Friday, November 1, 2013
Soalan:
Apakah semua kanak-kanak yang mati sebelum baligh, sama ada anak orang islam ataupun orang bukan Islam akan masuk ke dalam syurga?
Jawapan:
Saya bahagikan jawapan untuk soalan ini kepada dua bahagian:
1. Anak orang islam yang mati sebelum baligh.
2. Anak orang bukan islam yang mati sebelum baligh.
Pertama: Anak orang islam yang mati sebelum baligh semua adalah adalah ahli syurga. Hal ini termasuk dalam kesepakatan semua para ulama. Al-Imam Ibn Kathir berkata:
فأما ولدان المؤمنين فلا خلاف بين العلماء كما حكاه القاضي أبو يعلى بن الفراء الحنبلي عن الإمام أحمد أنه قال : لا يختلف فيهم أنهم من أهل الجنة . وهذا هو المشهور بين الناس ( أي عامة العلماء ) وهو الذي نقطع به إن شاء الله عز وجل
Maksudnya: “Adapun anak-anak orang yang beriman, maka tiada perbezaan pendapat di kalangan ulama (semua mereka akan masuk ke dalam syurga) seperti yang dihikayatan oleh al-Qadhi Abu Ya’la bin al-Farra’ al-Hanbali daripada al-Imam Ahmad yang berkata: “Tiada perbezaan di kalangan ulama, bahawa semua anak-anak orang yang beriman termasuk dari kalangan ahli syurga. Inilah yang masyhur di kalangan ulama, pendapat ini juga yang kami putuskan insyaallah.” (Tafsir al-Quran al-‘Azim 3/33)
Al-Imam al-Nawawi pula berkata:
أجمع من يعتد به من علماء المسلمين على أن من مات من أطفال المسلمين فهو من أهل الجنة ؛ لأنه ليس مكلفا
Maksudnya: “Telah bersepakat para ulama umat Islam yang diambil kira perkataannya, bahawa sesiapa yang mati dari kalangan anak-anak orang Islam, dia adalah termasuk ahli syurga, kerana dia bukan mukallaf.” (Syarh Muslim 16/207)
Kedua: Anak orang bukan Islam yang mati sebelum baligh. Terdapat beberapa pandangan ulama:
1. Anak-anak bukan Islam akan masuk ke dalam syurga. Sebahagian ulama dari kumpulan ini berpandangan, di awalnya mereka akan berada di al-A’raf, dan kesudahannya mereka yang berada di a-A’raf semuanya akan dimasukkan ke dalam syurga. Inilah pandangan kebanyakan ulama seperti yang dinukilkan oleh Ibn ‘Abd al-Barr di dalam al-Tamhid (18/96)
Antara dalil mereka:
i. Hadis Samurah RA: “Bahawa Rasulullah SAW melihat (ketika malam Mi’raj) bersama dengan Nabi Ibrahim AS anak-anak orang islam dan musyrikin.” (HR al-Bukhari)
ii. Daripada Hasnaa’ Binti Mu’awiyah dari Bani Shuraim yang berkata: “Menceritakan kepadaku bapa saudaraku, katanya: Daku pernah bertanya: “Wahai Rasulullah siapakah yang akan berada di dalam syurga?” Nabi SAW menjawab: “Nabi di dalam syurga, orang syahid di dalam syurga, bayi-bayi yang meninggal di dalam syurga, dan bayi-bayi perempuan yang ditanam hidup-hidup di dalam syurga.” (HR Ahmad 5/409. Namun al-Albani menilai hadis ini sebagai Lemah di dalam Dhoief al-Jami’ 5997)
2. Anak-anak orang bukan islam bersama dengan bapa mereka di dalam neraka. Al-Qadhi Abu Ya’la menisbahkan pendapat ini kepada Imam Ahmad. Namun Syeikh al-Islam Ibn Taimiyyah menganggapnya sebagai satu kesilapan besar. (lihat Hasyiah Ibn al-Qayyim terhadap Sunan Abi Daud 7/87)
Dalil mereka:
i. Daripada Salamah bin Qais al-Asyja’ie katanya: “Aku bersama saudaraku pergi berjumpa Nabi SAW, lalu kami berkata: “Ibu kami mati ketika jahiliyyah (tidak islam), dia dahulunya seorang yang memuliakan tetamu, menghubungkan silaturrahim, dan dia juga pernah menanam saudara perempuan kami yang belum baligh ketika jahiliyyah.” Jawab baginda: “Yang menanam anak hidup-hidup dan anak yang ditanam di (kedua-duanya) di dalam neraka melainkan orang tua yang menanam anaknya itu memeluk islam.” (Hadis dinilai Hasan oleh Ibn Kathir di dalam Tafsirnya 3/33. Demikian juga Ibn ‘Abd al-Barr di dalam al-Tamhid 18/120)
ii. Terdapat juga hadis-hadis yang lain, namun semuanya lemah.
3. Al-Tawaqquf atau Allah lebih mengetahui tentang kesudahan mereka.
Dalil mereka:
i. Daripada Ibn ‘Abbas RA, Rasulullah SAW pernah ditanya berkaitan anak-anak orang musyrikin, baginda menjawab: “Allah lebih mengetahui, apa yang mereka kerjakan.” (HR al-Bukhari dan Muslim)
ii. Hadis yang lebih kurang sama, namun diriwayatkan dari Abu Hurairah RA (al-Bukhari dan Muslim)
4. Anak-anak orang kafir akan menjadi khadam kepada AHli Syurga.
Syeikh al-Islam Ibn Taimiyyah berkata: “Tiada sebarang asas bagi pendapat ini.” (Majmu’ al-Fatawa 4/279) Terdapat hadis dalam perkara ini yang diriwayatkan oleh al-Tabarani dan al-Bazzar. Namun hadis ini telah dinilai sebagai lemah oleh para imam hadis seperti al-Hafidz Ibn Hajar di dalam Fath al-Bari (3/246)
5. Anak-anak orang kafir yang mati sebelum baligh akan diuji di akhirat kelak. Sesiapa yang taat, maka dia akan masuk ke syurga dan sesiapa yang engkar, maka dia akan di masukkan ke dalam neraka. Inilah pandangan kebanyakan ulama Ahl al-Sunnah wa al-Jamaah seperti yang dinukilkan oleh al-Imam Abu al-Hasan al-Asy’ariy. Inilah juga pandangan al-Imam al-Baihaqi dan sekumpulan para pentahkik. Ibn Taimiyyah juga cenderung kepada pandangan ini, beliau juga menyatakan inilah kandungan nas-nas dari Imam Ahmad. Ibn Kathir juga mentarjihkan pandangan ini dengan berkata: “Pandangan ini menghimpunkan dalil-dalil keseluruhannya, hadis-hadis yang lalu saling menguatkan dan menyokong antara sebahagian dengan sebahagian yang lain.” (Tafsir al-Quran al-‘Azim 3/31)
Dalil mereka:
i. Daripada Anas yang berkata: Rasulullah SAW bersabda: “Akan didatangkan empat golongan para hari kiamat: kanak-kanak yang mati sebelum baligh, yang kurang akal, yang mati zaman Fatrah, dan orang yang sangat tua. Maka setiap mereka akan mendatangkan hujah mereka. lalu Tuhan Tabaraka wa Taala berfirman kepada neraka: “Maraklah!” Lalu Allah berfirman kepada mereka: “Sesungguhnya sebelum ini Aku telah mengutuskan kepada para hambaKu (di dunia) seorang Rasul dari kalangan mereka sendiri. Dan sekarang Akulah utusan kepada kamu semua, masuklah kamu semua ke dalam neraka ini.” baginda SAW bersabda: “Maka berkatalah orang-orang yang telah ditetapkan kesengsaraan untuknya: “Wahai tuhan, bagaimana aku perlu memasukinya, sedangkan dahulunya kami lari daripadanya.” baginda SAW juga bersabda: “dan orang-orang yang telah ditetapkan untuknya kebahagiaan, dia akan pergi dan memasukinya (neraka) dengan segera.” Baginda seterusnya menyambung: “Lalu Allah Taala berfirman: “Kamu semua ini (yang tidak mahu taat kepada perintah Allah) sudah pasti akan lebih mendustai dan mengingkari RasulKu, lalu Allah memasukkan mereka (yang taat perintahnya) ke dalam syurga dan yang engkar dan enggan ke dalam neraka.” (HR Abu Ya’la 4224, hadis ini juga memiliki sokongan yang banyak seperti yang disebutkan oleh Ibn Kathir di dalam Tafsirnya 3/29-31)
Al-Imam Ibn al-Qayyim RH berkata: “Inilah pandangan yang lebih adil, padanya berhimpun seluruh dalil dan hadis dalam bab ini. Maka sebahagian mereka (anak-anak orang kafir) ada yang masuk ke syurga seperti yang dinyatakan oleh hadis dari Samurah, ada pula sebahagiannya yang berada di dalam neraka seperti yang dinyatakan di dalam hadis dari ‘Aisyah.” (Hasyiah Ibn al-Qayyim ‘Ala Sunan Abi Daud 7/87)