SDI 0883: Jin Tinggal di Dalam Lubang?

Soalan: 

Asslm ustaz..sy nk tnya soalan.betul ke xboleh tuang air panaz dalam lubang tandas? ada yg kata tempat jin tinggal dan akan ganggu kita kalau tuang ais panas. saya perlu tuang sebab air tandas tersumbat. Ada ke nas2 sahih?

Jawapan:

Boleh tuang air panas ke dalam lubang tandas terutamanya apabila ada keperluan.

Ada hadis Nabi SAW yang melarang kencing di dalam lubang, dikatakan kerana lubang merupakan tempat tinggal jin.

Daripada Abdullah bin Sarjis yang berkata:

أن رسول الله صلى الله عليه وسلم : نهى أن يبال في الجحر. قال: قالوا لقتادة: ما يكره من البول في الجحر؟ قال كان يقال: إنها مساكن الجن

Maksudnya: "Rasulullah SAW pernah melarang kencing di dalam lubang." Orang ramai pernah bertanya kepada Qatadah: "kenapa dibenci kencing di dalam lubang?" Beliau menjawab: "dikatakan ia merupakan tempat tinggal jin."

Riwayat ini menunjukkan pemberitahuan lubang sebagai tempat tinggal jin bukan datang dari Nabi SAW. Sebaliknya ia adalah perkataan Qatadah yang tidak boleh dijadikan suatu kepastian.

AlMunawi di dalam Faidh alQadir ada menyertakan riwayat yang didakwanya merupakan satu athar yang sahih tentang kewafatan sahabat Nabi, Sa'ad bin 'Ubadah RA yang pernah kencing ke dalam lubang, lalu beliau jatuh dan meninggal dunia. Orang ramai mendengar ada suara (jin) yang berkata:

نحن قتلنا سيد الخزرج سعد بن عبادة * رميناه بسهم فلم يخطئ فؤاده .

Maksudnya: "kami telah membunuh penghulu kaum Khazraj, Sa'ad bin 'Ubadah. Kami lancarkan kepadanya satu anak panah, tepat ke jantungnya."

Riwayat ini sekalipun dinilai tidak Sahih oleh al-Albani namun ia masyhur di sisi ahli sejarah. Sehingga Ibn 'Abd alBarr di dalam alIsti'ab berkata: "dan mereka (ahli sejarah) tidak berbeza pandangan bahawa beliau didapati meninggal dunia dalam tampat mandi dalam keadaan menghijau jasadnya. Akan tetapi aku tidak mendapati baginya satu sanad yang sahih menurut (penilaian) ulama hadis..." (Irwa' alGhalil 1/94-95)

Selain itu pentahkik alMatolib al'Aliyyah berkata: "Athar ini tidak sabit menurut kaedah ilmu hadis, melainkan ia saling disebut oleh para imam seperti Ibn 'Abd alBarr, Ibn alAthir dan alZahabi yang menyebut sebab kewafatan beliau (Sa'ad bin 'Ubadah). Tindakan mereka menjadikan athar ini sebagai sokongan memberi isyarat asal kisah ini sabit." (2/177)

Namun sebahgian ulama memahami dari hadis tersebut lubang yang dimaksudkan ialah lubang-lubang di bumi yang terbentuk tanpa tujuan. Atau lubang yang lama ditinggalkan dan tidak digunakan. Adapun lubang yang dibuat untuk kegunaan manusia tidak termasuk dalam tegahan hadis Nabi SAW seperti yang dinyatakan oleh sebahagian ulama.

Sekalipun demikian, jika tidak ada apa-apa keperluan, mengelak dari melakukan perkara-perkara tersebut ke dalam apa-apa lubang adalah lebih baik.


Cetak  
Wallahu a'lam