Soalan:
Apa yang dimaksudkan dengan duduk ihtibak? Ada orang kata haram duduk secara ihtibak, betulkah ustaz?
Jawapan:
Al-Khatib al-Syirbini RH dalam Mughniy al-Muhtaj 1/557 menyatakan:
وَيُكْرَهُ الِاحْتِبَاءُ، وَهُوَ أَنْ يَجْمَعَ الرَّجُلُ ظَهْرَهُ وَسَاقَيْهِ بِثَوْبِهِ أَوْ يَدَيْهِ أَوْ غَيْرِهِمَا وَالْإِمَامُ يَخْطُبُ لِلنَّهْيِ عَنْهُ، لِأَنَّهُ يَجْلِبُ النَّوْمَ فَيَمْنَعُهُ الِاسْتِمَاعَ
“Dan makruh hukumnya duduk ihtibā’, iaitu seseorang lelaki menghimpunkan (merapatkan) belakang dan kedua-dua betis kakinya dengan kain, atau tangannya, atau selain keduanya, ketika imam sedang berkhutbah, kerana terdapat larangan terhadapnya. Hal ini kerana ia boleh menyebabkan mengantuk lalu menghalang daripada mendengar khutbah.”
Inilah sebab larangan dari duduk secara al-Ihtiba’ ketika mendenagar khutbah Jumaat. Namun jika dengan duduk secara ihtiba’ mendatangkan kecergahan, ia diharuskan pula, kerana ia bukan dilarang semata-mata kerana duduk tersebut, sebaliknya kesan yang diperolehi daripada duduk. Jika ia membawa kepada mengantuk, maka makruh, jika tidak, ia jadi harus.
Dalam kitab Busyra al-Karim, dinyatakan:
(وَيُكْرَهُ: الاحْتِبَاءُ فِيْهَا) -أي: الخُطْبَةَ- لِحَاضِرِهَا؛ لِمَا صَحَّ مِنْ النَّهْيِ عَنْهُ، وَلِأَنَّهُ يَجْلِبُ النَّوْمَ. قَالَ ابْنُ زِيَاد: وَلَوْ عَلِمَ مِنْ عَادَتِهِ إِنّ الاحْتِبَاء يَزِيْدُ فِيْ نَشَاطِهِ، فَلَا بَأْسَ بِهِ
(Dimakruhkan duduk ihtibā’ padanya) — iaitu ketika khutbah sedang berlangsung — bagi orang yang hadir khutbah, kerana terdapat hadis sahih yang melarangnya, dan kerana ia menyebabkan mengantuk. Ibn Ziyād berkata: Jika seseorang tahu bahawa kebiasaannya duduk ihtibā’ itu menambah kecergasannya, maka tidak mengapa melakukannya.
Dalil larangan ini adalah hadis Muaz bin Anas RA, bahawa Nabi ﷺ bersabda:
نَهَى عَنِ الحبْوَة يَوْمَ الجُمُعَةِ، وَالإِمَامُ يَخْطُبُ
“Baginda melarang duduk habwah pada hari Jumaat ketika imam sedang berkhutbah.” (Diriwayatkan oleh Abu Daud (1110) dan al-Tirmizi (514). Dinilai hasan oleh al-Albani dalam Sahih Abi Daud)
Namun, ramai ulama menilai hadis ini lemah, seperti Ibn al-‘Arabi dalam ‘Aridah al-Ahwazi (1/496), al-Nawawi dalam al-Majmu‘ (4/592), dan al-Dhahabi dalam al-Muhadhdhab (3/1165).
Ibn al-Qattan berkata:
فيه سهل بن معاذ ضعيف، ويرويه عنه أبو مرحوم:عبد الرحيم بن ميمون، وهو أيضًا ضعيف الحديث، قاله ابن معين
“Pada sanad hadis ini terdapat Sahl bin Mu‘adh seorang yang lemah, dan meriwayatkan daripadanya Abu Marhum; ‘Abd al-Rahim bin Maimun, dia juga lemah dalam hadis, sebagaimana yang disebut oleh Ibn Ma‘in.” (al-Wahm wa al-Iyham الوهم والإيهام (3/108)
Al-Mardawi berkata:
ولا تكره الحبوة على الصحيح من المذهب، نص عليه [يعني الإمام أحمد]
“Tidak makruh duduk secara habwah menurut pendapat yang sahih dalam mazhab (Hanbali), dan ini dinaskan oleh Imam Ahmad.” (al-Insaf (2/396).
Abu Daud berkata:
كَانَ ابْنُ عُمَرَ يَحْتَبِي وَالْإِمَامُ يَخْطُبُ، وَأَنَسُ بْنُ مَالِكٍ وَشُرَيْحٌ وَصَعْصَعَةُ بْنُ صُوحَانَ وَسَعِيدُ بْنُ الْمُسَيَّبِ وَإِبْرَاهِيمُ النَّخَعِيُّ وَمَكْحُولٌ وَإِسْمَعِيلُ بْنُ مُحَمَّدِ بْنِ سَعْدٍ. ثم قال أَبُو دَاوُد: وَلَمْ يَبْلُغْنِي أَنَّ أَحَدًا كَرِهَهَا إِلَّا عُبَادَةَ بْنَ نُسَيٍّ [أحد التابعين]
“Ibn ‘Umar duduk secara habwah ketika imam sedang berkhutbah, begitu juga Anas bin Malik, Shurayh, Sa‘sa‘ah bin Suhan, Sa‘id bin al-Musayyib, Ibrahim al-Nakha‘i, Makhul dan Isma‘il bin Muhammad bin Sa‘d. Kemudian Abu Daud berkata: “Tidak sampai kepadaku bahawa ada seorang pun yang membencinya kecuali ‘Ubadah bin Nusayy (seorang daripada kalangan tabi‘in).”
Ibn Qudamah berkata dalam al-Mughni (3/202):
والأولى تركه لأجل الخبر، وإن كان ضعيفا، ولأنه يكون متهيئا للنوم والوقوع وانتقاض الوضوء، فيكون تركه أولى
“Yang lebih utama ialah meninggalkannya (duduk ihtiba’) kerana hadis yang ada, walaupun ia dhaif, dan kerana ia boleh membawa kepada mengantuk dan terjatuh serta terbatalnya wuduk, maka meninggalkannya adalah lebih utama.”
Berdasarkan maklumat ini, maka yang lebih baik ialah tidak duduk secara habwah atau ihtiba’, kerana ia boleh menyebabkan rasa mengantuk dan malas. Namun, jika seseorang memerlukannya dan mengetahui bahawa ia tidak akan menyebabkan rasa mengantuk dan malas, maka tidak mengapa, insya-Allah.