Soalan:
Ustaz tahu tentang baca ayat kursi waqaf sembilan untuk tembak syaitan? Katanya dengan membaca ayat kursi dengan cara waqaf sembilan hanya boleh membakar syaitan seperti keratan video yang saya berikan kepada ustaz. Betulkah sebegitu?
Jawapan:
Saya tiada maklumat seperti dakwaan penceramah di dalam video tersebut. Namun jika diperhatikan kepada tanda wakaf sembilan yang ada di dalam Mushaf al-Quran, salah satunya membawa maksud membaca sambung adalah lebih utama, iaitulah pada ayat وما خلفهم di mana selepasnya terdapat tanda waqaf dengan صلى yang bermaksud harus waqaf (berhenti), namun membaca sambung (wasl) adalah lebih utama. Ini bermakna bacaan yang lebih utama menurut tanda waqaf di dalam mushaf al-Quran untuk ayat al-Kursi ialah BUKAN dengan waqaf sembilan. Kenyataan ini menunjukkan dakwaan penceramah tersebut tidak tepat. Saya menasihati orang ramai dan para penceramah itu juga supaya berhati-hati mengambil maklumat, apatah lagi jika kita sebut dalam bentuk memberi gambaran ia datang dari riwayat yang sahih. Sedangkan realitinya tidak begitu.
Selain itu, jika merujuk kepada kalam ulama, kita akan ketemui sesuatu yang berbeza dengan apa yang didakwa oleh penceramah tersebut. Antara yang sempat saya rujuk ialah perkataan (kalam) al-Syanawani الشنواني dari mazhab al-Syafi'ie (meniggal hari Rabu, 14 Muharram 1233H bersamaan 23 November 1817M dan disolatkan di al-Azhar Mesir dan dikebumikan berhampiran dengan al-Azhar) di dalam kitabnya Hasyiah al-Syeikh Muhammad al-Syanawani ‘Ala Mukhtasar Ibn Abi Jamrah pada halaman 108 berkata:
Maksudnya: “dan termasuk sesuatu yang terbukti dapat membakar jin ialah dengan melaungkan azan di telinga orang yang dirasuk sebanyak tujuh kali, dibacakan surah al-Fatihah sebanyak tujuh kali, surah al-Falaq dan al-Nas, ayat kursi, surah al-Tariq dan penghujung surah al-Hasyr bermula dari Lau anzalnaa haza al-Quran.. sehingga ke akhirnya, demikian juga surah al-Saffaat bermula dari firman Allah: Fa iza nazala bi saahatihim.. sehingga ke akhirnya. Apabila dibacakan ayat kursi tujuh kali kepada air kemudian direnjiskan ke muka orang yang dirasuk, maka orang itu akan sedar semula..”
Pernyataan al-Syanawani ini hanya menyebut ayat kursi tanpa dikaitkan dengan sebarang waqaf dengan bilangan-bilangan tertentu.