Kata Abu Hurairah, Nabi SAW pernah bersabda:
الْمُسْتَبَّانِ ما قالا فَعَلَى البادِئِ، ما لَمْ يَعْتَدِ المَظْلُومُ
Yang bermaksud lebih kurang: “dua orang yang saling cela-mencela dan maki-memaki sesama mereka, maka atas orang yang menjadi sebab terjadinya makian dan cela-mencela itu memikul dosa semua celaan dan makian yang dikeluarkan orang kedua-dua mereka. Selama-mana orang yang dizalimi tidak melampau.”
Sebagai contoh, si Ali dengan si Ahmad, di mana si Ali menjadi sebab perkelahian antara Ali dengan Ahmad. Ali memaki Ahmad dengan berkata: “Wahai orang bodoh” sebagai contoh. Lalu Ahmad balas: “Hangpun bodoh juga”. Kalimah bodoh yang diungkapkan oleh Ali dan Ahmad, dosanya dipikul oleh Ali, kerana dia mejadi sebab berlakunya maki-memaki itu. Dosa dipukul oleh Ali kerana dia adalah البادِئِ iaitulah orang yang memulakan makian dan menjadi sebab makian.
“Selama mana orang yang dizalimi tidak melampau” iaitulah dalam contoh ini, Ahmad adalah المَظْلُومُ orang yang dizalimi oleh Ali. Dosa makian antara mereka berdua dipikul oleh Ali, selama mana Ahmad tidak melampau. Maknanya kalau Ali kata kepada Ahmad: “Hoi orang bodoh.” Ahmad geram, lalu dia balas: “Hang lagi bodoh dari aku, hang dua kali lagi bodoh” maknanya Ahmad telah bertindak melampau. Kalau Ahmad balas dua kali, dia sebut bodoh dua kali kepada Ali, sedangkan Ali sebut sekali sahaja. Maka celaan bodoh kedua yang disebut oleh Ahmad itu, dosa kesalahannya dipikul oleh Ahmad sendiri. Inilah maksud hadis ini.
Kerana itu tuan-tuan sekalian, jauhi sikap al-I’tida’ الاعتداء iaitulah melampau, kerana sikap melampaui batas ini akan menjerumuskan kita ke dalam lembah dosa. Melapaui batas ni boleh berlaku bila kita gagal kawal geram kita. Kadang-kadang kita selalu geram bila ada orang kata pada kita. Lalu kita kata “Aku geram dia dok kata kat aku, lalu aku balas dua kali” maka ketika itu kita berdosa kerana kita membalas kezaliman orang dalam bentuk melampaui batas yang dibenarkan syarak.
Sebenarnya tuan-tuan sekalian, agama membenarkan kita membalas kejahatan yang dilakukan terhadap kita dengan balasan setimpal. Seperti firman Allah SWT:
وَلَمَنِ ٱنتَصَرَ بَعْدَ ظُلْمِهِۦ فَأُوْلَٰٓئِكَ مَا عَلَيْهِم مِّن سَبِيلٍ
Maksudnya lebih kurang: “Dan bagi sesiapa yang membela diri setelah dia dizalimi, maka tidak ada jalan mereka dipersalahkan.” Tak ada jalan untuk kita kata orang yang membela diri itu berdosa.
Demikian juga di dalam surah yang sama pada ayat 39, tadi ayat 41, Allah berfirman:
وَالَّذِينَ إِذَا أَصَابَهُمُ الْبَغْيُ هُمْ يَنتَصِرُونَ
Maksudnya lebih kurang: “Dan orang yang apabila dikenakan kepada mereka kezaliman, maka mereka hanya bertindak untuk membela diri.” mereka tidak dipukulkan dosa, kerana agama izinkan orang yang dizalimi untuk membela diri.
Sekalipun demikian, kita kena tahu satu perkara, iaitulah jika orang yang dizalimi itu memberi kemaafan, maka itulah yang lebih baik. Maknanya orang yang dizalimi, kalau dia membalas atau membela diri, orang yang yang menzalimi itu tak ada lagi kesalahan dengan dia.
Seperti contoh Ali tadi yang kata kepada Ahmad: “Wahai sibodoh”, asalnya Ali memikul dosa melanggar tegahan Allah mencela orang beriman. Ali memikul dosa dengan Allah, ini dosa yang pertama. Kedua, kesalahan Ali dengan Ahmad pula, Ali memikul kesalahan dengan Ahmad di akhirat kelak kerana mencela Ahmad. Di akhirat kesalahan ALi dengan Ahmad ini perlu diselesaikan dengan balasan pahala Ali diberi kepada Ahmad. Tapi kalau Ahmad balas balik makian yang setimpal dengan berkata: “Hang yang bodoh.” Maka Ali telah terlepas dari menanggung kesalahan dengan Ahmad di akhirat. Tetapi kesalahan Ali dengan Allah masih ada. Ali terlepas memikul kesalahan kepada Ahmad kerana Ahmad telah membalas makian Ali tersebut. Ahmad tidak berdosa jika dia membalas dalam bentuk yang setimpal, demikian juga Ali tidak memikul lagi kesalahan dengan Ahmad yang telah membalas makian. Tetapi kalau Ahmad membalas makian dalam bentuk melampau, maka Ahmad memikul dosa melampau itu.
Akan tetapi jika Ahmad seorang yang memilih jalan yang lebih utama dan yang dianjurkan di dalam agama, iaitulah dia diam dan tidak membalas makian ALi kepadanya. Maka Ahmad berhak mendapat pahala di akhirat kelak, pahala tidak membalas makian yang dianjurkan oleh Allah. Selain itu Ahmad juga berhak mengambil pahala dari Ali atas kesalahan yang Ali lakukan kepadanya. Ini kerana qisas di akhirat iaitulah sesiapa yang melakukan kesalahan kepada orang lain, orang itu perlu bayar dalam bentuk pahala. Kerana itu orang yang memilih jalan senyap, atau tidak membela diri atau tidak membalas kezaliman yang dilakukan oleh orang lain terhadap dirinya, dia bakal menerima pahala yang berlipat kali ganda di sisi Allah SWT.