Soalan:
Ada penduduk taman minta saya bantu pembinaan masjid mereka. Secara spontan saya kata: “Saya ada sebidang tanah, kalau saya boleh jual, saya bagi untuk masjid.” Saya juga telah berikan sedikit sumbangan dari wang saya untuk pembinaan masjid tersebut. Sekarang saya telahpun berjaya menjual tanah saya tersebut, tetapi masalahnya, ada sebuah keluarga yang amat miskin dan dalam keadaan terdesak. Apakah boleh sebahagian daripada wang jualan tanah tersebut atau seluruhnya saya berikan kepada keluarga miskin tersebut, sedangkan saya seperti telah berjanji kepada penduduk taman untuk pembinaan masjid? Mohon penjelasan, terima kasih banyak.
Jawapan
Semoga Allah membalas kebaikan atas apa yang telah anda sumbangkan untuk membantu kaum Muslimin dan memakmurkan rumah-rumah Allah Ta‘ala.
Apa yang berlaku antara anda dengan penduduk taman tersebut adalah satu bentuk janji untuk membantu pembinaan masjid. Memenuhi janji seumpama ini termasuk dalam perkara yang diperselisihkan hukumnya dalam kalangan fuqaha.
Jumhur atau majoriti ulama daripada mazhab Hanafi, Syafi‘e dan Hanbali berpendapat menunaikan janji itu adalah sunat. Al-Sarakhsi (السرخسي) daripada mazhab Hanafi berkata dalam al-Mabsut 21/29:
وَالْإِنْسَانُ مَنْدُوبٌ إلَى الْوَفَاءِ بِالْوَعْدِ مِنْ غَيْرِ أَنْ يَكُونَ ذَلِكَ مُسْتَحَقًّا عَلَيْهِ
“Manusia dianjurkan untuk menunaikan janji, tanpa ia menjadi sesuatu yang wajib ke atasnya.” Tamat.
Burhanuddin Ibn Muflih berkata dalam al-Mubdi’ 9/345:
لاَ يَلْزَمُ الْوَفَاءُ بِالْوَعْدِ، نَصَّ عَلَيْهِ الإِْمَامُ أَحْمَدُ، وَقَالَهُ أَكْثَرُ الْعُلَمَاءِ لأَِنَّهُ فِي مَعْنَى الْهِبَةِ قَبْل الْقَبْضِ
“Tidak wajib menunaikan janji. Imam Ahmad menegaskannya, dan demikianlah pendapat kebanyakan ulama, kerana ia semakna dengan hibah sebelum penyerahan (tidak wajib dilaksanakan).” Tamat.
Al-Nawawi daripada mazhab Syafi‘i berkata dalam al-Adzkar, hal: 648:
وقد أجمعَ العلماءُ على أن من وعد إنسانً شيئًا ليس بمنهيّ عنهُ، فينبغي أن يفي بوعدهِ، وهل ذلك واجبٌ أم مستحبٌّ؟ فيه خلافٌ بينهم؛ ذهب الشافعيُ وأبو حنيفةَ والجمهورُ، رحمهم الله، إلى أنه مستحبّ، فلو تركهُ فاتهُ الفضلُ، وارتكب المكروه كراهةَ تنزيه شديدة، ولكن لا يأثم؛
“Dan para ulama telah sepakat bahawa sesiapa yang berjanji kepada seseorang dengan sesuatu yang tidak dilarang, maka sepatutnya dia menunaikan janjinya. Adakah perkara itu wajib atau sunat? Terdapat khilaf dalam kalangan mereka; al-Syafi‘i, Abu Hanifah, dan jumhur (majoriti) berpendapat bahawa ia sunat, maka jika dia meninggalkannya, dia terlepas keutamaan dan melakukan perkara makruh dengan makruh tanzih yang bersangatan, tetapi tidak berdosa.”
Manakala ulama mazhab Maliki berpendapat janji itu menjadi wajib jika ia mempunyai sebab atau pihak yang dijanjikan itu sudah memulakan sesuatu berdasarkan janji tersebut. Al-Qarafi berkata dalam al-Furuq (4/25):
وَجْهُ الْجَمْعِ بَيْنَ الْأَدِلَّةِ الْمُتَقَدِّمَةِ الَّتِي يَقْتَضِي بَعْضُهَا الْوَفَاءَ بِهِ، وَبَعْضُهَا عَدَمَ الْوَفَاءِ بِهِ أَنَّهُ إنْ أَدْخَلَهُ فِي سَبَبٍ يَلْزَمُ بِوَعْدِهِ لَزِمَ كَمَا قَالَ مَالِكٌ وَابْنُ الْقَاسِمِ وَسَحْنُونٌ أَوْ وَعَدَهُ مَقْرُونًا بِذِكْرِ السَّبَبِ
“Cara menghimpunkan dalil-dalil sebelum ini yang menunjukkan sebahagian janji wajib ditunaikan dan sebahagiannya tidak wajib ialah: jika dia memasukkan janji itu ke dalam suatu sebab yang mengikatnya dengan janji, maka wajib menunaikannya, sebagaimana yang dikatakan oleh Malik, Ibn al-Qasim dan Sahnun, atau janjinya disertai dengan menyebut sebab.” Tamat.
Beliau juga berkata di tempat lain:
أَمَّا مُجَرَّدُ الْوَعْدِ فَلاَ يَلْزَمُ الْوَفَاءُ بِهِ، بَل الْوَفَاءُ بِهِ مِنْ مَكَارِمِ الأَْخْلاَقِ
“Adapun janji semata-mata, maka tidak wajib menunaikannya, bahkan menunaikannya adalah sebahagian daripada akhlak yang mulia.” (الفروق، للقرافي: ٤/٢٥، الفرق الرابع عشر بعد المائتين)
Anda boleh menggunakan sebahagian harga tanah tersebut untuk membantu keluarga yang dinyatakan, apatah lagi mereka dalam keadaan terdesak. Jelaskan hasrat anda dengan baik kepada wakil penduduk taman supaya mereka tidak berprasangka dengan anda.