Di mana ALlah SWT telah menciptakan pada manusia ini hawa nafsu dan syahwat. Yang mana tujuan ALlah taala menngurniakan hawa nafsu dan syahwat kepada kita ini supaya dengan adanya hawa nafsu dah syahwat, ia bertindak sebagai pendorong, supaya kita mampu berusaha untuk mendapatkan apa-apa yang memberi manfaat untuk kehidupan kita. Dalam masa yang sama ALlah SWT juga mengurniakan kepada kita sifat ghadhab غضب ataupun sifat marah. Untuk apa ada sifat marah itu? Supaya dengan sifat marah itu, ada sesuatu yang mendorong dia menolak perkara-perkara yang boleh mendatangkan mudharat kepada kita. Kita tak suka kepada maksiat, kenapa? Kerana kalau kita sedar maksiat itu membawa mudharat, lalu datang perasaan marah, maka kita akan tolak maksiat. Kalau kita sedar benda-benda keburukan akan mendatangkan keburukan kepada kita, dengan sifat marah dan benci yang dikurniakan oleh Allah di dalam jiwa kita, maka kita akan mampu menolak keburukan dan benda mudharat supaya jauh dari kita. Itu antara hikmah ALlah SWT mengurniakan kepada manusia hawa nafsu dan syahwat, demikian juga sifat marah dan benci.
Namun syaitan akan datang dan mendorong manusia supaya berlebihan dalam mengikut hawa nafsu dan syahwat, supaya tamakkan setiap perkara yang mendatangkan manfaat, sehingga seseorang itu akan melampaui batas.
Demikian juga syaitan akan berusaha, menarik manusia supaya menggunakan sifat marah dan benci itu dalam bentuk yang melampaui batas sehingga sampai ke tahap menzalimi dan menumpahkan darah orang lain. Hatta sampai ke tahap membunuh seperti yang berlaku kepada salah seorang anak Nabi Adam AS yang masyhur bernama Qabil.
Kenapa Qabil sanggup membunuh saudaranya Habil? Kerana dia hendakkan manfaat yang lebih untuk diri dia. Sehingga dia menzalimi orang lain. Dalam masa yang sama dia menuruti rasa marah dan benci dia kerana terpedaya dengan hasutan syaitan. Maka kerana itu kita perlu tahu dan sedar bagaimana peranan syaitan dalam menyelewengkan kita menggunakan pemberian-pemberian nikmat yang ALlah taala kurniakan kepada kita. Kerana itu dalam semua perkara panduan penting bagi kita iaitulah خير الأمور أوسطها sebaik-baik perkara itu adalah yang pertengahan. Inilah yang menjadi pedoman kita.