SDI 0841: Betulkah Malaikat Tanya Dalam Kubur Dengan bahasa Arab?

SoalanNo photo description available.
Jawapan:
 
Tiada DALIL KUKUH yang menjelaskan apakah bahasa yang ditanya di dalam kubur. TIDAK TERDAPAT hadith yang sahih mahupun hasan yang menjelaskan apakah bahasa yang digunakan oleh ahli syurga di akhirat nanti dalam perbualan mereka. Adapun hadith:
 
أحبوا العرب لثلاث لأني عربي ، والقرآن عربي ، وكلام أهل الجنة عربي
 
Maksudnya: “Cintailah Arab kerana tiga perkara: Kerana aku seorang Arab, al-Quran itu berbahasa Arab, dan percakapan ahli syurga itu dengan bahasa Arab.” (HR al-Tabrani di dalam al-Awsath, al-Hakim, al-Baihaqi di dalam Syu’b al-Iman dan selain mereka dari Ibn ‘Abbas r.’anhuma)
 
Hadith ini telah dihukumkan sebagai hadith palsu oleh Ibn al-Jauzi. Kata al-Zahabi pula: “Aku menyangka hadith ini adalah hadith Palsu.” Demikian juga al-Albani menghukumkan hadith ini sebagai hadith palsu di dalam al-Silsilah al-Daiefah (bil. 160)
 
Syeikh al-Islam Ibn Taimiyyah berkata: “Demikian itu sepertimana yang diriwayatkan oleh Abu Ja’far Muhammad bin Abdillah al-Hafidz al-Kufi yang dikenali sebagai Mateen (مطين), menceritakan kepada kami al-‘Ala bin ‘Amr al-Hanafi, menceritakan kepada kami Yahya bin Zaid al-As’ariy, menceritakan kepada kami Ibn Juraij daripada ‘Ato daripada Ibn ‘Abbas r.’anhuma katanya: “Sabda Nabi saw:
 
“Cintalah Arab kerana tiga perkara: Kerana baginda Arab, al-Quran itu berbahasa Arab dan lisan ahli syurga itu adalah berbahasa Arab.” Berkata al-Tha’labiy (الثعلبي): “(hadith ini) tidak ada asal baginya.”
 
Pernah ditanya kepada Syeikh al-Islam Ibn Taimiyyah dengan bahasa apakah manusia bertutur pada hari kiamat? apakah Allah berbicara dengan bahasa Arab, dan apakah benar bahasa ahli neraka adalah bahasa Parsi dan bahasa ahli syurga dengan bahasa Arab?
 
Jawapan Syeikh al-Islam Ibn Taimiyyah:
 
‘Segali pujian bagi Allah tuhan sekelian alam. Tidak diketahui apakah bahasa yang akan dituturkan oleh manusia pada hari akhirat, tidak diketahui juga apakah bahasa yang didengari dari percakapan Allah (pada hari tersebut), ini kerana Allah swt dan RasulNya saw tidak mengkhabarkan kepada kita sesuatupun tentang perkara ini, tidak sahih juga kononnya bahasa Parsi itu bahasa ahli neraka, tidak sahih juga bahasa Arab itu bahasa ahli syurga, tidak juga kami ketahui adanya perbahasan di kalangan sahabat r.’anhum dalam perkara ini, bahkan semua mereka menahan diri dari membicarakan perkara ini, kerana perbicaraan tentangnya termasuk perkara yang tidak perlu. Akan tetapi berlaku perbincangan dalam perkara ini di kalangan orang-orang kemudian. Sekumpulan manusia berkata ahli syurga itu saling berbicara dengan bahasa Arab, sebahagian yang lain pula berkata melainkan ahli neraka, mereka menjawab dengan bahasa Parsi, itulah bahasa mereka di dalam neraka. Berkata sebahagian yang lain pula mereka berbicara sesama mereka dengan bahasa Suryani, kerana ia merupakan bahasa Nabi Adam, dan daripada bahasa Suryani itu bercambahnya bahasa-bahasa lain. Berkata sebahagian yang lain pula melainkan ahli syurga, dimana mereka akan berbicara dengan bahasa Arab. Semua pendapat-pendapat ini tidak ada hujah dari samaada dari akal ataupun naqal, bahkan ianya semata-mata dakwaan yang tidak ada dalil. Wallahu a’lam wa ahkam." (Sila lihat Majmu’ al-Fatawa 4/299)
 

Cetak  
Wallahu a'lam