SDI 1812: Kelebihan Semata-mata Ditimpa Musibah Bagi Orang Yang Beriman

Soalan:

Apakah ganjaran bagi orang yang ditimpa musibah? Adakah cukup dengan musibah itu sahaja untuk menghapuskan dosa, atau perlu disertai dengan sabar dan reda?"

Jawapan:

Sabar atas bala dan musibah yang menimpa adalah sebab bagi mendapat pahala yang berlipat ganda. Thabit dalam beberapa hadis yang menunjukkan bahawa dosa dihapuskan semata-mata dengan terjadinya sesuatu bala dan kesusahan yang menimpa seseorang yang beriman. Abu Hurairah meriwayatkan daripada Nabi صلى الله عليه وسلم bahawa Baginda bersabda:

مَا يُصِيبُ الْمُسْلِمَ مِنْ نَصَبٍ وَلَا وَصَبٍ وَلَا هَمٍّ وَلَا حُزْنٍ وَلَا أَذًى وَلَا غَمٍّ حَتَّى الشَّوْكَةُ يُشَاكُهَا إِلَّا كَفَّرَ اللَّهُ بهَا مِنْ خَطَايَاه

“Tidaklah seorang Muslim ditimpa keletihan, penyakit, kebimbangan, kesedihan, gangguan dan kegundahan, hatta duri yang menusuknya, melainkan Allah akan menghapuskan dengannya dosa-dosanya.” (Muttafaq ‘alaih).

Ibnu Hajar al-‘Asqalani dalam Fathl al-Bari 10/105 mengkritik pandangan al-Syeikh ‘Izzuddin bin Abd al-Salam yang berpandangan seseorang ditimpa musibah tidak mendapat pahala melainkan jika dia bersabar dan redha atas apa yang berlaku, kerana pahala hanya diperolehi apabila ada usaha atau al-Kasb, sedangkan musibah bukan satu al-Kasb. Kata al-Hafidz Ibn Hajar membantah pandangan ini:

أَنَّ الْأَحَادِيثَ الصَّحِيحَةَ صَرِيحَةٌ فِي ثُبُوتِ الْأَجْرِ بِمُجَرَّدِ حُصُولِ الْمُصِيبَةِ وَأَمَّا الصَّبْرُ وَالرِّضَا فَقَدْرٌ زَائِدٌ يُمْكِنُ أَنْ يُثَابَ عَلَيْهِمَا زِيَادَةً عَلَى ثَوَابِ الْمُصِيبَةِ قَالَ الْقَرَافِيُّ الْمَصَائِبُ كَفَّارَاتٌ جَزْمًا سَوَاءٌ اقْتَرَنَ بِهَا الرِّضَا أَمْ لَا لَكِنْ إِنِ اقْتَرَنَ بِهَا الرِّضَا عَظُمَ التَّكْفِيرُ وَإِلَّا قَلَّ كَذَا قَالَ وَالتَّحْقِيقُ أَنَّ الْمُصِيبَةَ كَفَّارَةٌ لِذَنْبٍ يُوَازِيهَا وَبِالرِّضَا يُؤْجَرُ عَلَى ذَلِكَ فَإِنْ لَمْ يَكُنْ لِلْمُصَابِ ذَنْبٌ عُوِّضَ عَنْ ذَلِكَ مِنَ الثَّوَابِ بِمَا يُوَازِيهِ وَزَعَمَ الْقَرَافِيُّ أَنَّهُ لَا يَجُوزُ لِأَحَدٍ أَنْ يَقُولَ لِلْمُصَابِ جَعَلَ اللَّهُ هَذِهِ الْمُصِيبَةَ كَفَّارَةً لِذَنْبِكَ لِأَنَّ الشَّارِعَ قَدْ جَعَلَهَا كَفَّارَةً فَسُؤَالُ التَّكْفِيرِ طَلَبٌ لِتَحْصِيلِ الْحَاصِلِ وَهُوَ إِسَاءَةُ أَدَبٍ عَلَى الشَّارِعِ كَذَا قَالَ

“Sesungguhnya hadis-hadis sahih secara jelas menunjukkan tetapnya pahala semata-mata dengan terjadinya musibah. Adapun sabar dan reda, maka itu merupakan kadar tambahan yang boleh diberi pahala atas sebab keduanya sebagai tambahan kepada pahala musibah. Al-Qarafi berkata: “Musibah-musibah adalah penghapus dosa secara pasti, sama ada disertai dengan reda ataupun tidak. Namun, jika disertai dengan reda, maka penghapusannya lebih besar, dan jika tidak, maka ia lebih sedikit.” Demikian katanya. Dan hakikatnya ialah bahawa musibah adalah penghapus bagi dosa yang seimbang dengannya, dan jika disertai dengan reda seseorang diberi pahala atas hal itu. Jika orang yang ditimpa musibah itu tidak mempunyai dosa, maka akan diganti dengan pahala yang seimbang dengannya.”

 


Cetak  
Wallahu a'lam