Sekalipun Doa Buruk Ketika Marah Tidak Dimakbulkan, Namun Hendaklah Dijauhi

Begitulah sifat seorang hamba, dia sentiasa bimbang kalau dia terlajak dalam melakukan kesilapan, dia terlajak dalam memohon, bimbang kalau-kalau diperkenankan ataupun kalau ada malaikat yang mengaminkan, dia bimbang. Lalu dia memperbanyakkan istighafar dan memohon perlindungan dengan Allah dari sebarang keburukan.

Isyarat dalam perkara ini iaitulah hadis Nabi SAW yang diriwayatkan oleh Imam Muslim di mana Nabi SAW pernah berdoa dengan berkata:

اَللَّهُمَّ إِنَّمَا أَنَا بَشَرٌ فَأَيُّ الْمُسْلِمِيْنَ لَعَنْتُهُ، أَوْ سَبَبْتُهُ فَاجْعَلْهُ لَهُ زَكَاةً وَأَجْراً

Maksudnya: "Ya Allah, daku ini hanyalah seorang manusia. Maka mana-mana dari kalangan orang Islam yang daku melaknat dan mencelanya, jadikanlah untuknya pembersihan dosa dan pahala." 

Maksudnya Nabi minta supaya Allah tiada memustajabkan celaan baginda kepada sesiapa, akan tetapi gantikanlah dengan penghapusan dosa dan pahala untuk untuk orang yang baginda cela tersebut. Dalam riwayat Muslim yang lain, ‘Aisyah RA menceritakan satu kisah:

دَخَل عَلَى رَسولِ الله صلَّى اللهُ عليه وسلَّم رَجُلانِ، فكلَّماه بشَيْءٍ لا أَدرِي ما هو، فأَغْضَبَاهُ، فلَعَنَهما وسبَّهما 

Maksudnya: "Ada dua orang lelaki masuk menemui Rasulullah SAW, mereka berdua berbicara dengan baginda berkaitan satu perkara yang daku tidak tahu apa perkara tersebut. Mereka berdua telah menjadikan baginda marah, maka baginda mencemuh dan mencerca mereka berdua."

Kita kena tahu, Rasulullah bila mencerca atau mencela seseorang, bukan kerana mempertahankan diri baginda, tidak sama sekali, baginda bukan sedemikian. Kerana itu, celaan dan cercaan baginda kepada mereka berdua, disebabkan kedua-dua mereka telah melakukan perkara yang dimurkai oleh Allah SWT. ‘Aisyah RA menyatakan:

ما انتقم رسولُ الله صلَّى اللهُ عليه وسلَّم لنَفْسِه في شَيءٍ قطُّ، إلَّا أن تُنتَهَكَ حُرمةُ اللهِ، فيَنتَقِمُ بها للهِ 

Maksudnya: "Tidak pernah baginda marah kerana mempertahankan diri baginda sama sekali, melainkan baginda akan marah jika membabitkan kemuliaan ALlah, maka baginda marah kerana Allah." 

Jadi Rasulullah, bila baginda cela seseorang, kerana orang itu melakukan kesalahan yang membabitkan perlanggaran perintah Allah, dia melanggar tegahan Allah. Hadis ini menunjukkan, sekalipun celaan dan cemuhan baginda tersebut tidak dimakbulkan, kerana baginda mengungkapkannya dalam keadaan marah. Namun baginda tetap mengharapkan ia ditukar dengan penghapusan dosa, pahala dan rahmat.


Cetak  
Wallahu a'lam