itu, kitapun tak tahu dia nak beri salam kepada siapa, atau dia hanya membuat poster yang dia sendiri tak tahu kepada siapa salam itu diajukan.  Sebaliknya dia hanya membuat poster semata-mata.

Jika inilah keadaan poster itu, maka menjawab salam dari poster seperti ini tidak wajib. Yang jelas kewajipan perlu menjawab salam bertulis adalah salam yang ditulis sendiri orang yang menghantar masej, yang sememangnya berniat memberi salam kepada sesiapa yang diajukannya di dalam groups berkaitan.

Adapun jika masej itu diforward pula, tak wajib pula menjawabnya. Kerana perbuatan menforward masej yang ada salam adalah perbuatan memindahkan lafaz salam yang telah lalu. Yang memberi salam adalah yang menulis masej, bukan yang mengforward masej. Salam dari penulis wajib dijawab. Salam yang diforward tidak wajib dijawab.

Selain daripada itu, dalam poster yang dikongsi ini, kita tengak ada salam tahajud, salam Subuh dan lain-lain. Ni semua kitapun tak tahu apa yang dimaksudkan dengan salam tahajud, salam Subuh itu. Apa yang dikehendaki dengan lafaz salam seumpama ini? Nampak seperti lebih kepada adat berbahasa dalam masyarakat kita sahaja. Ia tidak memiliki kaitan dengan agama. Kerana dalam agama tidak ada ucapan salam tahajud, salam Subuh dan seumpamanya, sehingga semua jadi salam.

Wallahu a’lam, jika dia maksudkan salam tahajud itu, adalah satu doa, semoga orang yang diajukan ucapan itu berada dalam keselamatan pada waktu tahajud, itu tak apalah, kerana kandungan maksud yang baik dan tidak menyalahi syarak, jadi tak apa. Demikian juga dengan salam subuh jika dia memaksudkan, orang yang diajukan ucapan berada dalam keadaan baik dan selamat dalam waktu Subuh.

Akan tetapi, hendaklah perkara itu jangan dijadikan seperti syiar agama. Kerana agama tidak pernah mengajar bagi salam dengan lafaz salam tahajud, salam subuh dan seumpamanya, tidak ada.

Satu perkara lagi yang nak saya nasihatkan kepada mereka yang rajin forward poster-poster salam tahajud dan salam Subuh ni. Sepatutnya bila kita melakukan tahajud, kita tak perlu bagitahu kepada orang lain. Kerana amalan sunat yang terbaik sekali adalah amalan yang disembunyikan dari pengetahuan orang ramai, terutamanya tahajjud.

Adapun tindakan sebahagian orang, kita percaya mereka memiliki niat yang baik, cumanya saya sebut di sini sebagai nasihat, iaitulah apa manfaat kita forward poster-poster salam tahajud pukul 4 atau 5 pagi? Siapa yang nak baca poster tersebut? sebaliknya saya bimbang ketika kita forward poster-poster salam tahajud pada pukul 4 atau 5 pagi itu, ada perasaan riak atau menunjuk-nunjuk yang kita ni rajin bertahajud, rajin bangun awal pagi, rajin menunaikan solat di penghujung malam… risau jika ada perasaan seperti ini dia akan membatalkan pahala amalan sunat yang kita lakukan.

Kerana itu jauhkan dari suka forward masej-masej salam tahajud pada waktu tahajud. Kerana asalnya dalam melaksanakan tahajud adalah merahsiakannya dari pengetahuan orang lain. Tahajud itu adalah amalan antara kita dengan Allah sahaja, tanpa diberitahu kepada orang lain. Mudah-mudahan dengan kita menyembunyikan amalan tahajud, ia diterima oleh Allah SWT.

Demikian juga doa, jika doa itu sekadar forward-forward sahaja, dia tak jadi doa. Melainkan jika kita membaca doa yang ada di dalam poster tersebut dan berdoa dengan lafaz-lafaznya dengan niat berdoa, ia jadi doa. Tapi jika sekadar forward setelah semata-mata merasa ungkapannya hebat, ia tak jadi doa. Orang lain juga tidak dituntut mengaminkan poster doa yang diforward oleh orang lain, kerana semata-mata poster doa, ia bukanlah doa yang dituntut diaminkan. Kita dituntut mengaminkan doa, ketika doa itu dilafazkan oleh pengucap secara life dengan niat berdoa. Bukan lainnya.   


Cetak  
Wallahu a'lam