Soalan:
Apakah hukum menjadikan aktiviti memancing sebagai hobi dan saja-saja?
Jawapan:
Pertama:
Aktiviti memburu atau menangkap haiwan (termasuk burung dan memancing ikan) terbahagi kepada dua:
1. Memburu untuk tujuan manfaat
Seperti untuk dimakan, dijual, disedekahkan kepada mereka yang memerlukan, dihadiahkan kepada rakan atau saudara mara, atau lain-lain bentuk manfaat. Maka ini adalah harus menurut ijmak ulama.
Sheikh Ibn ‘Uthaymin RH berkata:
فهذا لا شك في جوازه، وهو مما أحله الله عزّ وجل في كتابه، وثبتت به السنة عن النبي صلّى الله عليه وسلّم، وأجمع عليه المسلمون
“Tiada syak bahawa ia dibenarkan. Ia termasuk dalam perkara yang dihalalkan oleh Allah dalam kitab-Nya, dan disahkan oleh sunnah Nabi SAW, serta disepakati oleh umat Islam.” (al-Sharh al-Mumtiʿ 15/98)
2. Memburu semata-mata untuk hiburan, sebagai satu permainan atau suka-suka, tanpa mengambil manfaat daripadanya selepas ditangkap, seperti memburu kemudian membiarkannya begitu sahaja.
Memburu jenis ini makruh menurut sebahagian ulama, malah terdapat dalam kalangan ulama yang cenderung mengatakan haram.
Antara dalil yang menunjukkan ia adalah aktiviti yang dimakruhkan atau yang dibenci pada nilaian syarak ialah hadis daripada Abdullah bin ‘Amr RA, bahawa Nabi SAW bersabda:
مَنْ قَتَلَ عُصْفُورًا بِغَيْرِ حَقِّهِ، سَأَلَهُ اللَّهُ عَنْهُ يَوْمَ الْقِيَامَةِ، قِيلَ: وَمَا حَقُّهُ؟. قَالَ: أَنْ تَذْبَحَهَا فَتَأْكُلَهَا، وَلَا تَقْطَعْ رَأْسَهَا فَيُرْمَى بِهَا
“Sesiapa yang membunuh seekor burung tanpa hak, maka Allah akan bertanya kepadanya pada hari kiamat. Ditanya kepada baginda: “Apa hak burung tersebut?” Baginda bersabda: “Menyembelihnya untuk dimakan, dan bukan memotong kepalanya lalu membuangnya.” (Diriwayatkan oleh al-Nasa’i (4349), al-Darimi (1978); sanadnya dinilai baik oleh al-Zahabi dan dinilai sahih atau hasan oleh beberapa ulama seperti Ibn al-Mulaqqin dalam al-Badr al-Munir 9/376, Ibn Kathir dalam Irsyad al-Faqih 1/368 , dan al-Albani dalam Sahih al-Targhib 1092)
Sheikh Ibn ‘Uthaymin berkata:
فهذا مكروه، ولو قيل بتحريمه لكان له وجه؛ لأنه عبث، وإضاعة مال، وإضاعة وقت
“Ini adalah perbuatan yang makruh. Malah, jika dikatakan haram pun, ia ada asas, kerana ia merupakan perbuatan sia-sia, pembaziran harta dan masa.” (al-Sharh al-Mumtiʿ 15/98)
Al-Hafiz Ibn Hajar al-‘Asqalani menyebut:
فَلَوْ لَمْ يَقْصِدِ الِانْتِفَاعَ بِهِ حَرُمَ؛ لِأَنَّهُ مِنَ الْفَسَادِ فِي الْأَرْضِ، بِإِتْلَافِ نَفْسٍ عَبَثًا
“Jika seseorang itu tidak berniat untuk mengambil manfaat daripadanya, maka ia adalah haram kerana ia tergolong dalam perbuatan melakukan kerosakan di muka bumi, dengan membinasakan nyawa tanpa tujuan.” (Fath al-Bari 9/602)
Kedua:
Tidak terdapat dalil syarak yang melarang aktiviti memburu. Maka, hukum asal memburu adalah harus, melainkan dalam waktu yang dilarang seperti memburu haiwan darat bagi seorang yang berada dalam keadaan ihram.
Sheikh Ibn ‘Uthaymin berkata:
ظاهر الحكم الشرعي أنه جائز، ولكن الأفضل إذا كان في زمن إفراخها: أن لا يقتلها، يعني: أن لا يصيدها إلا إذا كان يعرف مكان أفراخها، ثم صادها وذهب لأفراخها وأخذها، ثم ذبحها وانتفع بها
“Hukum syarak yang jelas adalah harus. Namun yang lebih baik, jika berada dalam musim burung bertelur dan menjaga anak-anaknya (musim penetasan), janganlah ia membunuh (atau menangkap) ibu burung itu, maksudnya: jangan diburu melainkan jika mengetahui tempat anak-anaknya (atau telur-telurnya), lalu menangkap ibu itu, kemudian pergi mengambil anak-anaknya (atau telur-telurnya), menyembelih dan memanfaatkannya.” (Fatawa Nur ‘ala al-Darb 1/75)
Sheikh Muhammad bin Ibrahim Al al-Sheikh juga pernah ditanya:
هل ينبغي أن يترك اصطياد بعض الصيود أو بعض الطيور إذا كانت حوامل، أو لها فراخ؟ فأجاب: ما سمعت فيه شيئاً [يعني: لا أعلم دليلا من الشرع أنها تترك]؛ لكن فيه شيء من الخير إذا ترك أم الفراخ فهو شيء مناسب، أما كون ذلك محرم فلا
“Adakah patut ditinggalkan perburuan terhadap haiwan yang sedang mengandung atau menjaga anak? Beliau menjawab: “Saya tidak pernah mendengar ada dalil syarak yang melarangnya. Namun, jika seseorang meninggalkan ibu kepada anak-anaknya (anak masih kecil), maka itu adalah sesuatu yang baik. Tetapi untuk menghukumkan ia haram, itu tidak.” (Fatawa wa Rasail 12/223)
Sebahagian ulama melarang memburu ibu haiwan yang masih mempunyai anak kecil yang memerlukan penjagaan.
Fatwa Lajnah Daimah menyebut:
لا يجوز قتل أمهاتها، أو أخذها حية، وأولادها صغار تحتاج إلى رعاية أمهاتها
“Tidak boleh membunuh atau menangkap ibu haiwan yang mempunyai anak-anak kecil yang masih memerlukan penjagaan.” (Fatawa Lajnah Daimah 22/512)
Sheikh Ibn Jibreen juga berkata:
يُكره صيد الطيور التي لها أفراخ صغيرة ؛ لأن في ذلك إضراراً بأفراخها ، وهكذا أيضًا يُكره أخذ أفراخها في حال صغرهم ؛ لأن في ذلك إضراراً بها لما ركَّب الله فيها من الرحمة لهم . أما إذا صادها وأخذ أفراخها ، فالظاهر أنه لا مانع من ذلك ؛ لأن الأصل إباحة الصيد المأكول
“Makruh memburu burung yang mempunyai anak-anak kecil kerana itu mendatangkan mudharat kepada anak-anaknya. Begitu juga dimakruhkan mengambil anak-anak burung ketika masih kecil kerana ia mendatangkan mudharat kepada ibunya yang telah ditetapkan oleh Allah memiliki perasaan kasih sayang kepada anak-anaknya. Tetapi jika ibu burung itu diburu dan anak-anaknya juga diambil, maka yang Zahir hukumnya tidak mengapa kerana yang zahir (hukum asal) memburu haiwan yang boleh dimakan adalah harus.”
Kesimpulan:
- Memburu untuk manfaat adalah harus secara ijmak.
- Memburu hanya untuk hiburan tanpa mengambil manfaat adalah makruh atau tidak mustahil dihukum haram.
- Memburu haiwan semasa musim mengawan atau ketika menjaga anak adalah harus, tetapi lebih baik ditinggalkan, terutama jika boleh menyusahkan anak-anak haiwan tersebut.