SDI 1582: Apakah Dosa Membuka Aib Diri Sendiri Akan Diampunkan?

Soalan:

Merujuk kepada ayat 53 dari surah al-Zumar yang mengatakan Allah mengampuni semua dosa. Soalan saya apakah termasuk dosa membuka aib diri sendiri sekiranya bertaubat?

Jawapan:

Surah al-Zumah ayat 53 ialah firman Allah SWT:

﴿قُلۡ يَٰعِبَادِيَ ٱلَّذِينَ أَسۡرَفُواْ عَلَىٰٓ أَنفُسِهِمۡ لَا تَقۡنَطُواْ مِن رَّحۡمَةِ ٱللَّهِۚ إِنَّ ٱللَّهَ يَغۡفِرُ ٱلذُّنُوبَ جَمِيعًاۚ إِنَّهُۥ هُوَ ٱلۡغَفُورُ ٱلرَّحِيمُ٥٣

Maksudnya: “Katakanlah (wahai Muhammad): "Wahai hamba-hamba-Ku yang telah melampaui batas terhadap diri mereka sendiri (dengan perbuatan-perbuatan maksiat), janganlah kamu berputus asa dari rahmat Allah, kerana sesungguhnya Allah mengampunkan segala dosa; sesungguhnya Dia lah jua Yang Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani.” [Az-Zumar: 53]

Ayat ini merangkumi keampunan dosa membuka aib diri sendiri sekiranya bertaubat, kerana dosa tersebut tidak membabitkan pihak lain, melainkan dirinya sendiri.

Adapun hadis:

كلُّ أُمَّتي مُعافًى إلا المجاهرين، و إنَّ من الجِهارِ أن يعملَ الرجلُ بالليلِ عملًا ثم يُصبِحُ و قد ستره اللهُ تعالى فيقولُ: عملتُ البارحةَ كذا و كذا، و قد بات يسترُه ربُّه، و يُصبِحُ يكشفُ سِترَ اللهِ عنه

Maksudnya: “Setiap umatku berada dalam keadaan sejahtera (selamat dari dosa) melainkan al-Mujahirin. Sesungguhnya antara perbuatan jihar itu ialah apabila seseorang melakukan kesalahan pada malam hari, kemudian pada pagi hari, dalam keadaan Allah telah menutup kesalahannya tersebut (dari pengetahuan orang ramai), dia menghebahkannya pula dengan berkata: “Aku telah melakukan malam tadi sekian-sekian perbuatan (dosa), sedangkan tuhannya telah menutup keaibannya itu, namun dia membuka tutupan Allah tersebut darinya.” (al-Bukhari dan Muslim)

Hadis ini merujuk kepada sesiapa yang menceritakan dosanya dengan sengaja atau berbangga dengan dosa yang telah dilakukan tanpa sempat bertaubat.


Cetak  
Wallahu a'lam