SDI 1842: Hukum Seorang Guru Berjanji Dengan Muridnya, Kemudian Tidak Memenuhi Janji Tersebut

Soalan:

Seorang guru yang berjanji kepada pelajarnya, jika mereka berjaya dalam peperiksaan, guru tersebut akan beri hadiah sekian-sekian. Setelah berlalu beberapa tahun, guru tadi baru teringat yang dia belum menunaikan janjinya kepada para pelajar tersebut. Apa yang guru tersebut perlu lakukan? Apakah ada sesuatu kaffarah yang perlu dilakukan oleh guru tersebut?

Jawapan:

Memenuhi janji termasuk dalam akhlak yang baik. Hukum memenuhi janji adalah sunat di sisi majoriti ulama. Namun amat tidak wajar bagi seorang guru yang berada pada kedudukan seorang pendidik menyalahi janji yang telah dilakukan bersama muridnya, apatah lagi terdapat kumpulan minoriti ulama yang berpandangan wajib menunaikan semua janji yang telah dimeterai.  

Berkenanan apakah ada kaffarah yang perlu dilakukan oleh guru tersebut, maka jawapannya ialah tiada apa-apa kaffarah terhadap guru yang tidak memenuhi janjinya bersama murid di sisi majoriti ulama. Manakala di sisi minoriti ulama yang mengatakan wajib, hendaklah dilakukan taubat kepada Allah SWT atau kesalahan menyalahi janji.   

Penjelasan

Para ulama menyebut, terdapat beberapa keadaan janji:

Pertama: Tidak memiliki niat untuk tidak menunaikannya dan janji yang dilakukan tidak membawa mudarat kepada orang yang dijanjikan. Menunaikan janji seperti ini adalah sunat menurut jumhur atau majoriti ulama, dan sebahagian ulama lain berpendapat ia wajib.

Kedua: Berniat ketika berjanji untuk menunaikannya dan orang yang dijanjikan telah terlibat dalam suatu komitmen disebabkan janji itu. Menunaikan janji ini adalah sunat menurut jumhur, wajib menurut mazhab Maliki.

Ketiga: Berniat ketika berjanji untuk tidak menunaikannya. Janji seperti ini maksudkan dengan hadis:

آيَةُ الْمُنَافِقِ ثَلَاثٌ؛ إِذَا حَدَّثَ كَذَبَ، وَإِذَا وَعَدَ أَخْلَفَ، وَإِذَا اؤْتُمِنَ خَانَ

“Tanda orang munafik ada tiga: apabila berbicara dia berdusta, apabila berjanji dia memungkiri, dan apabila diberi amanah dia mengkhianatinya.” (al-Bukhari dan Muslim)

Al-Imam al-Nawawi berkata dalam al-Azkar, hal: 468:

وقد أجمعَ العلماءُ على أن من وعد إنسانً شيئًا ليس بمنهيّ عنهُ، فينبغي أن يفي بوعدهِ، وهل ذلك واجبٌ أم مستحبٌّ؟ فيه خلافٌ بينهم؛ ذهب الشافعيُ وأبو حنيفةَ والجمهورُ، رحمهم الله، إلى أنه مستحبّ، فلو تركهُ فاتهُ الفضلُ، وارتكب المكروه كراهةَ تنزيه شديدة، ولكن لا يأثم؛ وذهبَ جماعةٌ إلى أنه واجبٌ، قال الإِمامُ أبو بكرٍ ابن العربي المالكي: أَجَلُّ مَن ذهبَ إلى هذا المذهب عمرُ بن عبد العزيز، قال: وذهبتِ المالكية مذهبًا ثالثًا أنه إن ارتبط الوعدُ بسببٍ، كقوله: تزوّج ولك كذا، أو احلف أنك لا تشتمني ولك كذا، أو نحو ذلك، وجب الوفاء؛ وإن كان وعدًا مُطلقًا لم يجب. واستدلّ مَن لم يوجبه بأنه في معنى الهبةِ، والهبةُ لا تلزمُ إلا بالقبضِ عند الجمهورِ، وعند المالكية: تلتزم قبل القبض

“Dan para ulama telah sepakat bahawa sesiapa yang berjanji kepada seseorang dengan sesuatu yang tidak dilarang, maka sepatutnya dia menunaikan janjinya. Adakah perkara itu wajib atau sunat? Terdapat khilaf dalam kalangan mereka; al-Syafi‘i, Abu Hanifah, dan jumhur (majoriti) berpendapat bahawa ia sunat, maka jika dia meninggalkannya, dia terlepas keutamaan dan melakukan perkara makruh dengan makruh tanzih yang bersangatan, tetapi tidak berdosa. Satu kumpulan ulama lain berpendapat bahawa menunaikan janji ini wajib. Imam Abu Bakar Ibn al-‘Arabi al-Maliki berkata: “Orang yang paling mulia yang berpegang pada pendapat ini ialah ‘Umar bin ‘Abd al-‘Aziz. Beliau (Ibn al-‘Arabi) berkata: “Ulama mazhab Maliki mempunyai pendapat ketiga, iaitu jika janji itu terikat dengan suatu sebab, seperti katanya: “Kahwinlah, dan kamu akan dapat sekian-sekian,” atau “Bersumpahlah bahawa kamu tidak akan mencaci aku, dan kamu akan dapat sekian-sekian,” atau yang seumpamanya, maka wajib menunaikan janji seperti ini. Namun jika janji itu janji mutlak (tanpa dikaitkan dengan sesuatu), maka tidak wajib ditunaikan. Para ulama yang tidak mewajibkan ditunaikan janji berdalilkan alasan bahawa janji seperti ini pada maknanya sama seperti hibah, dan hibah tidak menjadi wajib kecuali dengan qabd (orang yang diberikan hibah atau pemberian telah mengambil apa yang dihibahkan) menurut jumhur (majoriti ulama). Manakala menurut ulama mazhab Maliki: hibah menjadi wajib sekalipun sebelum qabd (pengambilan apa yang dihibahkan).” Tamat.

 


Cetak  
Wallahu a'lam