Jawapan:
BOLEH sikat rambut dan potong kuku ketika haid. Tiada sebarang bukti yang melarang perbuatan ini.
Anggapan yang mengatakan wanita ketika haid tidak boleh sikat rambut dan potong kuku adalah anggapan SALAH. Kononnya apa-apa yang jatuh sebelum dimandikan akan bangun pada hari kiamat dalam keadaan najis dan berjunub. Kefahaman ini adalah SALAH.
Tiada dalam kalangan ulama mu'tabar Ahl alSunnah wa alJamaah yang menyatakan tegahan ini. Melainkan ia disebut di dalam kitab-kitab yang ditulis oleh tokoh-tokoh dari golongan menyeleweng seperti al-Ibadhi (satu pecahan dari golongan Khawarij), antaranya di dalam kitab Syarh alNail wa Syifa' al'Alil oleh Muhammad bin Yusuf dari golongan Ibadhi. Lalu diambil dan disebarkan oleh sbahagian orang.
Bukti daripada hadis menunjukkan, BOLEH atau HARUS menyikat rambut ketika haid mahupun jetika berjunub. Demikian juga memotong kuku dan seumpamanya. 'Aisyah RA pernah berhaid ketika menunaikan Haji Wada' bersama Rasulullah SAW, lalu baginda bersabda:
انْقُضِي رَأْسَكِ وَامْتَشِطِي وَأَهِلِّي بِالْحَجِّ وَدَعِي الْعُمْرَةَ
Maksudnya: "Lepaskan rambutmu dan sikatkan ia (ketika mandi kerana Ihram dalam keadaan berhaid), bertalbiahlah untuk haji dan tinggalkan umrah." (alBukhari 1556 dan Muslim 12)
Syeikh al-Islam Ibn Taimiyyah pernah ditanya tentang seorang yang berjunub memotong rambut, kuku, misai atau menyikat rambut. Apakah ada kesalahan dalam melakukan perkara ini. Ada yang berkata bahawa semua anggota tersebut akan di kembalikan pada hari kiamat dalam keadaan berjunub?
Jawab Ibn Taimiyyah: "Telah thabit dari Nabi SAW hadis daripada Huzaifah dan Abu Hurairah, ketikamana disebut kepada baginda tentang junub, baginda bersabda; "Sesungguhnya orang beriman itu tidak najis." Di dalam Sahih alHakim: "(orang beriman tidak najis) ketika hidup mahupun ketika mati." Tidak daku ketahui ada hukum makruh dari dalil syara' bagi orang yang berjunub mencabut rambut dan menggunting kuku. Bahkan Nabi pernah bersabda kepada orang yang memeluk Islam:
ألق عنكَ شَعرَ الكُفرِ وَاختَتِن
Maksudnya: "Buangkan (cukur/gunting) daripadamu rambut kufurmu dan berkhatanlah." [HR Abu Daud 356. Dinilai Hasan oleh alAlbani di dalam Irwa' alGhalil 1/120] Baginda juga memerintahkan orang yang baharu memeluk Islam agar mandi. Baginda tidak mengarahkan mereka agar melewatkan khatan dan menggunting rambut kufur (yang memiliki tanda kekufuran) sehingga selepas mandi terlebih dahulu. Keumuman perintah baginda ini menunjukkan keharusan kedua-duanya. Demikian juga diperintahkan wanita yang berhaid menyikat rambut ketika mandi. Dalam keadaan menyikat rambut akan menggugurkan sebahagian rambut. Wallahu a'lam." (Majmu' alFatawa 21/120-121)
Demikian juga fuqaha' mazhab alSyafie berkata:
النص على أن الحائض تأخذها
Maksudnya: "Nas alMazhab menyatakan wanita berhaid (boleh) menggunting kuku, mencabut bulu kemaluan dan ketiak." (Tuhfah alMuhtaj 4/56)