SDI 1667: Hukum Bersiul

Soalan:

ustaz, adakah benar bersiul dilarang dalam syarak?dan adakah bersiul juga dikatakan kita panggil syaitan?

Jawapan:

 

Dalam permasalah bersiul atau dalam bahasa ‘Arab disebut sebagai  التصفير. Para ulama berbeza pandangan dalam masalah ini. Ada tiga pandangan ulama, iaitulah:

Pertama mengatakan haram, bersiul itu adalah perbuatan yang ditegah, siapa yang melakukannya maka ia adalah perbuatan yang haram. Dalil mereka berdasarkan adanya celaan Allah kepada Quraish Jahiliyyah yang melakukan perbuatan Muka’ dan al-Tasdiah, iaitulah mereka melakukan ibadah tawaf di Kaabah sambil bersiul dan bertepuk tangan. Dalam surah al-Anfal ayat 35, Allah SWT berfirma:

وَمَا كَانَ صَلَاتُهُمْ عِندَ الْبَيْتِ إِلَّا مُكَاءً وَتَصْدِيَةً ۚ فَذُوقُوا الْعَذَابَ بِمَا كُنتُمْ تَكْفُرُونَ

Maksudnya: “Dan tidaklah solat golongan musyrikin Mekah itu di sisi Kaabah melainkan dalam bentuk Muka’an dan Tasdiah.”

Mukaa’ ialah تصفير atau bersiul. Iaitulah mereka mengeluarkan bunyi seperti burung. Manakala Tasdiah pula adalah bertepuk tangan. “Maka rasakanlah azab dari apa-apa yang mereka kukurkan.” Jadi berdalilkan ayat ini para ulama kumpulan pertama berpandangan mukaa’ dan tasdiah termasuk dalam ciri-ciri masyarakat jahiliyyah dan akhlah yang buruk. Oleh itu perbuatan bersiul dan bertepuk tangan termasukdalam perbuatan yang haram.

Pandangan kedua mengatakan hukum bersiul adalah makruh. Alasan mereka ayat al-Quran tadi tidak cukup untuk menghasilkan hukum haram kepada dua perbuatan tersebut. Ini kerana menyerupai golongan kafir yang dicela, jika dilakukan dalam bentuk tiada keperluan untuk melakukannya. Jika ada keperluan, maka sekurang-kurang hukumnya pergi kepada makruh. Antara perkataan ulama yang boleh dikongsikan ialah perkataan Ibn Muflih dalam kitabnya al-Adab al-Syar‘iyyah 3/375: قال الشيخ عبد القادر رحمه اللهيكره التصفير والتصفيق “Kata al-Syeikh ‘Abdul Qadir: “Dimakruhkan bersiul dan bertepuk tangan.” Ini pandangan kedua.

Pandangan ketiga pula mengatakan bersiul ini hukumnya adalah harus dengan alasan tidak terdapat bukti atau teks dari al-Quran dan al-Sunnah yang mengharamkannya. Demikian juga tiada bukti untuk mengatakan makruh. Ini kerana asas dalam perkara yang berkaitan dengan adat dan kebiasaan, asal hukumnya adalah harus. Maka apabila tiada bukti tertegah, maka kekal hukumnya harus. Manakala ayat al-Quran yang dijadikan dalil oleh kumpulan pertama, dijawab dengan mengatakan ayat tersebut menceritakan dan mencela perbuatan orang kuffar Quraisy yang menjadikan bertepuk tangan dan bersiul itu termasuk dalam ibadah dan syiar ibadat kepada Allah sebagai menggantikan tasbih, takbir, tahmid dan zikir-zikir lain. Kerana itu perbuatan mereka dicela oleh Allah. Bukan semata-mata kerana bertepuk tangan dan bersiul. Kata Syeikh al-Islam Ibn Taimiyyah RH dalam Majmu’ al-Fatawa 3/427:

كان المشركون يجتمعون في المسجد الحرام يصفقون ويصوتون، يتخذون ذلك عبادة وصلاة، فذمهم الله على ذلك، وجعل ذلك من الباطل الذي نهى عنه

Maksudnya: “Dahulunya orang muysrikin mereka berhimpun di masjidil haram. Mereka bertepuk tangan dan bersiul. Mereka menjadikan perbuatan bertepuk tangan dan bersiul itu sebagai cara mereka solat. Lalu Allah mencela perbuatan tersebut dan menjadikan perbuatan itu termasuk dalam kalangan perbuatan yang batil dan ditegah ketika beribadat.”

Demikian juga perkataan Abu Bakar al-Jassas RA dalam Ahkam al-Quran 3/76:

سمي ( المكاء ) و ( التصدية ) صلاة؛ لأنهم كانوا يقيمون الصفير والتصفيق مقام الدعاء والتسبيح. وقيل: إنهم كانوا يفعلون ذلك في صلاتهم

Maksudnya: “Dinamakan bukaa’ dan tasdiah itu sebagai solat (dalam al-Quran). Ini kerana musyrikin Mekah menjadikan bertepuk tangan dan bersiul itu pada tempat doa dan tasbih. Bahkan ada juga pandangan yang mengatakan musyrikin Mekah ketika solat mereka jadikan bertepuk tangan dan bersiul itu di dalam solat mereka.”

Oleh itu penghujahan kumpulan pertama dianggap tidak kuat oleh ulama ketiga, kerana ayat tidak menunjukkan bersiul dan bertepuk tangan itu haram. Wallahu a’lam, ramai dalam kalangan ulama membenarkan bertepuk tangan dan bersiul apatah lagi ketika ada keperluan, terutamanya hari ini apabila melihat banyak aktiviti hari ini yang perlu ada, dan tiada di zaman dahulu disebabkan bertambah luas dan banyak aktiviti manusia, seperti penggunaan visel untuk lalu lintas dan seorang ibu yang hendak memberi isyarat dari jauh kepada anaknya supaya diam dan seumpamanya. Perkara ini dibenarkan dalam syarak. Adapun anggapan yang mengatakan bersiul itu memanggil syaitan dan seumpamanya, ia tidak memiliki sebarang bukti, wallahu a’lam.


Cetak  
Wallahu a'lam