Setiap Kebaikan Tidak Semestinya Apa Yang Kita Sukai

            Kesudahan yang baik dalam beberapa perkara,  sebenarnya adalah suatu perkara yang sukar dikenal pasti. Barangkali suatu perkara yang kita sukai, sebenarnya ia berupa keburukan kepada kita. Demikian juga barangkali suatu perkara yang kita benci dan tidak suka, rupanya dia adalah kebaikan untuk kita. Dalam hal ini Allah S.W.T. berfirman:

عَسَى أَنْ تَكْرَهُوا شَيْئاً وَهُوَ خَيْرٌ لَكُمْ, وَعَسَى أنْ تُحِبُّوا شَيْئاً وَهُوَ شَرٌّ لَكُمْ وَاللهُ يَعْلَمُ وَأنْتُمْ لَا تَعْلَمُون

Maksudnya: “Barangkali sesuatu yang kamu tidak suka itu, ia adalah baik untuk kamu, dan barangkali juga sesuatu yang kamu suka itu, ia buruk untuk kamu, dan Allah maha mengetahui, sedangkan kamu tidak mengetahui.”[1]

Al-Imam Ibn Qayyim al-Jauziyyah berkata:

Maksudnya: “Dari pengajaran yang boleh diambil dari  ayat ini, ia menuntut seorang hamba menyerahkan kepada (zat yang maha mengetahui) akibat setiap perkara, redha dengan apa yang telah Dia (Allah) pilihkan untuknya dan apa yang telah Dia tentukan untuknya, dengan mengharapkan dalam perkara (yang ditentukan untuknya itu) ada kesudahan yang baik. Termasuklah, dia tidak perlu mencadangkan dan memilih kepada Tuhannya dan meminta sesuatu yang dia tidak ada pengetahuan tentang (akibat) perkara tersebut. Barangkali kemudharatan dan kebinasaannya ada pada perkara tersebut, sedangkan dia tidak mengetahui, maka jangan dia pilih untuk Tuhannya sesuatupun, sebaliknya hendaklah dia memohon kepada Tuhannya kebaikan pemilihan (dari Tuhannya) untuknya, dan dia redha dengan apa yang dipilih Tuhannya, maka tidak ada yang lebih manfaat untuknya dari yang demikian itu.”[2]

            Maka seorang mukmin, setelah dia melakukan istikharah, hendaklah dia memilih perkara yang pada penelitiannya mendatangkan kebaikan untuknya, setelah dia berusaha mencari dan mengenalpasti yang baik dan mungkin juga setelah dia bertanyakan pandangan kepada orang yang selayaknya. Setelah itu dia bertawakkal kepada Allah S.W.T. dan tetap bersabar dan yakin kebaikan adalah untuknya.

Sebahagian orang ada yang mengeluh: “Aku dah beristikharah, tetapi….” 

Wahai diri ini dan orang yang telah beristikharah… janganlah kita lupa sesungguhnya taufiq Allah itu teramat luas, dan anugerahnya teramat agung. Dia mentaufiqkan kita untuk sanggup melaksanakan istikharah sahaja merupakan suatu yang cukup besar, dimana disitu adanya bukti pengabdian diri kepada Allah S.W.T. dan redha dengan ketentuannya.

Lalu jangan kita mengotori pengabdian diri kita dengan rasa ragu dan buruk sangka terhadap Allah S.W.T.  Sedarlah kita tidak mampu mengetahui hakikat setiap perkara. Entah berapa banyak perkara yang disangkakan buruk berdasarkan zahirnya, akan tetapi hakikatnya perkara itu baik untuk kita.

            Barangkali seseorang telah beristikharah untuk melakukan satu perniagaan, kemudian dia mengalami kerugian. Lalu dia merasa hairan dan menyangka istikharahnya tidak diberikan taufiq oleh Allah S.W.T. Sedang dia tidak sedar di dalam hartanya ada sesuatu yang haram, lalu Allah menghilangkan yang haram itu disebabkan istikharahnya, untuk menyelamatkan dia di akhirat.

            Barangkali juga seseorang melakukan istikharah dalam urusan perkahwinan. Kemudian dia dapati perkahwinan itu tidak bagus untuk dia, atau perkahwinan itu membawa kepada penceraian. Lalu dia merasakan hairan dan rugi dengan istikharah yang dilakukan. Sedangkan dia tidak tahu, jika dia berterusan dengan pasangannya, dia akan terjebak ke dalam lembah maksiat yang lebih besar, lalu Allah selamatkan dia dari maksiat tersebut dengan kelebihan dan rahmat Allah disebabkan istikharahnya. Kerana itu Ibn al-Jauzi berkata (maksudnya):

“Jauhilah kamu dari meminta (kepada Allah) sesuatu, melainkan kamu gandingkan bersamanya permintaan pemilihan (yang baik), (kerana) barangkali yang dipinta itu dari urusan dunia yang menyebabkan kebinasaan. Apabila kamu disuruh bermesyuarat/berbincang dalam urusan dunia, supaya jelas ke atas kamu sebahagian pandangan yang tidak mampu kamu ketahui (sendirian), setelah itu (setelah kamu mendengar pandangan orang lain) kamu dapati pandangan kamu itu tidak baik. Maka bagaimanakah kamu boleh tidak meminta kebaikan dari tuhan kamu?, sedangkan Dialah yang maha mengetahui semua maslahah, dan (ketahuilah) al-Istikharah itu adalah sebaik-baik al-Musyawarah.”[3]  

Waspadalah… dari berputus asa dari rahmat Allah, jemu dari diperkenankan doa olehNya dan tidak redha dengan ketetapanNya. Sesungguhnya semua ini menafikan kesempurnaan tauhid dan mencalarkan kesempurnaan iman kepada Allah S.W.T.

 -----------------------------------------

[1] Al-Baqarah: 216

[2] Al-Fawaid 247

[3] Soid al-Khatir, 295


Cetak  
Wallahu a'lam