Penjelasan dan Jawapan Tentang al-Istighathah, al-Madad (المدد) dan Seumpamanya

Sunday, September 21, 2014

PENJELASAN TENTANG AL-ISTIGHATHAH

Oleh: Mohamad Abdul Kadir bin Sahak

A)   PENDAHULUAN

Persoalan al-Istighathah atau memohon bantuan dan meminta pertolongan kepada Nabi SAW setelah kewafatan baginda menimbulkan perbalahan dalam kalangan masyarakat.Terutamanya apabila timbul fenomena majlis Selawat Perdana, Malam Cinta Rasul dan seumpamanya yang dilaungkan di dalamnya ungkapan-ungkapan seperti “al-Madad Ya Rasulullah”, “Sayyidi, ajirna min al-Nar.”yang bermaksud “Pertolonganmu wahai Rasulullah”, “Penghuluku, selamatkan kami dari api neraka”, “demi kedudukanmu wahai utusan Allah..” dan seumpamanya.

Risalah ini memberi tumpuan menjelaskan persoalan al-Istighathah tersebut berdasarkan dalil-dalil dari al-Quran dan al-Sunnah dengan panduan dan bimbingan dari para ulama Ahl al-Sunnah wa al-Jama’ah.

 

B)   MAKNA AL-ISTIGHATHAH

Al-Istighathahالإستغاثة adalah طلب الغوث iaitulah meminta pertolongan.Ia juga bermaksud menghilangkan kesempitan. Ia sama seperti kalimah الإستنصار yang juga bermaksud meminta pertolongan dan kalimah الإستعانة bermaksud meminta bantuan[1]. Atau ia bermaksud (meminta) pembebasan dari kesempitan, hukuman dan (meminta) bantuan untuk bebas dari segala kesulitan.[2]

Maka al-Istighthah adalah termasuk dari jenis-jenis Permintaandan DoaNamun Doaadalah lebih umum dari al-Istighathah. Dimana Doadipohon ketika dalam kesulitan mahupun kelapangan. Manakala al-Istighathah pula hanya dipohon ketika berada dalam kesulitan dan kesukaran sahaja.Maka orang yang beristighathah adalah orang yang meminta bantuan dan pertolongan dari zat atau individu yang dipohon istighathah(pertolongan).Kefahaman ini dapat di ambil dari firman Allah SWT:

Maksudnya: “Maka orang yang dari golongannya (Nabi Musa) meminta pertolongan (فاستغاثه) kepadanya (Nabi Musa), untuk mengalahkan orang yang dari musuhnya.” (al-Qasas: 15) FirmanNya juga:

Maksudnya: “(ingatlah), ketika kamu semua memohon pertolongan kepada Tuhanmu, lalu diperkenankan-Nya bagimu". (al-Anfal: 9)

 

C)   SALAH FAHAM DALAM BAB ISTIGHATHAH

1)    Gagal membezakan di antara al-Istighathah dan al-Tawassul dan menjadikan kedua-duanya membawa maksud yang sama. Sedangkan terdapat perbezaan yang cukup jelas di antara keduanya.

Lafaz al-Istighathah yang terdapat di dalam al-Quran, al-Sunnah dan dalam percakapan orang Arab digunakan bagi tujuan memohon dari individu yang diistighathah.Tidak boleh dikatakan orang yang beristighathah kepada seseorang adalah sama dengan orang yang bertawassul dengan kemuliaan seseorang. Di sini jelas menunjukkan al-Istighathah tidak samadan ia bukanlah al-Tawassul. Seorang yang bertawassul tidak meminta dari individu yang dijadikan perantaraan (tawassul).Sebaliknya permintaan ditujukan kepada Allah SWT. Seperti seseorang yang bertawassul berkata: أتوسل إليك يا إلهي بفلان yang bermaksud: “Aku bertawassul kepadaMU wahai Tuhanku dengan seorang fulan” iaitulah sasaran permintaan kepada Allah bukan kepada fulan. Hal ini berbeza dengan al-Istighathah, dimana seseorang yang memohon Istighathah dengan berkata:  أستغيث بهia bermaksud: “Aku memohon pertolongan darinya” bukan bermaksud توسلت بجاههaku bertawassul dengan kebesarannya.

2)    Lafaz al-Tawassul (التوسل) dan al-Tawajjuh (التوجه) membawa maksud bertawassul dan bertawajjuh kepada Allah dengan doa para Nabi atau orang-orang Saleh. Inilah yang dimaksudkan dengan perkataan generasi Salaf dari kalangan Sahabat RA. Inilah juga yang dimaksudkan oleh para Fuqaha di dalam kitab al-Istisqa dengan pernyataan mereka: ويستحب أن يستسقى بالصالحين yang bermaksud: “Dan digalakkan meminta diturunkan hujan dengan orang-orang Saleh iaitulah dengan doa mereka kepada Allah SWT.”

3)    Beranggapan al-Istighathah hanya satu bahagian dan kesemuanya harus dan dibenarkan. Sehingga menjadikan istighathah dengan orang yang telah mati sama dengan istighathah dengan orang yang masih hidup.

Di bawah ini jelaskan pembahagian al-Istighathah…

 

D)   DUA JENIS AL-ISTIGHATHAH

1)    al-Istighathahal-Masyru’ah (Istighathah yang dibenarkan). Ia terbahagi kepada:

1.1)       (الإستغاثة بالله) Istighathah atau meminta pertolongan dengan Allah. Ia merupakan perbuatan yang diperintahkan di dalam agama, kerana sesungguhnya semua pertolongan dan bantuan berada di sisiNYA sahaja. Allah SWT menceritakan tentang permintaan pertolongan daripada orang-orang beriman kepadaNYA pada malam peperangan al-Badr dengan firmanNYA:

Maksudnya: “(ingatlah), ketika kamu semua memohon pertolongan (tbqèW‹ÉótGó¡n@) kepada Tuhanmu, lalu diperkenankan-Nya bagimu: "Sesungguhnya aku akan mendatangkan bala bantuan kepada kamu dengan seribu Malaikat yang datang berturut-turut". (al-Anfal: 9)

1.2)       (الإستغاثة بالنبي) Istighathah atau meminta pertolongan dengan Nabi dan manusia lainnya dalam ruang keupayaan, kemampuan dan bersesuaian dengan kedudukan mereka masing-masing, ketika mereka masih HIDUP DAN ADA BERSAMAdengan orang yang meminta pertolongan tersebut. Istighathah seperti ini tiada perbezaan di kalangan ulama keharusannya berdasarkan firman Allah SWT:

çMaksudnya: Maka orang yang dari golongannya (dari golongan Nabi Musa) meminta pertolongan kepadanya (msW»tótGó™$$sù) (kepada Nabi Musa), untuk mengalahkan orang yang dari musuhnya.”(al-Qasas: 15)

Termasuk dalam bahagian ini juga, istighathah manusia dengan Nabi SAW ketika mereka semua berada bersama baginda pada hari kiamat agar baginda memohon kepada Allah disegerakan hisab setelah semua para Nabi yang lain memberi keuzuran. Istighathah seperti ini tidak menafikan kesempurnaan tauhid kepada Allah SWT.

Malangnya sebahagian golongan yang melampau dari kalangan orang-orang yang menisbahkan diri mereka kepada kesufian telah menyamakan keadaan Nabi Muhammad SAW ketika baginda masih hidup dengan keadaan setelah kewafatan baginda.Mereka beranggapan bahawa Nabi SAW sekalipun setelah wafat, baginda tetap hidup seperti kehidupan baginda di dunia. Mereka berkata sebagaimana para Syuhada hidup di dalam kubur mereka, maka sudah tentu para Nabi  lebih utama. Berpijak dari keyakinan sebegini mereka beranggapan boleh meminta pertolongan (istighathah) dengan Nabi SAW sama ada ketika baginda masih hidup mahupun selepas kewafatan baginda di dalam kubur.

Mereka sebenarnya terlepas pandang bahawa kehidupan baginda SAW selepas kewafatan, adalah kehidupan barzakhiyyah (حياة برزخية) yang termasuk dalam perkara ghaib.Tidak diketahui hakikat atau pendetailannya, kerana ketiadaan bukti dari al-Quran mahupun dari al-Sunnah yang memperincikannya.Yang wajib ke atas kita adalah beriman dengan hidupnya para Nabi di dalam kubur (‘Alam Barzakh), tanpa mendetailkannya, kerana ketiadaan maklumat daripada nas agama tentang pendetailan itu. Yang pasti sudah tentu hidup para nabi di alam barzakh tidaksama seperti hidup mereka di dunia.

 

2.     Al-Istighathah al-Mamnu’ah (Istighathah Terlarang). Ia terbahagi kepada:

2.1) istighathah atau meminta pertolongan dengan Nabi atau dengan orang soleh yang masih hidup dalam perkara yang tidak mampu dilakukan melainkan oleh Allah SWT sahaja, seperti: meminta diampunkan dosa, minta hidayah, minta penyembuhan penyakit, meminta rezeki, meminta diturunkan hujan dan seumpamanya yang tidak mampu dilakukan melainkan Allah SWT. Istighathah seperti ini termasuk di dalam perbuatan Syirik Akbar yang menjadikan sipelakunya terkeluar daripada agama Islam. Perbuatan seperti ini adalah sama dengan perbuatan yang dilakukan oleh orang-orang ‘Arab Jahiliyyah yang meminta pertolongan kepada berhala dan yang selain daripada Allah SWT.

2.2) Istighathah atau meminta pertolongan dengan orang yang telah mati dari kalangan Nabi mahupun selainnya dengan alasan kehidupan mereka setelah mati adalah sama seperti kehidupan mereka ketika hidup di dunia. Sehingga sebahagian mereka ada yang beranggapan para syeikh atau wali bertindak sebagai orang yang menguruskan urusan dunia setelah kematian mereka.Ini adalah kesesatan yang amat nyata.

2.3) Istighathah atau meminta pertolongan dengan Nabi SAW atau dengan orang saleh yang masih hidup tetapi ketika ketiadaan mereka.Perkara sebegini juga adalah dilarang, kerana mereka tiada kemampuan untuk mendengar permintaan pertolongan itu dan tidak mengetahui perkara yang ghaib.

Kadang-kala syaitan bertindak menyerupai individu yang mereka mohon pertolongan tersebut, bagi tujuan menyesatkan manusia.Syaitan itu juga memenuhi permintaan mereka.Lalu syaitan berjaya memperdaya mereka.

Oleh itu, berhasil memperolehi apa-apa yang diminta tidak boleh dijadikan alasan untuk mengatakan perbuatan yang menyalahi syarak itu dibenarkan.Hal ini kerana bukan semua perkara yang menjadi sebab memperolehi sesuatu kemanfaatan, ianya menjadi hujjah dibolehkan perbuatan itu.

 

E)   AL-ISTIGHATHAH ADALAH DOA

Seperti yang telah ditegaskan di bawah bab Makna al-Istighathah bahawa al-Istighathah adalah termasuk dalam kumpulan doa dan permohonan. Justeru ia mestilah diarahkan hanya kepada Allah SWT sahaja dan tidak boleh dipalingkan kepada yang selain daripadaNYA. Jika dipalingkan kepada selain daripada Allah SWT, maka perbuatan itu termasuk di dalam kesyirikan. Di sini disertakan beberapa perkataan daripada ulama Ahl al-Sunnah wa al-Jamaah:

1)      Imam Tabi’ien, Salim bin ‘Abdillah bin ‘Umar bin al-Khattab[3]RH berkata:

لا تسأل أحدا غير الله تعالى

Maknanya: “Jangan kamu memohon kepada seseorang selain dari Allah Yang Maha Tinggi.”[4]

2)    Al-Imam Ibn Jarir al-Tabari RH ketika menafsirkan ayat:

ŸMaksudnya: “dan janganlah kamu memohon kepada selain daripada Allah yang tidak memberi manfaat dan tidak (pula) memberi mudarat kepadamu; sebab jika kamu berbuat (yang demikian), itu, Maka Sesungguhnya kamu kalau begitu Termasuk orang-orang yang zalim". (Yunus: 106)

Beliau berkata: “Dan firman Allah Yang Maha Tinggi sebutanNya: (bermaksud) Dan janganlah kamu wahai Muhammad memohon kepada selain daripada sembahanmu dan selain daripada penciptamu (Allah) sesuatu yang tidak dapat memberi apa-apa manfaat kepadamu di dunia mahupun di akhirat. Tidak pula dapat mendatangkan mudarat kepadamu dalam agama mahupun di dunia, iaitulah sembahan-sembahan dan berhala-berhala. Allah memaksudkan: “Jangan kamu sembah mereka dalam keadaan berharap manfaatnya atau bimbangkan kemudaratannya. Kerana sesungguhnya mereka tidak dapat mendatangkan manfaat mahupun mudarat. Firman Allah: فإن فعلتmaksudnya: “Jika kamu lakukan sedemikian”, maka demikian itulah kamu telah berdoa kepada selain Allah. Firman Allah: فإنك إذا من الظالمين maksudnya: “Jika demikian kamu ketika itu termasuk dari kalangan orang-orang yang zalim” iaitulah dari kalangan orang-orang yang mensyirikkan Allah dan menzalimi diri mereka sendiri.”[5]

3)      Al-Imam al-Halimiy al-Syaf’ie[6] berkata: “dan Doa termasuk di dalam jumlah menjadikan diri khusyu’ dan hina, kerana setiap yang berdoa dan memohon, sesungguhnya dia telah menzahirkan hajatnya dan mengakui kehinaan dan kefakiran kepada yang diminta dan dipohon. Perkara sedemikian ini adalah termasuk perhambaan yang sama seperti ibadat-ibadat lain, bertujuan mendekatkan diri kepada Allah ‘Azz Ismuhu. Kerana itu Allah Azza wa Jalla berfirman:

þMaksudnya: "Berdoalah kepada-Ku, nescaya akan Kuperkenankan bagimu. Sesungguhnya orang-orang yang menyombongkan diri dari menyembah-Ku akan masuk neraka Jahannam dalam keadaan hina dina". (Ghafir: 60)

Allah  menjelaskan bahawa doa adalah ibadah. Maka seorang yang takut seperti apa telah kami sifatkan ialah seperti seorang yang berharap. Ini kerana seseorang apabila ia takut, dia akan khusu’ dan menghina diri kepada yang ditakutinya, dan akan merendahkan diri kepada zat yang ditakutinya dalam memohon kemaafan[7]” sehinggalah beliau berkata: “Sesungguhnya tidak wajar dijadikan pengharapan (raja’) melainkan kepada Allah Jalla Jalaluh, apabila Dialah yang bersendirian dalam pemilikan dan al-Din. Tiada sesiapapun selainNya yang memiliki kemanfaatan mahupun kemudharatan.Maka sesiapa yang berharap kepada sesiapa yang tidak memiliki apa-apa yang tidak dia miliki, maka orang itu dari kalangan mereka yang jahil. Apabila dia menggantungkan harapannya kepada Allah, maka sepatutnya dia memohon apa-apa yang dihajatinya kepada Allah sama ada kecil mahupun besar, ini kerana kesemuanya berada dalam gengaman Allah, tiada yang memenuhi segala hajat selainNya, dan permohonan kepadanya hanyalah berlaku dengan berdoa…”[8]

 

F)   BANTAHAN DAN JAWAPAN

Berikut disertakan dalil-dalil golongan yang membenarkan istighathah kepada Nabi SAW setelah kewafatan baginda dan Wali (orang soleh) yang telah meninggal dunia.Disertakan bantahan terhadap dalil-dalil tersebut.

1)    Hadits riwayat Ibn Abi Syaibah daripada al-A’masyh, daripada Abi Soleh al-Siman, daripada Malik al-Dar katanya:

أَصَابَ النَّاسَ قَحْطٌ فِي زَمَنِ عُمَرَ ، فَجَاءَ رَجُلٌ إلَى قَبْرِ النَّبِيِّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ فَقَالَ : يَا رَسُولَ اللَّهِ ، اسْتَسْقِ لِأُمَّتِك فَإِنَّهُمْ قَدْ هَلَكُوا ، فَأَتَى الرَّجُلَ فِي الْمَنَامِ فَقِيلَ لَهُائْتِعُمَرَ فَأَقْرِئْهُ السَّلَامَ ، وَأَخْبِرْهُ أَنَّهُمْ يُسْقَوْن

Maksudnya: “Orang ramai ditimpa dengan kemarau di zaman ‘Omar. Lalu datang seorang lelaki ke kubur Nabi SAW dan berkata: “Wahai Rasulullah, pohonlah hujan untuk ummatmu, kerana sesungguhnya mereka semua telah (hampir) binasa. Lalu di dalam mimpi lelaki tersebut didatangi seseorang, dan dikatakan kepadanya, pergilah kepada ‘Umar dan sampaikan kepadanya al-Salam, khabarkan kepadanya yang mereka semua akan memperolehi hujan.”(Dikeluarkan oleh Ibn Abi Syaibah di dalam al-Musannaf 6/356)

Hadis ini dijadikan hujah bolehnya meminta pertolongan kepada orang yang telah mati terutamanya Nabi SAW.

 

Jawapan dan Bantahan

Hadis ini tidak boleh dijadikan hujah,ia memiliki banyak masalah dan kecacatan:

i)             Ia termasuk hadis ‘an’anah atau riwayat dengan عن oleh al-A’masyh dan beliau adalah seorang Mudallis. Seorang Mudallis jika meriwayatkan hadis secara ‘an’anah maka riwayatnya tidak diterima.

ii)            Malik al-Dar adalah seorang yang tidak dikenali.

iii)           Di dalam sanadnya ada tempat al-Inqito’ (sanad terputus) iaitulah antara Abi Soleh dan Malik al-Dar.

iv)           Menyendirinya Malik seorang periwayat yang tidak dikenali meriwayatkan peristiwa besar seperti ini dan keperitan yang membelenggu orang ramai. Bagaimana beliau boleh menyendiri meriwayatkannya, sedangkan para sahabat sentiasa memberi perhatian dalam meriwayatkan peristiwa-peristiwa seumpama ini?

v)            Kisah ini bertentangan dengan apa yang telah pasti dari sunnah apabila berlakunya kemarau panjang. Iaitulah galakan mendirikan solat al-Istisqa bagi memohon kepada Allah SWT agar diturunkan hujan. Perkara ini terdapat banyak bukti dari hadis-hadis Nabi SAW. Kisah ini juga bertentangan dengan pengajaran dari ayat al-Quran, iaitulah:

àMaksudnya: Maka aku katakan kepada mereka: 'Mohonlah ampun kepada Tuhanmu, -sesungguhnya Dia adalah Maha Pengampun.nescaya Dia akan mengirimkan hujan kepadamu dengan lebat,” (Nuh: 10-11)

Demikian juga bertentangan dengan apa yang dilakukan oleh ‘Umar RA apabila berlakunya kemarau. Di mana beliau pernah bertawassul dengan meminta al-‘Abbas yang berada bersama dengannya untuk berdoa meminta diturunkan hujan.Tidak pernah diriwayatkan dari seorangpun para sahabat yang pergi ke kubur Nabi SAW untuk meminta baginda berdoa supaya diturunkan hujan kepada mereka. Sekiranya perbuatan itu adalah dibenarkan, sudah tentu mereka akan melakukannya walaupun sekali. Jika mereka tidak pernah melakukannya, ia menunjukkan perbuatan pergi ke kubur Nabi SAW dan meminta baginda memohon kepada Allah untuk diturunkan hujan adalah sesuatu yang tidak disyariatkan.”

2)    Daripada ‘Abdullah bin Mas’ud RA katanya, Rasulullah SAW bersabda:

إِذَا انْفَلَتَتْ دَابَّةُ أَحَدِكُمْ بِأَرْضِ فَلَاةٍ فَلْيُنَادِ : يَا عِبَادَ اللَّهِ ، احْبِسُوا عَلَيَّ ، يَا عِبَادَ اللَّهِ احْبِسُوا عَلَيَّ ؛ فَإِنَّ لِلَّهِ فِي الْأَرْضِ حَاضِرًا سَيَحْبِسُهُ عَلَيْكُمْ

Maksudnya: “Jika binatang tunggangan seseorang daripada kamu terlepas lari di tanah lapang, maka berserulah: Wahai para hamba Allah, sekatlah binatang itu untukku, wahai para hamba Allah,sekatlah binatang itu untukku.” Kerana sesungguhnya Allah memiliki hambanya (manusia ataupun jin) yang akan menyekat binatang itu dari lari jauh untuk kamu semua.” (Dikeluarkan oleh al-Tabarani di dalam al-Mu’jam al-Kabir 10/217, dan Abu Ya’la di dalam Musnadnya 9/177)

Melalui hadis ini, sebahagian orang berpandangan ia menunjukkan bolehnya beristighathah dengan berkata: “Wahai hamba Allah.” Hadis ini menunjukkan bolehnya beristighathah dengan makhluk.

 

Jawapan dan Bantahan

Hadis ini adalah Hadis yang Dhoief (Lemah), padanya terdapat dua kecacatan:

i)             Ma’ruf bin Hassan al-Samarqandi (seorang periwayat hadis ini) adalah seorang Majhul (tidak dikenali). Ibn Abi Hatim daripada bapanya berkata tentangnya: “Sesungguhnya dia seorang yang majhul.”[9] Ibn ‘Adiy berkata tentangnya: “Dia seorang Munkar al-Hadis”. Kerana itu al-Haithami menganggap ia seorang yang berillah, setelah beliau menyebutnya dari riwayat Abi Ya’la dan al-Tabarani, beliau berkata: “Di dalam sanadnya terdapat Ma’ruf bin Hassan dan dia seorang yang Dhoief (lemah).”[10]

ii)            Terdapat al-Inqataa’. Kerananya al-Hafidz Ibn Hajar menganggap hadis ini berillah (ada kecacatan) dengan katanya: “Hadis Gharib, dikeluarkan oleh Ibn al-Sunniy dan al-Tabarani, dan sanadnya inqitaa’ diantara Ibn Buraidah dan Ibn Mas’ud. Hal ini dinukilkan oleh Ibn ‘Allan di dalam Syarh al-Azkar.[11]Al-Hafidz al-Sakhawi berkata di dalam al-Ibtihaj bi Azkar al-Musafir wa al-Hajj: “Sanadnya Dhoief (lemah).”[12]

iii)           Terdapat kecacatan ketiga pada hadis ini seperti yang dinyatakan oleh al-Muhaddith al-Syeikh Sulaiman bin ‘Abdullah bin Muhammad bin ‘Abdul Wahhab RH. Iaitulah menyendirinya Ma’ruf dalam meriwayatkan hadis ini berbanding para sahabat Sa’ied yang lain, beliau berkata: “al-Suyuthi berkata: “Satu Hadis yang Dhoief.” Dan aku berkata: “Bahkan ia adalah hadis Batil. Jika tidak bagaimana dia riwayat daripada Sa’ied daripada Qatadah. Setelah itu tiada (riwayat) dari para sahabat Sa’ied dari kalangan para Huffadz dan para al-Athbath seperti Yahya al-Qattan, Ismail bin ‘Aliyyah, Abi Usamah, Khalid bin al-Harith, Abi Khalid al-Ahmar, Sufyan, Syu’bah, ‘Abdul Warith, Ibn al-Mubarak, al-Ansoriy, Ghundar, Ibn Abi ‘Adiy dan seumpamanya, sehingga syeikh yang tidak dikenali lagi munkar al-Hadis ini membawakannya. Maka ini merupakah bukti yang paling kuat menunjukkan kepalsuan hadis ini.”[13]

Ada yang mendakwa atau menukilkan dari al-Nawawi yang pernah mencuba doa ini dan beliau mendapati manfaatnya. Maka jawapan kepada dakwaan ini ialah seperti yang disebut oleh al-Syaukani: “Dan aku katakan: “al-Sunnah tidak dapat dipastikan dengan hanya percubaan (pengalaman), dan tidaklah terkeluar seseorang pelaku sesuatu yang berkeyakinan ianya sunnah, dari perkara tersebut yang sememangnya rekaan (bid’ah). Diperkenankan doa tidak dapat membuktikan doa itu thabit dari Rasulullah SAW, kerana kadang-kala Allah memperkenankan sesuatu doa tanpa melalui doa yang sunnah dan Dialah Tuhan Yang Amat Maha Pengasih, kadang-kala juga perkenan itu berupa istidraj.[14]

iv)           Daripada ‘Abdullah bin ‘Umar RA tentang hadis al-Syafaah dengan lafaz:

 إِنَّ الشَّمْسَ تَدْنُو يَوْمَ الْقِيَامَةِ حَتَّى يَبْلُغَ الْعَرَقُ نِصْفَ الْأُذُنِ فَبَيْنَا هُمْ كَذَلِكَ اسْتَغَاثُوا بِآدَمَ ثُمَّ بِمُوسَى ثُمَّ بِمُحَمَّدٍ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ فَيَشْفَعُ لِيُقْضَى بَيْنَ الْخَلْقِ فَيَمْشِي حَتَّى يَأْخُذَ بِحَلْقَةِ الْبَابِ فَيَوْمَئِذٍ يَبْعَثُهُ اللَّهُ مَقَامًا مَحْمُودًا يَحْمَدُهُ أَهْلُ الْجَمْعِ كُلُّهُمْ

Maksudnya: “Sesungguhnya matahari akan menghampiri pada hari kiamat sehingga peluh mencecah sebahagian telinga. Ketika manusia dalam keadaan sedemikian, mereka semua memohon pertolongan dengan Nabi Adam, kemudian dengan Nabi Musa, kemudian dengan Nabi Muhammad SAW.Lalu baginda memberi syafaat agar segera diberi keputusan antara makhluk, lalu baginda berjalan sehingga berada di pintu syurga.Pada hari itu Allah mengutuskan baginda ke satu tempat yang terpuji, baginda dipuji oleh semua makhluk.”(HR al-Bukhari)

Mereka beranggapan hadis ini menunjukkan bolehnya beristighathah kepada selain daripada Allah dalam perkara yang tidak boleh dilakukan melainkan Allah SWT sahaja.

 

Jawapan dan Bantahan

Hadis ini adalah hadis sahih.Akan tetapi hadis ini tidak menunjukkan boleh melakukan istighathah yang syirik. Sebaliknya ia termasuk di dalam bab beristighathah dengan Nabi yang hidup dalam perkara yang berada di bawah keupayaan baginda. Ungkapan yang terdapat di dalam hadis: اسْتَغَاثُوا بآدم yang bermaksud: “Mereka meminta pertolongan dengan (Nabi) Adam.” Bermaksud mereka meminta doa dari para nabi yang dibangkitkan hidup bersama mereka di hari kiamat, agar disegerakan keputusan diantara makhluk. Kefahaman ini disokong atau dikuatkan dengan hadis-hadis lain yang menceritakan tentang al-Syafaah. Telah diriwayatkan di dalam hadis-hadis yang lain menceritakan ketikamana manusia meminta dari para nabi agar memberi syafaat kepada mereka di sisi Allah SWT agar segera memutuskan hukuman, dan setelah kesemua para Nabi memberi keuzuran dari melakukan perkara tersebut, baginda bersabda: “Lalu mereka semua mendatangi (Nabi) Muhammad SAW, dan berkata: “Berilah syafaat untuk kami kepada Tuhanmu, tidakkah engkau melihat keadaan kami sekarang ini?” lalu daku pergi dan berada di bawah Arasy, lalu daku sujud kepada Tuhanku Yang Maha Tinggi, setelah itu Allah membuka (mengajarkan) kepadaku kalimah-kalimah pujian dan pujaan ke atasNYA, yang belum pernah dibuka (diajar) kepada seseorangpun sebelum daripadaku.” Setelah itu Allah berfirman: “Wahai Muhammad, angkatlah kepalamu, buatlah permohonan, kamu akan dikurniakan apa yang kamu minta. Berilah syafaat, kamu akan dapat memberinya.” Lalu daku mengangkat kepalaku dan berkata: “Ummatku wahai tuhan, ummatku wahai tuhan…” (Dikeluakan oleh al-Bukhari)

Hadis ini menunjukkan, manusia pada hari kiamat kelak akan memohon doa dari Nabi SAW, agar baginda berdoa kepada Allah untuk mempercepatkan keputusan mereka. Dan Nabi SAW ketika itu berada bersama mereka dan mampu melaksanakannya.Ini termasuk dalam istighathah kepada orang yang hidup dalam ruang keupayaannya. Bahkan Nabi SAW telah menjelaskan di dalam hadis lain bahawa doa baginda pada hari kiamat ini adalah sama dengan doa para Nabi di dunia, baginda bersabda:

لِكُلِّ نَبِيٍّ دَعْوَةٌ مُسْتَجَابَةٌ فَتَعَجَّلَ كُلُّ نَبِيٍّ دَعْوَتَهُ وَإِنِّي اخْتَبَأْتُ دَعْوَتِي شَفَاعَةً لِأُمَّتِي يَوْمَ الْقِيَامَةِ

Maksudnya: “Bagi setiap Nabi itu satu doa yang akan diperkenankan, maka setiap Nabi telah menggunakan kesempatan itu. Adapun aku menyimpan doa ku itu untuk menjadi syafaat kepada ummatku pada hari kiamat.”(HR Muslim)

Maka menggunakan hadis ini sebagai dalil bolehnya istighathah kepada orang yang telah mati adalah tidak benar dan menyeleweng dari maksud sebenar yang dikehendaki oleh hadis.Keadaan ini berlaku disebabkan mereka gagal untuk membezakan antara istighathah yang dibenarkan dengan istighathah yang terlarang.

v)            Daripada ‘Abdullah bin ‘Abbas RA tentang kisah Hajar dan anaknya yang dalam keadaan dahaga.Ketika beliau mencarikan air untuk anaknya, beliau mendengar ada satu suara, lalu beliau berkata:

قَدْ أَسْمَعْتَ إِنْ كَانَ عِنْدَكَ غِوَاثٌ

Maksudnya: “Sesungguhnya engkau telah mendengar, jika bersama denganmu ada bantuan (maka bantulah daku).” (dikeluarkan oleh al-Bukhari)

Dari hadis ini, dijadikan alasan bolehnya meminta istighathah kepada selain dari Allah SWT.

 

Bantahan dan Jawapan

Hadis ini adalah sebuah hadis yang sahih.Terdapat di dalam kitab Sahih al-Bukhari.Akan tetapi hadis ini tidak seperti yang mereka maksudkan. Sebaliknya istighathah yang dilakukan oleh Hajar itu adalah termasuk di dalam istighathah yang dibenarkan, kerana ia merupakan permohonan pertolongan dengan orang yang hidup seperti yang jelas dinyatakan di dalam hadis, iaitulah beliau meminta tolong setelah mendengar satu suara. Mendengar suara menunjukkan terdapat seseorang yang berada dekat di situ dan dapat diharapkan pertolongannya. Lalu di dalam sambungan hadis dinyatakan: 

 فَإِذَا هِيَ بِالْمَلَكِ عِنْدَ مَوْضِعِ زَمْزَمَ فَبَحَثَ بِعَقِبِهِ أَوْ قَالَ بِجَنَاحِهِ حَتَّى ظَهَرَ الْمَاءُ

Maksudnya: “Rupanya suara itu adalah suara malaikat yang berada di tempat air zam-zam, lalu malaikat mengorek dengan tumit kakinya atau dengan sayapnya sehingga keluarlah air.”  (HR al-Bukhari)

Maka perbuatan meminta pertolongan setelah menyakini adanya seseorang yang hampir dengan kita adalah perbuatan yang dibenarkan tanpa ada perbezaan pendapat di kalangan ulama.Hujah ini sekali lagi jelas menunjukkan salah faham mereka yang timbul disebabkan gagal membezakan antara istighathah yang dibenarkan dan yang dilarang.

vi)           Daripada al-Haris bin Hassan al-Bakri RA yang berkata: “Aku pernah keluar bersama dengan al-‘Ala bin al-Hadhramiy pergi ke Rasulullah… “ di dalam hadis tersebut beliau menyebut: “Lalu aku berkata:

أَعُوذُ بِاللَّهِ وَبِرَسُولِهِ أَنْ أَكُونَ كَوَافِدِ عَادٍ

Maksudnya: “Aku berlindung dengan Allah dan dengan RasulNya dari aku menjadi seperti Wafid ‘Aad (wakil kaum ‘Aad).” (HR Ahmad dan al-Tirmizi)

Dari hadis ini, golongan yang membenarkan istighathah dengan makhluk mengatakan di dalamnya terdapat permohonan dengan Allah dan dengan Rasul SAW.

 

Bantahan dan jawapan

Hadis ini tidak boleh dijadikan hujah. Hal ini kerana, lafaz وَبِرَسُولِهِ yang bermaksud: “Dan dengan RasulNya” yang terdapat di dalam hadis adalah  lafaz tambahan yang Syaz. Lafaz ini datang melalui riwayat Zaid bin al-Hubab daripada Salam bin Sulaiman. Dalam riwayat ini, Zaid bin al-Hubab telah menyalahi orang yang lebih thiqah berbandingnya dalam periwayatan.

Jika berdasarkan riwayat di sisi Ahmad melalui jalan ‘Affan bin Muslim daripada Salam bin Sulaiman dengan lafaz: أَعُوذُ بِاللَّهِأَنْ أَكُونَ... dimana tidak terdapat lafaz وَبِرَسُولِهِ.Demikian juga berdasarkan riwayat di sisi al-Tirmizi dari jalan Sufyan bin ‘Uyainah daripada Salam bin Sulaiman dengan lafaz أَعُوذُ بِاللَّهِأَنْ أَكُونَ مِثْلَ وَافِدِ عَادٍ juga tidak terdapat lafaz وَبِرَسُولِهِ. Maka setiap riwayat yang datang dari ‘Affan bin Muslim dan Sufyan bin ‘Uyainah adalah lebih kuat berbanding riwayat dari Zaid bin al-Hubab. Riwayat dari mereka berdua berbeza dengan riwayat dari Zaid bin al-Hubab. Kerana itu Imam Ahmad berkata tentang Zaid bin al-Hubab: “Beliau adalah seorang yang banyak kesalahan (dalam periwayatan).” Kata Ibn Hibban: “Dia banyak kesilapan.”

Jika diandaikan hadis ini thabit sekalipun. Persoalan meminta perlindungan adalah sama dengan persoalan meminta pertolongan. Dimana ada yang dibenarkan dan ada pula yang dilarang.Sepertimana memohon pertolongan adalah harus dengan makhluk yang ada bersama kita dan dalam kemampuannya, maka demikianlah memohon perlindungan.Maka di dalam hadis ini, al-Haris memohon perlindungan dengan Rasul dari kaumnya dikuasai oleh kabilah Bani Tamim.Inilah persamaan yang wujud antara beliau yang diutuskan oleh kaumnya untuk meminta perlindungan kepada Nabi dengan Wafid ‘Aad yang diutus oleh kaumnya untuk memohon hujan namun dia pulang dengan membawa kebinasaan.Permohonan perlindungan al-Haris dengan Nabi SAW adalah perkara yang berada di bawah kemampuan mana-mana pemerintah atau Qadhi.Selain itu al-Haris memohon perlindungan daripada baginda Nabi SAW yang berada di hadapan beliau.Situasi ini jauh berbeza dengan perbuatan orang-orang yang menyembah dan meminta dari kubur.

vii)         Riwayat daripada ‘Aus bin Abdillah ketika berlaku kemarau ke atas penduduk Madinah. Beliau berkata:

قُحِطَ أَهْلُ الْمَدِينَةِ قَحْطًا شَدِيدًا فَشَكَوْا إِلَىعَائِشَةَ فَقَالَتْ انْظُرُوا قَبْرَ النَّبِيِّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ فَاجْعَلُوا مِنْهُ كِوًى إِلَى السَّمَاءِ حَتَّى لَا يَكُونَ بَيْنَهُ وَبَيْنَ السَّمَاءِ سَقْفٌ قَالَ فَفَعَلُوا فَمُطِرْنَا مَطَرًا حَتَّى نَبَتَ الْعُشْبُ وَسَمِنَتْ الْإِبِلُ حَتَّى تَفَتَّقَتْ مِنْ الشَّحْمِ فَسُمِّيَ عَامَ الْفَتْقِ

Maksudnya: “Berlaku kemarau panjang ke atas penduduk Madinah, lalu mereka mengadu perkara itu kepada ‘Aisyah RA. Lalu ‘Aisyah RA berkata: “Liharlah ke kubur Nabi SAW, dan jadikan ruang kosong ke langit sehingga tiada sesuatu atap di antaranya dengan langit.” Maka mereka semua  melakukan perkara itu, lalu kami dikurniakan hujan yang amat lebat sehingga tumbuhan subur dan unta menjadi gemuk. Dinamakan tahun ini sebagai tahun al-Fatq.”Dikeluarkan oleh al-Darimi di dalam Sunannya, Bab: Ma Akrama Allah Taala Nabiyyahu Ba’d Mautih: 1/56)

Mereka yang membenarkan istighathah dengan Nabi SAW selepas kewafatan baginda menjadikannya hadis ini sebagai dalil.Ia berdasarkan arahan ‘Aisyah agar dibuka atap kubur Nabi SAW dan memohon hujan dengan baginda selepas kewafatan baginda.

 

Jawapan dan Bantahan

Athar ini adalah Dhoief Jiddan.Tidak boleh dijadikan hujjah. Syeikh al-Islam Ibn Taimiyyah berkata:

“Dan apa yang diriwayatkan daripada ‘Aisyah RA agar dibuka atap kubur Nabi SAW ke langit untuk diturunkan huja,n bukanlah riwayat yang Sahih. Tidak thabit isnadnya. Sebaliknya ia hanya dinukil dari orang yang terkenal dengan pendustaan. Antara yang dapat dibuktikan pendustaan ini ialah apabila pada masa hayat ‘Aisyah tidak terdapat lopongan ini di  rumah beliau. Bahkan sebahagian rumahnya kekal sepertimana di zaman Nabi SAW, sebahagiannya beratapdan sebahagian lain terbuka, cahaya matahari juga memasukinya sepertimana yang thabit dari dua kitab Sahih al-Bukhari dan Muslim daripada ‘Aisyah RA, bahawa Nabi SAW menunaikan solat ‘Asar dan cahaya matahari berada di dalam bilik beliau (‘Aisyah), dan bayang-bayang masih sedikit. Berterusan keadaan bilik ‘Aisyah tersebut sehinggalah al-Walid bin ‘Abd al-Malik menambah (membesarkan) masjid ketika zaman pemerintahannya…”[15]

 

G)   KESIMPULAN

Perbuatan meminta pertolongan dan bantuan dengan Nabi SAW setelah kewafatan baginda adalah perbuatan yang jelas menyalahi al-Quran dan al-Sunnah.Terbanyak ayat-ayat al-Quran dan hadis-hadis Nabi SAW yang melarang perbuatan ini, antaranya:

1)    Surah Yunus: 106

ŸMaksudnya: “dan janganlah kamu semua berdoa kepada selain Allah  apa-apa yang tidak dapat memberi manfaat dan tidak (pula) memberi mudarat kepadamu; jika kamu berbuat (yang demikian), itu, Maka sesungguhnya kamu termasuk dari kalangan orang-orang yang zalim". (Yunus: 106)

2)    Surah al-Qasas: 88

ŸMaksudnya: “janganlah kamu sembah (berdoa) di samping (menyembah) Allah, Tuhan apapun yang lain. tidak ada Tuhan (yang berhak disembah) melainkan Dia. tiap-tiap sesuatu pasti binasa, kecuali Allah. bagi-Nyalah segala penentuan, dan hanya kepada-Nyalah kamu dikembalikan.”

3)    Hadis yang diriwayatkan daripada ‘Ubadah bin al-Samit RA, Nabi SAW bersabda:

إِنَّهُ لَا يُسْتَغَاثُ بِي وَإِنَّمَا يُسْتَغَاثُ بِاللَّهِ 

Maksudnya: “Sesungguhnya tidak dipohon pertolongan daripadaku, sebaliknya hanya dipohonpertolongan dengan Allah.”[16]

Wallahu a’lam.

 ------------------------------------------------------------------------------------

[1]Lihat ‘Umdah al-Qariy 23/296 dan al-Durr al-Nadhid oleh al-Syaukaniy.

[2]Taaj al-‘Urus 5/314

[3] Beliau ialah cucu kepada Sahabat Nabi Umar bin al-Khattab RA. beliau adalah seorang ikutan, seorang zahid dan Mufti Madinah di zamannya. Meriwayatkan banyak hadis dari sekumpulan para sahabat Nabi SAW.Meninggal dunia pada tahun 107H.lihatal-Jarh wa al-Ta’dil 4/184. Juga Siyar A’lam al-Nubala’ 4/457

[4]Hilyah al-Awliya’ 2/194 dan Siyar A’lam al-Nubala’ 4/463.

[5]Tafsir al-Tobari 15/218-219

[6] Beliau ialah al-Husain bin al-Hasan bin Muhammad bin Halim al-Syafi’ie, seorang tokoh, pemimpin ulama hadis dan kalam. Antara tulisan beliau ialah al-Minhaj Fi Syu’ab al-Iman.Meninggal pada tahun 403H.Wafayat al-A’yan 2/137. Al-Bidayah wa al-Nihayah 11/349 dan Siyar A’lam al-Nubala 17/231.

[7]Al-MInhaj Fi Syu’ab al-Iman 1/517

[8]Al-MInhaj Fi Syu’ab al-Iman 1/520

[9]Al-Jarh wa al-Ta’dil 8/322

[10]Majma’ al-Zawa’id 10/132

[11] 5/150

[12] Lihat al-Silsilah al-Dhoiefah, bil: 655

[13]Taisir al-‘Aziz al-Hamid 197

[14]Tuhfah al-Zakirin: 140

[15]Talkhis al-Istighathah 67-68

[16]Hadis dikeluarkan oleh Ahmad di dalam Musnad: 5/317 dari hadis ‘Ubadah bin al-Samit RA. al-Haithami menukilkan hadis ini di dalam Majma’ al-Zawa’id 10/159 dan beliau berkata: “Diriwayatkan hadis ini oleh al-Tabarani dan para periwaytnya adalah para periwayat al-Sahih selain Ibn Lahi’ah, dan beliau adalah Hasan al-Hadis.” 


Cetak  
Wallahu a'lam