Penyakit Ilmu Itu Kesombongan

Abu Hamid al-Ghazali (w.505H) berkata:

 "Jika engkau bertanya: Mengapa sebahagian orang dengan ilmu yang dia miliki bertambah sombong dan merasa aman lagi selesa?" Ketahuilah bahawa hal itu ada dua sebab:

Pertama: Bahawa kesibukannya dengan sesuatu yang dinamakan ilmu itu sebenarnya bukan ilmu yang hakiki. Sesungguhnya ilmu yang sebenar ialah yang menjadikan seorang hamba kenal akan Tuhannya dan dirinya sendiri… Adapun selain daripada itu, seperti ilmu perubatan, hisab, bahasa, syair, nahu, penyelesaian sengketa, dan kaedah perdebatan, jika seseorang menyelaminya hingga penuh dadanya, dia memenuhkan dadanya dengan kesombongan dan nifak. Ilmu-ilmu ini lebih layak dinamakan sebagai kemahiran berbanding dinamakan sebagai ilmu. Adapun ilmu sebenar adalah pengetahuan tentang ubudiyyah, rububiyyah, dan jalan ibadah. Inilah yang biasanya menumbuhkan sifat tawaduk.

Kedua: Bahawa seorang hamba terjun ke dalam ilmu dalam keadaan jiwanya kotor, buruk jiwa, dan keji akhlak. Dia tidak sibuk terlebih dahulu dalam mendidik dirinya dan menyucikan hatinya dengan pelbagai jenis mujahadah, serta tidak melatih dirinya dalam ibadah kepada Tuhannya. Maka dia kekal dengan tabiat yang busuk, lalu apabila dia masuk ke dalam ilmu—apa pun jenis ilmu itu—ilmu itu akan bertemu dengan hati yang busuk, sehingga buahnya tidak menjadi baik dan kesannya tidak tampak dalam kebaikan.

Wahb telah memberikan perumpamaan tentang hal ini, beliau berkata:

العلمُ كالغيثِ ينزلُ من السماءِ حلوًا صافِيًا، فتشربهُ الأشجارُ بعروقها، فتحوِّلهُ على قدرِ طعومِها، فيزدادُ المرُّ مرارةً، والحلوُ حلاوةً»، فكذلك العلمُ تحفظهُ الرجالُ، فتحوِّلهُ على قدرِ هممها وأهوائها، فيزيدُ المتكبرُ كبرًا، والمتواضعُ تواضعًا

“Ilmu itu laksana hujan yang turun dari langit, bersih segar lagi jernih. Lalu ia diserap oleh pepohonan melalui akarnya, kemudian pohon itu mengubah air hujan yang segar lagi jernih sesuai dengan makanan lain yang diambilnya, maka yang pahit bertambah pahit, dan yang manis bertambah manis.” Demikian itu juga ilmu, ia dihafal oleh berbagai orang, lalu diubah sesuai dengan kecenderungan dan hawa nafsu seseorang. Maka yang sombong bertambah sombong, dan yang tawaduk bertambah tawaduk." (Ihya’ Ulum al-Din 3/348)

 

Wallahu a'lam

Buta Dalam Cahaya

Kadangkala pandangan menjadi buta, yang rendah dihias indah, cahaya wahyu yang bergemerlapan diturun dan dipadamkan, sehingga seseorang menyangka bahawa hikmah hanya lahir dari rak-rak buku Barat, dan ilmu hanya dikenali daripada teori-teori para falsafah.

Maka engkau dapati sebahagian orang tidak merasai nikmat ilmu menembusi hatinya kecuali apabila dikatakan: “kata Plato”, atau dinisbahkan kepada Aristotle, Socrates atau tokoh-tokoh falsafah dan pemikir Barat yang lain.

Namun apabila mendengar hikmah daripada khazanah Islam atau daripada ulama umat ini, dia berpaling seolah-olah tidak pernah mendengar atau membaca. Perkara ini, dengan berlalunya masa, membahayakan pemikiran, akal, dan jati diri seorang Muslim.

Al-Imam Ibn Taimiyyah رحمه الله berkata:

ومن أدمن أخذ الحكمة والآداب من كلام فارس والروم، لا يبقى لحكمة الإسلام وآدابه في قلبه ذلك الموقع

“Barangsiapa yang membiasakan dirinya mengambil hikmah dan adab daripada kata-kata Parsi dan Rom, maka tidak akan tinggal lagi di hatinya kedudukan hikmah Islam dan adabnya…” (Al-Iqtida, 2/543)

Bagaimana mungkin? sedangkan kata-kata wahyu itu adalah hidayah, nasihat para sahabat itu cahaya, dan peninggalan para salaf itu hikmah yang tiada tandingannya.

Benar, kebenaran adalah barang hilang milik seorang mukmin, di mana sahaja dia menemuinya, dialah yang paling berhak mengambilnya. Hal ini tidak dinafikan.

Kata-kata ini adalah ditujukan kepada mereka yang meremehkan cahaya wahyu dan kata-kata para tokoh Islam dan tidak menghargainya, sedangkan bergembira, dan teruja menukilkan kata-kata pemikir Barat dan Timur, seolah-olah ia hanya wujud di dalam buku-buku dan gagasan mereka.

Wahai orang yang memandang ringan cahaya wahyu… Dalam al-Qur’an terletak kemuliaanmu, dalam sunnah terdapat kematanganmu, dalam kata-kata para salaf ada kewarasan akalmu, selain daripada itu hanyalah hiasan kata-kata yang menipu!

Aku berlindung kepada Allah daripada syaitan yang direjam:

وَإِذَا ذُكِرَ اللَّهُ وَحْدَهُ اشْمَأَزَّتْ قُلُوبُ الَّذِينَ لَا يُؤْمِنُونَ بِالْآخِرَةِ وَإِذَا ذُكِرَ الَّذِينَ مِنْ دُونِهِ إِذَا هُمْ يَسْتَبْشِرُونَ

“Dan apabila Allah disebut sahaja, hati orang-orang yang tidak beriman kepada akhirat menjadi jijik, dan apabila disebut selain daripada-Nya, tiba-tiba mereka bergembira.” (Surah Az-Zumar: 45)

Wallahu a'lam

Berpada Dalam Menzahirkan Nikmat

Sesungguhnya 'ain tidak mengenai sesuatu melainkan yang dianggap indah dan menarik. Namun, keindahan sahaja tidak mencukupi untuk menyebabkan terkena ‘ain, melainkan datang daripada orang yang hasad. Dan itu pun belum mencukupi, melainkan datang daripada orang yang jahat tabiatnya. Maka apabila terkumpul sifat-sifat ini, dibimbangi terkena ‘ain.

Maka hendaklah seseorang itu menzahirkan perhiasan (keindahan diri) dengan sekadarnya sahaja, sehingga aman atau selamat dari terkena ‘ain, dan dia yakin bahawa dia berada dalam kebaikan. Dan hendaklah dia berwaspada daripada berlebih-lebihan dalam menzahirkan nikmat, kerana di situ terdapat bahaya ‘ain.

- Terjemahan dan olahan binSahak dari Shayd al-Khathir 1/318 oleh Ibn al-Jauzi -

Wallahu a'lam