Kata al-Imam al-Bukhari: “dan telah bersabda Nabi SAW: أتدرون ما العَضْهُ “Tahukah kamu apa itu al-‘Adhu?” al-‘Adhu adalah pendustaan dan pembohongan. قالوا “para sahabat berkata: الله ورسوله أعلم “Allah dan rasul-Nya yang lebih mengetahui” فال “Kata Nabi SAW:
نقل الحديث من بعض الناس إلى بعض ليفسدوا بينهم
Maksudnya: “(al-Adhu) iaitulah memindahkan percakapan, menukilkan percakapan dari sebahagian orang kepada orang lain, untuk merosakkan hubungan antara mereka.”
Ini bermakna al-‘Adhu yang dimaksudkan oleh Nabi SAW di dalam hadis ini adalah al-Namimah.
al-Namimah seperti yang disebut di dalam hadis yang masyhur, iaitulah ketika Nabi SAW lalu berhampiran dengan dua kubur, baginda bersabda: “Sesungguhnya kedua-dua penghuni kubur ini sedang diazab.” Salah seorang yang diazab di dalam kubur itu, disebabkan يمشي بالنميمة iaitulah "dia dok bawak namimah" iaitulah dia bawa cakap seseorang kepada seseorang yang lain bagi tujuan melagakan mereka berdua, bagi tujuan mewujudkan permusuhan antara mereka berdua, supaya mereka berkelahi. Itulah namimah dan itulah juga maksud al-‘Adhu di dalam hadis ini.
Kita kena ambil perhatian berkaitan perkara ini tuan-tuan, di mana al-‘Adhu atau al-Namimah merupakan sebab popular orang Islam dikenakan azab kubur. Jadi jangan buat main dalam perkara ini.
Dua penghuni kubur yang Nabi SAW pacakkan pelepah tamar itu, kedua-duanya muslim atau kafir? maka jawapannya muslim. Jika tidak, mustahil Nabi SAW minta supaya diringankan azab ke atas mereka berdua. Jadi ambil perhatian tuan-tuan. Jauhi namimah, dan namimah ini boleh berlaku dalam bab keduniaan, boleh juga berlaku dalam bab agama. Ambil perhatianlah, jangan buat satu perkara untuk melagakan dua orang.
Kata al-Syeikh Husain al-‘Awayisyah ketika dia menghuraikan maksud hadis ini: والمراد التحذير من نقل كلام قوم لآخرين لإلقاء العداوة والبغضاء بينهم، هو النميمة التي هي كما قال جمع: نقل الحديث على وجه الإفساد، وهو من الكبائر iaitulah “peringatan dari Nabi dari menyampaikan perkataan satu kaum kepada kaum yang lain atau menyampaikan perkataan seseorang kepada seseorang yang lain, bagi mencampakkan permusuhan dan marah antara mereka berdua. Perbuatan ini adalah namimah sepertimana yang dikatakan oleh sekumpulan ulama. iaitulah menyampaikan, atau menukilkan perkataan seseorang bagi tujuan mendatangkan kerosakan. Kesalahan namimah termasuk di dalam kesalahan dosa besar.
Bila dia termasuk dalam kesalahan dosa besar, maka untuk bebas daripadanya, seperti yang kita semua tahu, syarat bertaubat ada tiga, jika tidak ada kaitan dengan hak manusia. Jika hanya antara kita dengan Allah, maka syaratnya tiga, pertama: menyesal, kedua: tinggalkan maksiat segera dan ketiga: berazam untuk tidak mengulangi lagi kesalahan yang sama. Jika kesalahan itu terkait dengan hak manusia, maka ditambah lagi satu syarat, iaitulah kena minta halal, maksudnya minta maaf. Jadi tuan-tuan cuba bayangkan, jika namimah dengan orang. Kita nak kena cari dua orang itu untuk minta maaf. Ini bukan kerja yang mudah. Jika tak lakukan perkara seperti ini, dosa namimah tidak akan terampun. Kerana al-Kaba-ir atau dosa-dosa besar memerlukan taubat. Tak cukup sekadar beristighfar. Ya kesalahan kita dengan Allah terpadam dengan bertaubat dan beristighfar.
Sesuatu kesalahan, seperti contoh kesalahan namimah, bila seseorang melakukan naminah, terpalit padanya dua dosa. Pertama dosa dengan Allah, kerana dia telah melanggar tegahan Allah melakukan namimah, maka dia berdosa dengan Allah. Dosa atau kesalahan ini boleh terpadam dengan bertaubat dan beristighfar. Tetapi dalam kesalahan namimah itu juga, dia ada dosa dengan manusia lain, yang tak boleh selesai, melainkan dengan mendapat kemaafan dari orang tersebut. Itu yang berat jika kesalahan terkait dengan manusia. Oleh itu ambil perhatian dalam perkara ini, wahai orang yang beriman.
Kalau kita ada sikap rasa benda ni ringan, maka kita kena muhasabah diri. Dalam hidup, kita nak dapat redha Allah SWT, kita nakkan kebaikan di akhirat atau kita nak dapat apa sebenarnya? Seperti yang saya bagitahu kepada tuan-tuan semua, kadang-kadang orang tanya: “Ustaz kalau ada orang tu, dia rajin solat dan puasa. Tetapi hubungan dia dengan jiran tak elok, suka maki orang dan seumpamanya. Apa hukum solat dan puasanya? Maka saya jawab:
“Solat dan puasanya sah, kalau dia solat dan puasa cukup syarat dan rukunnya. Dari sudut penilaian mata kasar, ia sah dan ibadat yang orang itu lakukan tak perlu lagi diulang. Tetapi orang yang melakukan perkara sebegitu, solat dan puasa, tapi dalam masa yang sama menyakiti jiran, dia sendiri kena muhasabah diri dia. Apa tujuan dia solat dan berpuasa? Atau apakah solat dan puasa yang dia lakukan itu hanya sekadar bertujuan memenuhi jadual dan rutin harian sahaja.? Contoh lain orang yang datang ke masjid, tetapi perangai dan akhlak tak elok-elok. Akhlak tidak menggambarkan seorang yang berulang ke masjid. Maka dia kena muhasabah diri sendiri, dia datang ke masjid itu untuk apa? Apakah untuk mengharapkan redha dan keampunan, juga kasih sayang dari Allah, atau dia sekadar hanya untuk memenuhi jadual sahaja? Alang-alang tak ada kerja dah, datang masjid lah, lepas datang masjid dia buat kacau di masjid.