Tersilap Bagi Sedekah Kepada Scammer, Apakah beroleh Pahala?

Soalan:

Saya bagi sedekah dalam FB ke maahad tahfiz. Tiba-tiba ada satu ustaz tu minta derma untuk tahfiz yang berbeza. Satu kat Sabah, satu kat Kelantan. Saya takut dia scammer.

Jawapan:

Wa’alaikumussalam warahmatullah wabarakatuh, puan Halimah binti Hashim. Berkaitan dengan soalan puan, maka jawapannya insya-Allah puan memperolehi pahala dari sedekah yang puan berikan.

Di dalam Sahih al-Bukhari, al-Imam al-Bukhari ada meriwayatkan hadis daripada Abu Hurairah RA, bahawasanya Rasulullah SAW pernah bercerita kepada para sahabat: قالَ رَجُلٌ: لَأَتَصَدَّقَنَّ بصَدَقَةٍ،, Nabi menceritakan kisah umat terdahulu dengan baginda bersabda: “Ada seorang lelaki yang berkata: “Pasti aku akan bersedekah” فَخَرَجَ “lalu dia keluar” kata Nabi, بصَدَقَتِهِ، فَوَضَعَهَا في يَدِ سَارِقٍ “dia keluar dari rumahnya, dengan membawa sedekah yang hendak dia sampaikan kepada kepada orang susah, namun dia telah memberikan sedekahnya itu kepada seorang pencuri.” Kata Rasulullah فأصْبَحُوا يَتَحَدَّثُونَ: تُصُدِّقَ علَى سَارِقٍ, “lalu pada pagi hari, orang ramai mendapat tahu orang tersebut telah bersedekah kepada seorang pencuri, lalu orang ramai rasa pelik, bagaimana orang tersebut memberi sedekah kepada seorang pencuri?" Apabila berita itu sampai kepada lelaki yang memberi sedekah secara tersilap itu, diapun berkata: اللَّهُمَّ لكَ الحَمْدُ، لَأَتَصَدَّقَنَّ بصَدَقَةٍ “Ya Allah, milik-Mu lah segala pujian, pasti aku akan mengeluarkan sedekah yang lain untuk bersedekah kepada orang yang berhak.” Kata Rasulullah: فَخَرَجَ بصَدَقَتِهِ “lalu dia keluar pada malam yang kedua membawa sedekah dia.” Akan tetapi sedekah kedua dia ini: فَوَضَعَهَا في يَدَيْ زَانِيَةٍ “akan tetapi dia telah memberikan kepada seorang wanita pelacur.” Pada pagi hari berita sedekahnya itu sampai kepada orang ramai. Lalu orang ramai berasa hairan dengan tindakan seseorang yang memberi sedekah kepada seorang pelacur. Lalu pada malam yang berikutnya, seperti biasa, lelaki ini seorang yang soleh, dia kata pula: اللَّهُمَّ لكَ الحَمْدُ، علَى زَانِيَةٍ “Ya Allah, milik-Mu lah segala pujian. Aku telah tersilap memberi sedekah kepada seorang wanita pelacur.” Kemudian bagi mengganti sedekah yang tersilap itu, dia berkata pula: لَأَتَصَدَّقَنَّ بصَدَقَةٍ “Pasti aku akan menggantikan dengan sedekah yang lain.” Kata Nabi SAW: فَخَرَجَ بصَدَقَتِهِ، فَوَضَعَهَا في يَدَيْ غَنِيٍّ “Lalu dia keluar dari rumah membawa sedekahnya. Namun dia telah memberi sedekahnya itu kepada orang kaya yang dia sendiri tidak tahu orang itu seorang kaya.” Lalu menyebabkan seperti biasa orang ramai pada keesokan harinya menyatakan kehairanan mereka dengan perbuatan seorang yang memberi sedekah kepada seorang kaya. Kemudian lelaki itu berdoa kepada Allah SWT: اللَّهُمَّ لكَ الحَمْدُ، علَى سَارِقٍ وعلَى زَانِيَةٍ وعلَى غَنِيٍّ “Ya Allah, milik Engkaulah segala pujian. Sesungguhnya aku telah memberi sedekah secara tersilap kepada seorang pencuri, seorang pelacur dan kepada seorang yang kaya.” Lalu sabda Nabi SAW: فَأُتِيَ dalam sebahagian riwayat baginda bersabda: فَأُرِيَ “lalu pada malam hari dia bermimpi dan dikatakan kepadanya: أَمَّا صَدَقَتُكَ علَى سَارِقٍ فَلَعَلَّهُ أَنْ يَسْتَعِفَّ عن سَرِقَتِهِ  “adapun sedekah kamu yang kamu telah berikan secara tersilap kepada seorang pencuri, mudah-mudahan dengan sedekah yang kamu berikan kepadanya itu menjadikan dan berasa cukup, sehingga dia berhenti dari perbuatan mencuri.” وأَمَّا الزَّانِيَةُ فَلَعَلَّهَا أَنْ تَسْتَعِفَّ عن زِنَاهَا “Adapun wanita pelacur yang telah engkau sedekahkan kepadanya itu, mudah-mudahan menjadikan dia cukup, sehingga dia meninggalkan perbuatan zinanya.” وأَمَّا الغَنِيُّ فَلَعَلَّهُ يَعْتَبِرُ فيُنْفِقُ ممَّا أَعْطَاهُ اللَّهُ “adapun orang kaya yang engkau berikan kepadanya sedekah secara tersilap itu, mudah-mudahan dia mengambil pengajaran, lalu dia menginfakkan sedekah yang kamu berikan kepada dia itu kerana Allah dan mudah-mudahan dia sedar sehingga dia yang sebelum itu tidak mengeluarkan sedekah, lalu dia mengambil pengajaran dan dia pun mengeluarkan sedekah dari lebihan harta yang ALlah Taala kurniakan kepadanya.”

Hadis ini menunjukkan bagaimana sedekah yang dilakukan secara tersilap oleh lelaki tersebut diterima oleh Allah SWT selagi dia memiliki niat yang ikhlas dan itulah yang diharapkan dari sedekah yang puan lakukan.

Apapun kita tidak nafikan hadis ini membuktikan ada pahala kepada orang yang ikhlas sekalipun tersilap dalam memberi sedekah. Namun yang sepatutnya pada zaman ini, seorang muslim janganlah sewenang-wenangnya memberi sedekah kepada orang yang tidak dikenali kerana bimbang sedekahnya itu disalah gunakan dan manusia jahat akan menjadikan jalan sedekah untuk berbohong dan mengumpulkan kekayaan. Akhirnya orang susah terus terabai kerana bantuan tidak sampai kepada mereka.

Para ulama juga mengatakan lelaki di dalam hadis mengulangi sedekah pertama dan kedua yang tersilap itu adalah dari sudut sunat sahaja bukan satu kewajipan.

----------------------------------------

Teks Hadis al-Bukhari

قالَ رَجُلٌ: لَأَتَصَدَّقَنَّ بصَدَقَةٍ، فَخَرَجَ بصَدَقَتِهِ، فَوَضَعَهَا في يَدِ سَارِقٍ، فأصْبَحُوا يَتَحَدَّثُونَ: تُصُدِّقَ علَى سَارِقٍ فَقالَ: اللَّهُمَّ لكَ الحَمْدُ، لَأَتَصَدَّقَنَّ بصَدَقَةٍ، فَخَرَجَ بصَدَقَتِهِ فَوَضَعَهَا في يَدَيْ زَانِيَةٍ، فأصْبَحُوا يَتَحَدَّثُونَ: تُصُدِّقَ اللَّيْلَةَ علَى زَانِيَةٍ، فَقالَ: اللَّهُمَّ لكَ الحَمْدُ، علَى زَانِيَةٍ؟ لَأَتَصَدَّقَنَّ بصَدَقَةٍ، فَخَرَجَ بصَدَقَتِهِ، فَوَضَعَهَا في يَدَيْ غَنِيٍّ، فأصْبَحُوا يَتَحَدَّثُونَ: تُصُدِّقَ علَى غَنِيٍّ، فَقالَ: اللَّهُمَّ لكَ الحَمْدُ، علَى سَارِقٍ وعلَى زَانِيَةٍ وعلَى غَنِيٍّ، فَأُتِيَ فقِيلَ له: أَمَّا صَدَقَتُكَ علَى سَارِقٍ فَلَعَلَّهُ أَنْ يَسْتَعِفَّ عن سَرِقَتِهِ، وأَمَّا الزَّانِيَةُ فَلَعَلَّهَا أَنْ تَسْتَعِفَّ عن زِنَاهَا، وأَمَّا الغَنِيُّ فَلَعَلَّهُ يَعْتَبِرُ فيُنْفِقُ ممَّا أَعْطَاهُ اللَّهُ

 


Cetak  
Wallahu a'lam