SDI 1239: Hukum Membuat Gambar

Soalan: 

Hadis tentang golongan yang paling dahsyat di hari akhirat ialah yang membuat gambar. Betulkah hadis ini ustaz?

Jawapan:

Hadis tersebut Sahih, terdapat di dalam Sahih al-Bukhari dan Muslim.

Para ulama berbeza pandangan berkaitan maksud yang dikehendaki oleh Nabi SAW di dalam hadis ini.

Pertama: Majoriti ulama memamahi hadis ini memberi pentunjuk kepada hukum haram melukis gambar makhluk bernyawa secara mutlak iaitulah haram yang tidak memiliki sebarang keterikatan dengan syarat lain.

Pandangan majoriti ini termasuklah pandangan ulama mazhab Hanafi, Syafi’ie dan Hambali dengan wujud perbezaan dalam perincian-perincian tertentu. Penting untuk disebutkan di sini juga bahawa kebanyakan ulama membenarkan apa-apa gambar sama ada berbuku atau tidak yang tiada unsur kemuliaan. Namun mereka berbeza pandangan dalam menentukan batas terlaksananya sesuatu gambar yang tiada unsur kemuliaan tersebut.

Kedua: Harus berserta makruh bagi gambar yang tidak berbayang. Inilah pandangan ulama mazhab Maliki.

Sebahagian ulama mazhab Maliki dan sebahagian salaf, dipersetujui oleh Ibn Hamdan dari mazhab Hambali mengatakan hukum tidak haram ini jika memenuhi syarat-syarat berikut:

2.1 Gambar tidak berbayang atau tidak berjisim dan tidak berjasad seperti ukiran pada dinding, kertas, kain dan seumpamanya. Ia hanya dihukum makruh.

2.2 Gambar tidak memiliki anggota yang sempurna dalam bentuk bergantung kehidupan pada anggota tersebut seperti gambar tiada kepala, tiada badan dan seumpamanya.

2.3 Gambar tidak kekal seperti yang dibuat atau diukir pada buah-buahan atau pada tepung dengan wujud perbezaan di kalangan mereka dalam perinciannya.

Ketiga: Tidak haram melainkan jika dibuat bertujuan disembah.            

Nukilan tiga pandangan ulama ini jelas menunjukkan sebahagian mereka bahkan kebanyakannya menghukum perbuatan membuat gambar adalah haram. Persoalan berikutnya yang dibahaskan oleh para ulama ialah apakah sebab yang menjadikan ia haram? Dalam mengenal pasti sebab pengharaman ini (Illah), sekali lagi mereka berbeza pandangan seperti berikut:

Pertama: Ada unsur مضاهاة atau menyerupai ciptaan Allah. Namun sebab pengharaman ini akan menimbulkan dua masalah lain, iaitulah:  

            Satu: Ia akan membawa kepada hukum haram membuat semua gambar termasuklah yang bukan bernyawa seperti matahari, bulan, pokok, bukit-bukau dan seumpamanya.

            Dua: Ia akan membawa hukum haram juga untuk permainan kanak-kanak.

Oleh itu illah (sebab pengharaman) ini mesti difahami memaksudkan menyerupai atau menyamai bagi tujuan menyaingi ciptaan Allah.

Kedua: Gambar merupakan wasilah berlakunya ghulu dalam mengagungkan selain Allah sehingga membawa kepada kesyirikan. Para ulama yang bersetuju dengan alasan ini menyatakan Nabi SAW diutuskan kepada masyarakat yang menyembah berhala dan menyangka berhala tersebut mendekatkan mereka kepada Allah. Manakala baginda SAW membawa agama Islam yang mahu meruntuhkan kesyirikan dan keberhalaan, digantikan dengan pengisytiharan syi’ar tauhid لا إله إلا الله.

Bagi melaksanakan hasrat ini, selain dari mendatangkan hujah dan penerangan, dakwah Islam juga menggunakan pendekatan menyekat apa sahaja jalan yang boleh membawa kepada kesesatan dan kesyirikan.

Illah ini disandarkan juga kepada hadis muallaq di dalam Sahih al-Bukhari sebagai tafsir kepada surah Nuh berkaitan Waddan, Suwa’, Yaghuth, Ya’uq dan Nasran, dari Ibn ‘Abbas yang berkata:

هذه أسماء رجال صالحين من قوم نوح، فلما هلكوا، أوحى الشيطان إلى قومهم: أن انصبوا إلى مجالسهم التي كانوا يجلسون فيها أنصاباً، وسموها بأسمائهم، ففعلوا، ولم تعبد، حتى إذا هلك أولئك، وتنسخ العلم، عبدت

Maksudnya: “Ini adalah nama orang-orang saleh dari kaum Nabi Nuh. Apabila mereka meninggal dunia, syaitan meilhamkan kepada kaum mereka agar ditegakkan berhala mereka di majlis-majlis mereka dan menamakannya dengan nama-nama mereka. Lalu mereka lakukannya dan berhala-berhala itu tidak disembah, sehinggalah mereka meninggal dunia, manakala ilmu pula menjadi hilang, lalu disembah berhala-berhala tersebut.”

Namun timbul persoalan lain iaitulah pada peringkat manakah yang hendak disekat oleh syariat bagi menjamin jalan yang boleh membawa kepada kesyirikan ini berjaya ditutup? Apakah dengan larangan membuat gambar secara mutlak, atau melarang gambar-gambar yang ditegakkan? Dibenarkan gambar yang tidak ditegakkan? Atau melarang gambar yang berjisim sahaja kerana yang berjisimlah yang disembah?

Sekali lagi persoalan ini menimbulkan perbezaan pendapat di kalangan. Ada di kalangan mereka yang berpendapat Nabi SAW dengan tegas memerintahkan agar dipecahkan berhala di peringkat awalnya. Setelah perkara itu diketahui ramai dan masyarakat telah bebas dari mengagungkan berhala, maka baginda memberi keringanan untuk gambar المسطحة (dua demensi dan tidak berbuku) dengan sabda baginda: إلا رقما في ثوب.

Ketiga: Menyerupai perbuatan musyrikin yang membuat patung dan berhala untuk disembah.

Keempat: Keberadaan gambar menghalang kehadiran malaikat seperti yang dinyatakan oleh Nabi SAW di dalam hadis lain.

Kesimpulan

Hadis-hadis pengharaman gambar dan ancaman kepada al-Musawwir tidak boleh difahami secara zahir bahkan mesti diandaikan ia merujuk kepada gambar yang dibuat bagi tujuan penyembahan atau dibuat bertujuan menyaingi dan menandingi ciptaan Allah.

            Sekalipun demikian, memandangkan penyelewengan dengan patung dan berhala ini merupakan barah umat manusia tanpa mengira zaman, dengan mengambil kira pandangan majoriti ulama,  di bawah ini dicadangkan beberapa garis panduan sebagai سد الذريعة yang mesti dipenuhi untuk keharusan lukisan gambar makhluk bernyawa:

  • Hanya untuk lukisan dua dimensi sahaja.
  • Jauh dari kawasan solat umat Islam.
  • Dibuat dalam saiz yang bersesuaian dengan maksud dan jauh dari unsur pengagungan sama ada sekarang atau akan datang.
  • Jika ia membabitkan lukisan pemimpin dan tokoh masyarakat hendaklah diketatkan tiga syarat di atas.

--------------------

Kajian lengkap persoalan ini dengan tajuk: “Hukum Melukis Gambar Makhluk Bernyawa di Dinding dan Selainnya” telah saya bentangkan di dalam Mesyuarat Fatwa Negeri Perlis dan di bawah ini adalah sigah fatwa yang telah dipersetujui oleh AJK Fatwa Perlis:

JAWATANKUASA FATWA NEGERI PERLIS KALI KE - 42 / 2019
14-15 Julai 2019 / 11-12 Zulkaedah 1440H

_____________________________________________________

HUKUM GAMBAR MAKHLUK BERNYAWA DI DINDING DAN SELAINNYA
______________________________________________________________

Membuat lukisan, patung atau apa-apa gambar yang bertujuan untuk diagungkan hukumnya adalah haram dan dosa besar. Adapun lukisan dengan tujuan untuk memberi maklumat, pendidikan, permainan kanak-kanak dan iklan yang tidak membawa unsur mensyirikkan Allah atau berlebihan mengagungkan sesuatu pihak, maka dibolehkan dengan syarat-syarat tertentu:


1. Gambar tersebut hendaklah tidak berada di hadapan arah solat seseorang.
2. Gambar tersebut tidak mengajak kepada kemungkaran seperti galakan minuman arak, mendedahkan aurat dan aktiviti maksiat yang lain.
3. Tidak diletakkan dalam masjid dan surau yang menimbulkan tasyabbuh dengan tempat-tempat ibadah orang bukan Islam.
4. Tidak diletakkan di kubur kerana itu merupakan unsur pemujaan kubur.

Diperakukan dalam Mesyuarat
Majlis Agama Islam dan
Adat Istiadat Melayu Perlis
Bil 5/2019 pada 5 September 2019


Cetak  
Wallahu a'lam