- SYARAT-SYARAT PENJAMPI
Bagi menjadikan seseorang penjampi tidak melanggar hukum-hakan Syara’, maka hendaklah dipenuhi syarat-syarat berikut:
- Islam: Penjampi mestilah seorang Muslim. Jampian dari seorang yang bukan Muslim adalah dilarang. Ini kerana perbuatan jampian ialah perbuatan kembali menyerah diri kepada Allah dan berlindung denganNya. Hal ini tidak ada pada seorang kafir.
- Seorang yang soleh, Istiqamah dan bertaqwa: Penjampi hendaklah dari kalangan mereka yang Soleh, istiqamah, bertaqwa dan memelihara solat dan ibadat-ibadat yang lain.
- Benar I’tikad (keyakinan agama): Penjampi hendaklah memiliki akidah yang selamat dan bebas dari sebarang bentuk kesyirikan dan Bid’ah. Termasuk dalam ertikata ini hendaklah penjampi berkeyakinan bahawa semua manfaat dan mudharat adalah kuasa Allah SWT. perlu diberi perhatian kepada 2 perkara di bawah:
- Jampian hendaklah dari ayat-ayat al-Quran, Nama-Nama Allah (أسماء الله), Sifat-SifatNya (صفات الله) atau dari Sunnah Nabi SAW.
- Beri’tiqad bahwa jampian tidak dapat memberi kesan dengan sendiri sebaliknya dengan keizinan dari Allah SWT.
- Jampian hendaklah dengan bahasa ‘Arab atau dengan bahasa yang difahami maknanya jika bukan dari bahasa ‘Arab.
- Ikhlas kerana Allah dan Elok Tujuannya.
- tidak melakukan sebarang Bid’ah atau rekaan dan kuat berpegang dengan amalan agama, tidak merokok, menutup aurat dengan sempurna, tidak mendengar lagu-lagu yang menyalahi syari’at dan tidak bersekongkong dengan perkara-perkara bid’ah.
- Bersungguh-sungguh memastikan makanan dan minumannya halal dan menjauhi yang syubhah.
- Mahir dan mengetahui akan hak-ehwal jin dan syaitan. Tidak takut dan gentar dengan gertakan-gertakan mereka dan berkeyakinan tipu daya mereka adalah lemah.
- Jampian tidak dilakukan dalam bentuk yang diharamkan seperti sengaja menjampi dengan ayat-ayat al-Quran dalam keadaan berjunub, berjampi di tanah perkuburan, di dalam bilik air, atau jampian dengan menulis huruf-huruf Abjad, memerhatikan bintang, menggunakan najis, membuka aurat dan seumpamanya.
- Tidak menggunakan khitmat jin. Tidak boleh juga meminta tolong dari jin yang mendakwa muslim
- Mengetahui ayat-ayat jampian dari al-Quran al-Karim seperti surah al-Fatihah, surah al-Mu’awwizatain, surah al-Ikhlas, surah al-Kafirun, ayat-ayat akhir dari surah al-Baqarah, ayat-ayat awal dan akhir dari surah Ali Imran, ayat al-Kursiy, ayat-ayat akhir surah al-Taubah, ayat-ayat awal dari surah Yunus dan seumpamanya. Demikian juga mengetahui jampian-jampian yang diharamkan.
- Baik bacaan al-Quran dan mengetahui makna ayat-ayat yang dibaca. Tidak berpada dengan hanya bacaan sebaliknya mampu menghayati makna dan terkesan dengannya.
- Tidak menggunakan ibarat-ibarat yang dilarang seperti ibarat makian, cercaan dan laknat.
- Jampian dilakukan dengan suarah yang jelas kedengaran. Tidak boleh menyembunyikan bacaan jampian sehingga tidak jelas apa yang diucapkan.
- Wajib berada dalam keadaan suci dari hadas besar dan sunat berada dalam keadaan suci dari hadas kecil.
- Dibenarkan menghembus tiupan beserta sedikit air liur.
- Tidak bersendiri dengan ajnabiy dan tidak menyentuh mana-mana bahagian tubuh-badan orang yang dijampi jika bukan mahram
- Amanah dan Menyembunyikan rahsia pesakit.
- Mengetahui hal-ehwal pesakit dapat membantu dalam proses berubat dengan jampian.
- Memelihara zikir-zikir dan doa-doa yang Sahih dari Nabi SAW.
Syeikh al-Islam Ibn Taimiyyah berkata: “Sekiranya jin dari kalangan Afarit (Ifrit) manakala penjampi pula seorang yang lemah, maka kadang-kala jin tersebut dapat menyakitinya. Maka semestinya orang yang seperti ini berlindung dengan membaca perlindungan-perlindungan seperti ayat al-Kursi, al-Mu’awwizat, (banyak) menunaikan solat, berdoa dan seumpamanya terdiri dari perkara yang dapat menguatkan iman dan menjauhi dosa-dosa yang dengannya membolehkan mereka (jin) menguasainya. Sesungguhnya dia (penjampi) dikira sebagai seorang mujahid di jalan Allah yang termasuk dalam sebesar-besar jihad, maka hendaklah dia berhati-hatilah dari musuh menguasainya dengan dosa-dosa yang dilakukannya. Jika sekiranya perkara itu diluar kemampuannya, maka Allah tidak membebankan sesuatu jiwa melainkan apa yang di bawah kemampuan sahaja. Maka jangan dia mendedahkan dirinya kepada bala yang tidak mampu dia pikul.”[1]
[1] Majmu’ al-Fatawa oleh Syeikh al-Islam Ibn Taimiyyah 19/35