Friday, November 28, 2014
Kisah Hajar Dan Anaknya.
Hadis daripada ‘Abdullah bin ‘Abbas RA tentang kisah Hajar dan anaknya yang dalam keadaan dahaga. Ketika beliau mencarikan air untuk anaknya, beliau mendengar ada satu suara, lalu beliau berkata:
قَدْ أَسْمَعْتَ إِنْ كَانَ عِنْدَكَ غِوَاثٌ
Maksudnya: “Sesungguhnya engkau telah mendengar, jika bersama denganmu ada bantuan (maka bantulah daku).” (dikeluarkan oleh al-Bukhari)
Dari hadis ini, dijadikan alasan bolehnya meminta istighathah kepada selain dari Allah SWT terdiri dalam kalangan perkara-perkara ghaib.
Jawapan dan Bantahan
Hadis ini adalah sebuah hadis yang Sahih. Terdapat di dalam kitab Sahih al-Bukhari. Akan tetapi hadis ini tidak seperti yang mereka maksudkan. Ia tiada kaitan dengan istighathah kepada yang ghaib atau kepada orang yang telah mati. Ini kerana orang yang ghaib dan telah mati tiada lagi kemampuan melihat dan mendengar permintaan tolong kepadanya, justeru mustahil yang telah mati dapat memberi pertolongan.
Sebaliknya istighathah yang dilakukan oleh Hajar itu adalah termasuk di dalam istighathah yang dibenarkan, kerana ia merupakan permohonan pertolongan dengan orang yang hidup seperti yang jelas dinyatakan di dalam hadis, iaitulah beliau meminta tolong setelah mendengar adanya suara. Mendengar suara menunjukkan terdapat seseorang yang berada dekat di situ dan dapat diharapkan pertolongannya. Lalu di dalam sambungan hadis dinyatakan:
فَإِذَا هِيَ بِالْمَلَكِ عِنْدَ مَوْضِعِ زَمْزَمَ فَبَحَثَ بِعَقِبِهِ أَوْ قَالَ بِجَنَاحِهِ حَتَّى ظَهَرَ الْمَاءُ
Maksudnya: “Rupanya suara itu adalah suara malaikat yang berada di tempat air zam-zam, lalu malaikat mengorek dengan tumit kakinya atau dengan sayapnya sehingga keluarlah air.” (HR al-Bukhari)
Berdasarkan riwayat di sisi al-Tabariy daripada ‘Ali dengan Isnad yang Hasan dinyatakan:
فَنَادَاهَا جِبْرِيلُ فَقَالَ : مَنْ أَنْتِ ؟ قَالَتْ : أَنَا هَاجَرُ أُمُّ وَلَدِ إِبْرَاهِيمَ ، قَالَ : فَإِلَى مَنْ وَكَلَكُمَا ؟ قَالَتْ : إِلَى اللَّهِ . قَالَ : وَكَلَكُمَا إِلَى كَافٍ
Maksudnya: “Jibril memanggilnya (Hajar) dan bertanya: “Siapakah engkau?” Jawab Hajar: “Saya Hajar ibu kepada anak Ibrahim.” Kata Jibril: “Kepada siapa Ibrahim serahkan kamu berdua?” jawab Hajar: “Kepada Allah.” Kata Jibril: “Dia telah menyerahkan kamu berdua kepada tuhan yang memadai.” [1]
Hadis ini jelas menunjukkan, Hajar meminta kepada sesuatu yang hampir dengannya. Permintaan itu pula bukanlah dari perkara yang hanya dikhususkan kepada Allah SWT. Sebaliknya beliau meminta dari pemilik suara yang didengarinya (iaitulah Malaikat) setelah kepenatan yang bersangatan berlari-lari diantara bukit Sofa dan Marwah. Keadaan beliau adalah sama seperti seorang yang tersesat jalan dan kehabisan bekalan. Lalu mendengar dan merasai ada seseorang lain yang melalui jalan yang hampir dengannya, lalu terus meminta pertolongan dari suara tersebut. Maka perkara seperti ini dengan jelas tidak termasuk meminta sesuatu kepada yang ghaib sebaliknya kepada sesuatu yang telah diketahui keberadaannya dan dirasai kebersamaanya. Maka perbuatan meminta pertolongan setelah menyakini adanya seseorang yang hampir dengan kita adalah perbuatan yang dibenarkan tanpa ada perbezaan pendapat di kalangan ulama.
Hujah ini sekali lagi jelas menunjukkan salah faham mereka yang timbul disebabkan gagal membezakan antara istighathah yang dibenarkan dan yang dilarang.
--------------------------------------------------------------------------
[1] Dikeluarkan oleh al-Tabari di dalam tafsirnya 2/69, di dalam tarikhnya 1/177. Lihat juga Fath al-Bari 6/462. Al-Hafidz Ibn Hajar berkata: “Dengan Sanad Hasan.”