SDI 1662: Apa Baris Sebenar بسم الله أوله وآخره

Soalan:

Ustaz bagaimana bacaan sebenar kalau terlupa baca bismillah sebelum makan? Bismillahi awwalahu wa akhirahu atau bismillahi awwalihi wa akhirihi atau bismillahi awwaluhu wa akhiruhu?

Jawapan:

Bacaan apabila terlupa membaca bismillah sebelum makan dinyatakan dalam hadis ‘Aisyah RA riwayat Abu Daud, al-Tirmizi dan Ibn Majah, Nabi SAW bersabda:

إِذَا أَكَلَ أَحَدُكُمْ فَلْيَذْكُرِ اسْمَ اللَّهِ تَعَالَى، فَإِنْ نَسِيَ أَنْ يَذْكُرَ اسْمَ اللَّهِ تَعَالَى فِي أَوَّلِهِ فَلْيَقُلْ بِسْمِ اللَّهِ أَوَّلَهُ وَآخِرَهُ

Maksudnya: “Apabila seseorang daripada kamu hendak makan, maka sebutlah nama Allah taala. Jika dia terlupa menyebut nama Allah taala di awalnya, maka bacalah: بِسْمِ اللَّهِ أَوله وَآخِره.” Hadis ini dinilai sahih oleh al-Albani dalam Sahih Abi Daud.

Bacaan ini boleh dibaca dengan dua cara bacaan:

[1] Boleh dibaca dengan: “awwalahu wa aakhirahu”: بِسْمِ اللهِ أَوَلَهُ وَآخِرَهُ maksudnya: “Dengan nama Allah ketika di awal dan ketika di akhirnya.”

Bacaan seperti ini berdasarkan pernyataan Abu al-Baqa’ (أَبُو الْبَقَاءِ) yang dinukilkan oleh al-Bujairami dalam Hasyiahnya yang mengatakan, yang baiknya adalah dibaca: أَوَلَهُ وَآخِرَهُ dengan hukum nasb kerana kedua-duanya zarfiyyah dengan diandaikan عِنْدَ أَوَّلِهِ وَعِنْدَ آخِرِهِ maksudnya “ketika awal dan ketika akhirnya”. Namun dibuang kalimah: عِنْدَ menjadikan kalimah أوله dan آخره yang merupakan mudhaf ilai mengambil baris kalimah عِنْدَ (mudhaf) yang dibuang. Jadilah barisnya  أَوَلَهُ dan وَآخِرَهُ iaitulah berbaris fathah dan berhukum nasb.

[2] Boleh juga dibaca dengan bacaan: “awwalihi wa aakhirihi”: بِسْمِ اللهِ أَوَلِهِ وَآخِرِهِ maksudnya: “Dengan nama Allah di awal dan di akhirnya”. Bacaan kedua ini berdasarkan riwayat Ibn Hibban daripada Ibn Mas‘ud RA, Nabi SAW bersabda:

من نَسِيَ أَنْ يَذْكُرَ اللَّهَ فِي أَوَّلِ طَعَامِهِ، فَلْيَقُلْ حِينَ يَذْكُرُ: بِسْمِ اللَّهِ فِي أَوَّلِهِ وآخره، فإنه يستقبل طعاماً جَدِيدًا، وَيَمْنَعُ الْخَبِيثَ مَا كَانَ يُصِيبُ مِنْهُ

Maksudnya: “Siapa yang terlupa menyebut nama Allah di awal makannya (sebelum mejamah makanan), maka bacalah ketika dia ingat: بِسْمِ اللَّهِ فِي أَوَّلِهِ وآخِرِهِ. Maka orang itu memulakan makanan yang baharu (dengan menyebut nama Allah) dan menghalang syaitan yang hina dari terus mengambil makanan yang dimulakan tanpa menyebut nama Allah.” Hadis ini dinilai sahih oleh al-Albani dalam al-Sahihah.

Ungkapan “ketika akhirnya” atau “di akhirnya” dalam bacaan dimaksudkan kepada selain dari awal, maka ia merangkumi waktu pertengahan dan akhir.


Cetak  
Wallahu a'lam