Soalan:
Benarkah dakwaan beberapa ustaz yang mengatakan kucing itu najis dan umat Islam tidak boleh memasukkan kucing ke dalam rumah?
Jawapan:
- Kucing haiwan yang suci. Kesuciannya dinyatakan dengan jelas oleh Nabi SAW dalam hadis baginda.
عَنْ كَبْشَةَ بِنْتِ كَعْبِ بْنِ مَالِكٍ وَكَانَتْ تَحْتَ ابْنِ أَبِي قَتَادَةَ أَنَّ أَبَا قَتَادَةَ دَخَلَ فَسَكَبَتْ لَهُ وَضُوءًا فَجَاءَتْ هِرَّةٌ فَشَرِبَتْ مِنْهُ فَأَصْغَى لَهَا الْإِنَاءَ حَتَّى شَرِبَتْ قَالَتْ كَبْشَةُ فَرَآنِي أَنْظُرُ إِلَيْهِ فَقَالَ أَتَعْجَبِينَ يَا ابْنَةَ أَخِي فَقُلْتُ نَعَمْ فَقَالَ : إِنَّ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ : "إِنَّهَا لَيْسَتْ بِنَجَسٍ إِنَّهَا مِنْ الطَّوَّافِينَ عَلَيْكُمْ وَالطَّوَّافَات
Maksudnya: “Daripada Kabsyah Binti Ka‘ab Bin Malik (كَبْشَة بِنْتِ كَعْبِ بْنِ مَالِكٍ) ketika beliau isteri kepada anak Abi Qatadah. Bahawa pernah satu ketika beliau menuangkan air wudhu untuk Abu Qatadah. Tiba-tiba datang seekor anak kucing dan minum dari air wudhu tersebut. Abu Qatadah menghulungkan bekas air wudhu itu kepada anak kucing tersebut sehingga dia dapat minum. Kata Kabsyah: “Abu Qatadah melihat aku melihat perbuatannya itu lalu berkata: “Kamu hairan (dengan tindakan aku) wahai anak saudaraku?” Kata Kabsyah: “Ya.” Jawab beliau: “Sesungguhnya Rasulullah SAW pernah bersabda: “Kucing itu tidak najis, ia tidak lain melainkan dari haiwan yang sentiasa berlegar sekitarmu.”
Demikian juga Abu Daud dalam Sunannya meriwayatkan:
وَعَنْ دَاوُدَ بْنِ صَالِحِ بْنِ دِينَارٍ، عَنْ أُمِّهِ، أَنَّ مَوْلَاتَهَا أَرْسَلَتْهَا بِهَرِيسَةٍ إِلَى عَائِشَةَ. قَالَتْ: فَوَجَدْتُهَا تُصَلِّي، فَأَشَارَتْ إِلَيَّ: أَنْ ضَعِيهَا، فَجَاءَتْ هِرَّةٌ، فَأَكَلَتْ مِنْهَا، فَلَمَّا انْصَرَفَتْ عَائِشَةُ مِنْ صَلَاتِهَا، أَكَلَتْ مِنْ حَيْثُ أَكَلَتِ الْهِرَّةُ. فَقَالَتْ: إِنَّ رَسُولَ اللَّهِ ﷺ قَالَ: «إِنَّهَا لَيْسَتْ بِنَجَسٍ، إِنَّهَا مِنَ الطَّوَّافِينَ عَلَيْكُمْ». وَإِنِّي رَأَيْتُ رَسُولَ اللَّهِ ﷺ تَوَضَّأَ بِفَضْلِهَا
Maksudnya: “Daripada Daud bin Saleh bin Dinar, daripada Ibunya, bahawa bekas hamba ibunya, di mana ibunya itu pernah mengutuskan bekas hambanya membawa harisah (sejenis makanan daripada gandum yang ditumbuk dan dilenyek) kepada ‘Aisyah RA. Kata hamba itu: “Aku mendapati Aisyah sedang menunaikan solat, lalu ‘Aisyah memberi isyarat kepadaku, untuk meletakkan makanan tersebut. Tiba-tiba datang seekor kucing dan memakan sedikit dari makanan itu. Apabila ‘’Aisyah RA selesai menunaikan solat, beliau makan dari tempat yang dimakan oleh kucing tersebut dan berkata: “Sesungguhnya Rasulullah SAW bersabda: “Sesungguhnya kucing itu bukanlah najis. Ia tidak lain, hanyalah dari kumpulan haiwan yang sentiasa berlegar di sekitarmu dan aku sendiri pernah melihat baginda berwudhu dari air bekas minuman kucing.”
Kedua-dua hadis ini dinilai sahih oleh al-Bukhari, al-Daraqutni dan lainnya seperti yang dinyatakan dalam al-Talkhis oleh Ibn Hajar 1/15. Dalam dua hadis ini Nabi SAW menyatakan dengan jelas, kucing tidak najis.
- Kucing dipelihara untuk berkhidmat kepada manusia.
Perkataan Nabi SAW dalam hadis: إِنَّهَا مِنْ الطَّوَّافِينَ عَلَيْكُمْ وَالطَّوَّافَات yang bermaksud: “Sesungguhnya kucing itu dari haiwan yang sentiasa berlegar sekitarmu”, adalah merujuk kepada peranan kucing kepada manusia iaitulah seperti hamba yang dimiliki. Dalam al-Quran Allah SWT berfirman: يَا أَيُّهَا الَّذِيْنَ آمَنُوْا لِيَسْتَأذِنْكُمُ الَّذِيْنَ مَلَكَتْ اَيْمَانُكُمْ yang bermaksud: “Wahai orang-orang yang beriman, hendaklah meminta izin kepada kamu hamba-hamba kamu…” sehinggalah ayat: لَيْسَ عَلَيْكُمْ وَلا عَلَيْهِمْ جُنَاحٌ بَعْدَهُنَّ طَوَّافُوْنَ عَلَيْكُمْ maksudnya: “Tiadalah apa-apa kesalahan ke atas kamu dan mereka lain dari tiga waktu tersebut, kerana mereka (para hamba itu) adalah dari kalangan mereka yang sentiasa berlegar sekitarnya (berkhidmat kepadamu).” (al-Nur: 58) Dalam ayat lain Allah SWT berfirman: يَطُوْفُ عَلَيْهِمْ وِلْدَانٌ مخلدون maksudnya: “dan mereka (ahli syurga itu) dilayani oleh khadam-khadam muda yang yatuf (sentiasa berlegar sekitar mereka)” (al-Insan: 19 - Lihat Gharib al-Hadis oleh Abu ‘Ubaid al-Qasim bin Sallam bin Abdullah al-Harawi al-Baghdadi 1/270. Huraian yang sama oleh Ibn al-Munzir dalam al-Awsat Fi al-Sunan Wa al-Ijma’ Wa al-Ikhtilaf 1/303)
Ibn Daqiq al-‘Ied dalam Syarh al-Ilmam Bi Ahadith al-Ahkam 1/492 menyebut dua makna untuk ungkapan Nabi SAW: إِنَّهَا مِنْ الطَّوَّافِينَ عَلَيْكُمْ وَالطَّوَّافَات yang bermaksud: “Sesungguhnya kucing itu dari haiwan yang sentiasa berlegar sekitarmu.” Salah satunya ialah baginda menyamakan kucing dengan para hamba dan khadam rumah yang berlegar sekitar penghuni rumah untuk melakukan khidmat. Ia seperti firman Allah SWT: طَوَّافُونَ عَلَيْكُمْ بَعْضُكُمْ عَلَى بَعْضٍ maksudnya: “Mereka adalah yang sentiasa beredar sekitarmu, dan sebahagian kamu berhubung rapat dengan yang lain.” (al-Nur: 58)
Oleh itu dinasihatkan kepada umat Islam agar menjauhi sikap melampau dalam memberi perhatian dan dalam memperuntukkan perbelanjaan kepada kucing. Dibimbangi sikap ini berlaku disebabkan kelemahan akal dalam menilai dan menimbang antara perkara yang lebih besar untuk diberi perhatian dengan perkara sampingan yang tidak perlu diberi tumpuan dan tidak perlu peruntukan yang banyak. Lebih membimbangkan jika sikap dan tindakan itu hasil dari kerapuhan pengamalan agama dari sudut sanggup tidak menghiraukan keperluan manusia lain yang lebih patut dibantu terdiri dari kalangan muslim mahupun bukan muslim.