Wednesday, June 11, 2008
TIDAK diharamkan seseorang kencing berdiri, terutamanya apabila ada keperluan. Namun begitu kencing secara duduk itu adalah sunat kerana itulah kebiasaan yang dilakukan oleh Nabi S.A.W. berdasarkan hadith daripada ‘Aisyah R.A.:
مَنْ حَدّثَكُمْ أنَّ النَّبِيَّ صَلى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ كَانَ يَبُوْلُ قَائِمًا فَلَا تُصَدِّقُوْهُ ، مَا كَانَ يَبُوْلُ إلَّا قَاعِداً
Maksudnya: “Sesiapa yang menceritakan kepada kamu yang Nabi S.A.W. pernah kencing berdiri, maka janganlah kamu mempercayainya, tidaklah baginda kencing melainkan dengan duduk.” (HR al-Tirmizi, dan beliau berkata: “Hadith ini adalah yang paling sahih di dalam bab ini." Hadith ini juga di sahihkan oleh al-Albani di dalam Sahih Sunan al-Tirmizi)
Lajnah Daimah 5/88 (Badan Tetap Fatwa Arab Saudi) apabila ditanya tentang hukum kencing berdiri, mereka menyatakan keharusannya sambil menegaskan sunatnya kencing secara duduk dengan berdalilkan hadith di atas. Seterusnya mereka menyebut:
“Ini disebabkan (kencing secara duduk itu) ianya lebih terlindung dan lebih terpelihara daripada terkena percikan kencing. Telah diriwayatkan hadith tentang keringanan kencing secara berdiri dengan syarat selamat daripada terkena percikan kencing pada pakaian dan badan, dan selamat dari terdedah aurat. Al-Bukhari dan Muslim meriwayatkan daripada Huzaifah R.A. daripada Nabi S.A.W.:
أنَّهُ أَتَى سُبَاطَةَ قَوْمٍ فَبَالَ قَائِماً
Maksudnya: “Adalah baginda (S.A.W.) mendatangi kebun milik satu kaum, lalu baginda kencing secara berdiri.”
Hadith ini dengan ucapan ‘Aisyah di atas tidak saling bertentangan, ini kerana dari dua hadith di atas dapat difahami Nabi S.A.W. kencing berdiri disebabkan tempat tersebut tidak memungkinkan baginda duduk atau boleh juga difahami hadith daripada Huzaifah itu menjelaskan kepada orang ramai yang kencing berdiri itu bukanlah suatu perbuatan yang haram. Di samping itu hadith Huzaifah juga tidak menafikan yang asal hukum kencing adalah seperti yang dinyatakan oleh ‘Aisyah R.’anha yang Nabi S.A.W. kebiasaannya kencing secara duduk, dan kencing secara duduk itu adalah Sunnah Nabi S.A.W. yang bukan wajib yang menjadikan haram jika kita tidak melakukannya.”