Jauhi Dari Memakan Daging Manusia

Oleh : Ustaz Mohamad Abdul Kadir bin Sahak

Tahukah anda... ada dua perkara yang boleh menjadi sebab kita susah di dalam kubur, diazab dan diseksa oleh Allah SWT. Jika kita berjaya bebas dari dua sebab ini, kita telah terlepas dari dua sebab popular seseorang dikenakan azab di dalam kubur. apakah dua perkara itu?

Pertama dinamakan sebagai Al-Ghibah

Ramai di kalangan kita, saban hari melakukan ghibah, tetapi dia tidak menyedarinya. Seseorang menyebut tentang seseorang lain, dalam perkara yang tidak disukai oleh orang itu dan diluar pengetahuannya. Jika dikatakan kepadanya: “Jangan suka mengata orang...” secara spontan dia akan menjawab: “Aku sebut benda betui apa...”  Dia tidak sedar, atau mungkin juga dia tidak tahu bahawa sebenarnya dia telah melakukan ghibah kepada saudaranya.

Ketahuilah, yang dikatakan Ghibah itu... bukanlah bermakna anda mereka-reka cerita tentang seseorang. Sebaliknya ghibah ialah apabila anda menceritakan keaiban seseorang di belakangnya, dan perkara itu benar-benar ada pada orang tersebut.

Jika perkara yang anda ceritakan itu tidak ada pada orang yang menjadi tajuk cerita, perkara itu dinamakan sebagai Buhtan iaitulah cerita palsu atau dusta yang lebih dahsyat dan lebih besar dosanya berbandingi Ghibah. Kita sekarang tidak berbicara tentang Buhtan, sebaliknya bicara kita tentang Ghibah. Nabi SAW bersabda:

أتدرون ما الغيبة

Mafhumnya: “Apakah kamu semua tahu, apu itu Ghibah?”   Para Sahabat menjawab: “Allah dan RasulNya sahaja yang lebih mengetahui!” Baginda menjawab Al-Ghibah adalah :

ذكرك أخاك بما يكره

Mafhumnya: “Cerita kamu tentang saudara kamu, apa yang tidak disukainya.”  Seorang lelaki bertanya: “Wahai Rasulullah, bagaimana jika apa yang saya katakan itu sememangnya terdapat pada orang tersebut?” Baginda menjawab:

إن كان فيه ما تقول، فقد اغتبته، وإن لم يكن فيه ما تقول فقد بهته

Mafhumnya: “Jika pada saudara kamu itu sememangnya ada seperti apa yang kamu katakan, maka itulah kamu telah melakukan Ghibah kepadanya, jika perkara itu tidak ada, maka kamu telah melakukan Buhtan kepadanya.”  (HR Muslim)

Sebahagian daripada kita sanggup menghabiskan masa berjam-jam lamanya melakukan ghibah, cerita tentang orang itu dan orang ini, cerita tentang selebriti itu dan selebriti ini, cerita tentang pemimpin itu dan pemimpin ini, sehingga perut dia kenyang dengan memakan daging orang-orang tersebut. kemudian dia pulang ke rumah dengan rasa puas dan lega, merasakan dia akan selamat di dalam kubur kelak!? tidak... tidak... tidak semudah itu.

Baginda Nabi SAW pernah satu ketika melalui sebuah kubur yang penghuninya sedang di azab oleh Allah SWT, baginda bersabda:

إن هذا كان يأكل لحوم الناس

Mafhumnya: “Sesungguhnya penghuni kubur ini, dahulunya dia sering memakan daging orang ramai.”(HR Al-Tabarani dengan Sanad yang Hasan)

Cuba fikirkan... apa faedah yang anda perolehi dengan menceritakan tentang orang itu dan orang ini, dibelakang mereka dan diluar pengetahuan mereka? Bagaimana pula jika orang lain menceritakan tentang anda perkara yang anda tidak suka di belakang anda? Apa anda rasa? atau apakah anda merasakan anda seorang yang begitu sempurna?

Renungkan hadis ini sebelum anda berbicara tentang orang lain. Anas berkata, sabda Nabi SAW :

لما عرج بي مررت بقوم لهم أظفار من نحاس يخمشون وجوههم وصدورهم

Mafhumnya: “Ketika mana saya dimikrajkan, saya telah melalui satu kaum yang memiliki kuku dari tembaga sedang mencakar muka dan dada mereka, lalu saya bertanya kepada Jibril: “Siapakah mereka ini wahai Jibril?” Jawab Jibril:

هؤلاء الذين يأكلون لحوم الناس ويقعون في أعراضهم

Mafhumnya: “Mereka itu adalah orang-orang yang memakan daging orang lain, mereka (dahulunya) suka duduk dan menjatuhkan maruah orang lain.” (HR Abu Daud)

Justeru, fikirkanlah apakah faedah yang anda dapat dengan melakukan ghibah?

Tahukah anda, jika anda melakukan ghibah terhadap seseorang, ini bermakna anda telah memberi orang itu pahala yang ada pada anda, anda menghadiahkan kepadanya pahala anda sehingga jadilah anda seorang yang miskin pahala. Jika habis kesemua pahala anda, orang itu pula akan menghantar dosanya kepada anda. Kerana itu ketika seorang lelaki mengadu kepada Al-Fudhail bin ‘Iyadh, ada orang melakukan ghibah terhadapnya. Kata Al-Fudhail:

قد جلب لك خيرا جلبا

Maksudnya “Sesungguhnya orang itu telah membawa kepadamu, pahala yang banyak.” Seolah-olah Al-Fudhail mengucapkan tahniah kepada orang yang dighibah itu. ‘Abdul Rahman Al-Mahdi pula berkata :

لَوْلَا أَنِّي أَكْرَهُ أَنْ يُعْصَى اللهُ لَتَمَنَّيْتُ أَنْ لَا يَبْقَى فِي هَذَا الْمِصْرِ أَحَدٌ إِلَّا وَقَعَ وَاغْتَابَنِي، وَأَيُّ شَيْءٍ أَهْنَأُ مِنْ حَسَنَةٍ يَجِدُهَا الرَّجُلُ فِي صَحِيفَتِهِ يَوْمَ الْقِيَامَةِ لَمْ يَعْمَلْهَا وَلَمْ يَعْلَمْ بِهَا

Maksudnya: “Kalaulah bukan kerana aku tidak sukakan berlakunya maksiat, sudah pasti aku akan bercita-cita tidak ada seorangpun di Bandar ini melainkan dia melakukan Ghibah tentangku, apakah lagi yang lebih menggembirakan seseorang, jika dia mendapati tercatit pahala di dalam buku catitan amalannya pada hari kiamat, suatu yang tidak dilakukan dan diketahuinya?”  (Lihat Syu’ab Al-ImanSiyar A’lam Al-Nubalak, dan Al-Taubikh Wa Al-Tanbih)

Aduhhh... alangkah hairan dan pelik, orang-orang yang sanggup duduk berjam-jam lamanya, sambil mengagih pahala mereka kepada orang lain. Pahala yang mereka himpun dan perolehinya dengan susah payah, diberi begitu sahaja kepada orang lain... sejak bermula bicara ghibahnya, dia agihkan kepada orang itu dan orang ini kesemua pahalanya, pahala solatnya, puasanya, sedekahnya, zikirnya dan semuanya. Dia amat pemurah mengagihkan pahalanya kepada orang lain. Al-Hasan Al-Basri berkata :

Maksudnya: “Sekiranya aku melakukan ghibah tentang seseorang, lebih patut aku ghibah tentang bapaku dan emakku.”  Kerana kedua orang tua lebih berhak mendapat pahala yang telah kita lakukan bukan orang lain.

Demikian itulah Ghibah... berikutnya apakah pula perkara kedua yang menjadi sebab popular seseorang diazab di dalam kubur? Ia lebih bahaya dari Al-Ghibah.

Perkara kedua itu dinamakan pula sebagai Al-Namimah. Apakah Al-Namimah?

Al-Namimah ialah memindahkan cerita dari seorang kepada seorang yang lain. Sebagai contoh, anda memberitahu kepada seseorang: “Orang itu bercerita tentang engkau demikian dan demikian.”  Atau: “Orang itu, mengata tentang engkau, demikian dan demikian.”  Atau kita memberitahu kepada seseorang:“Orang itu tak sukakan engkau.” bertujuan mewujudkan rasa marah dan permusuhan sesama mereka.

Oleh yang demikian perbezaan antara Al-Ghibah dan Al-Namimah ialah Al-Ghibah anda menyebut tentang seseorang sesuatu yang tidak disukainya dibelakangnya. Manakala Al-Namimah anda memindahkan percakapan seseorang tentang seseorang lain kepadanya.

Nabi SAW pernah melalui dua buah kubur, lalu baginda bersabda:

إنهما ليعذبان وما يعذبان في كبير أما هذا فكان لا يستنزه من البول وأما هذا فكان يمشي بالنميمة  

Mafhumnya: “sesungguhnya kedua-dua mereka benar-benar sedang diazab, tidaklah mereka diazab kerana perkara besar untuk dilakukan, iaitulah salah seorangnya tidak bersuci dari buang air kecil dan seorang lagi sering membawa Al-Namimah.” (HR Al-Bukhari)

Diringkaskan bicara... sesuatu Ghibah mahupun Namimah jika melibatkan seseorang, maka ia berlegar diantara tiga watak di bawah ini:

Sama ada dia merupakan orang yang melakukan ghibah, atau... mangsa yang kena ghibah, atau... orang yang mendengar ghibah orang lain.

Mudah-mudahan kita tidak termasuk golongan yang pertama. Jika kita termasuk dalam golongan kedua yang menjadi mangsa ghibah, maka ketahuilah kita adalah orang yang paling beruntung, kerana kita akan memperolehi pahala orang lain tanpa perlu berusah-payah. Manakala jika kita termasuk golongan ketika, maka ketahuilah dihadapan kita ada tugas besar yang perlu dilaksanakan. Jika kita berjaya, maka ia merupakan benteng antara kita dan api neraka di akhirat kelak.

Yang penting kita semestinya berusaha membela saudara kita dari terkena ghibah. Apa salahnya jika kita katakan kepada orang yang hendak melakukan ghibah :“Maaf, orang yang hendak anda bercerita tentangnya itu, tidak ada sekarang, saya tidak mahu bercerita tentang seseorang yang lain.”  alangkah indah... Nabi SAW bersabda:

مَنْ رَدَّ عَنْ عِرْضِ أَخِيهِ رَدَّ اللَّهُ عَنْ وَجْهِهِ النَّارَ يَوْمَ الْقِيَامَةِ

Mafhumnya: “Sesiapa yang menolak sesuatu yang boleh mencemarkan maruah saudaranya, Allah akan menolak wajahnya dari neraka pada hari kiamat.”   (HR Al-Tirmizi dan katanya : Hasan)

Selain itu jangan mempercayai Namimah yang sampai kepada anda, ini kerana Namimah termasuk di dalam dosa besar, pelakunya dikira telah melakukan dosa besar yang menggugurkan kelayakannya sebagai seorang saksi. Di samping itu peliharalah juga pendengaran anda. Jangan biarkan namimah itu terus didendangkan kepada anda, nanti anda juga akan berbicara tentangnya.

Peliharalah juga lidah anda, jangan anda memindahkan namimah yang anda dengar termasuk kepada orang yang menjadi mangsa namimah, jauhi anda dari berkata kepada seseorang:“Orang itu bercerita tentang kamu demikian dan demikian.” Jika demikian keadaan anda, maka anda salah seorang dari pelaku Namimah.

Seorang lelaki datang bertemu dengan seorang ulama dan berkata: “Wahai tuan, orang itu berkata tentang tuan demikian dan demikian.” Jawab ulama tersebut:“Apakah kamu mahu mewujudkan permusuhan antara saya dan saudara saya? Demi Allah saya akan menjadikan syaitan marah” lalu ulama itu berdoa: “Ya Allah ampunilah daku dan saudaraku.”

Yang penting jangan kita terbabit dalam membawa Namimah. Kerana orang yang membawa cerita Namimah, hakikatnya dia adalah salah seorang daripada mereka. Jika sesuatu namimah diibaratkan seperti sebilah anak panah, ketika ia dimulakan, anak panah itu tidak kena pada sasarannya, kerana mangsa tidak mengetahuinya. Sebaliknya jika kita menyampaikan namimah tersebut kepada mangsa, maka seolah-olah kita mengambil anak panah yang tersasar tadi lalu kita tusukkannya ke dada saudara kita. Kata Yahya bin Abi Kathir:

يفسد النمام في الساعة، ما لا يفسده الساحر في الشهر

Maksudnya: “Kerosakan yang dibawah oleh pelaku Namimah dalam masa satu jam, adalah suatu yang tidak dapat dilakukan oleh seorang ahli sihir dalam masa sebulan.”

Barangkali ada yang berkata: Bagaimana kalau kami pernah melakukan ghibah dan namimah? Apa yang perlu kami lakukan? Perlukan kami berjumpa dan memberitahu orang yang kami ghibah atau namimah itu untuk meminda maaf darinya?

Pandangan yang lebih benar di kalangan ulama ialah anda tidak perlu melakukan sedemikian. Tidak perlu anda menceritakannya... ini kerana ghibah dan namimah itu diharamkan bertujuan mengelak permusuhan di kalangan umat Islam. Maka jangan anda menceritakan ghibah dan namimah anda kepadanya yang boleh menimbulkan permusuhan itu. Jika begitu, apa yang perlu kami lakukan,?

Jangan bimbang, jalan keluar dari kesalahan ini masih ada, disebut oleh para ulama. Iaitulah hendaklah anda berdoa untuk orang yang pernah menjadi mangsa ghibah dan namimah anda dengan kadar yang seimbang dengan kadar ghibah dan namimah anda tentangnya. Agar dari doa anda kepadanya dapat mengimbangi pahala yang diberikan kepadanya di akhirat kelak. Selain itu, jika anda berdoa untuknya tanpa pengetahuannya, akan ada malaikat yang akan mengaminkan doa anda tersebut dengan berkata:

آمين، ولك بمثل

Mafhumnya: “Amin, dan untuk anda juga seperti permohonan yang anda pinta untuknya.” (HR Muslim)

Selain itu berusahalah juga menyebut kebaikan orang yang pernah menjadi mangsa ghibah dan namimah kita. Sebutkan kebaikan sebenar orang tersebut kepada orang-orang yang mendengar ghibah dan namimah dari anda, agar mereka dapat memperbetulkan buruk sangka mereka kepada mangsa tersebut.

Kata Qatadah:

ذُكِرَ لَنَا أَنَّ عَذَابَ الْقَبْرِ ثَلاثَةُ أَثْلاثٍ : ثُلُثٌ مِنَ الْغِيبَةِ ، وَثُلُثٌ مِنَ الْبَوْلِ ، وَثُلُثٌ مِنَ النَّمِيمَةِ

Maksudnya: “Dinyatakan kepada kami bahawa azab kubur itu satu pertiganya dari al-Ghibah, satu pertiga dari air kencing (yang tidak disucikan) dan satu pertiga lagi dari al-Namimah.” (Lihat Zamm al-Ghibah wa al-Namimah oleh Ibn Abi al-Dunya)

Ini bermakna, bebas dari Ghibah dan Namimah bermakna kita telah bebas dari 2/3 sebab seseorang diazab di dalam kubur. Semoga Allah SWT menyelamatkan kita dari kesalahan ini.


Cetak  
Wallahu a'lam