Wa’alaikumussalam warahmatullah wabarakatuh
Apakah benar gambar jin seperti dalam poster ini? Bukankah benda ini hanya Allah dan Rasulullah sahaja yang tahu?
Jawapan:
Gambar di dalam poster yang dilampirkan di sini, yang pertama dia tulis:
“a’war: jin ini amat merbahaya kerana tugasnya adalah merangsang hawa nafsu seseorang sehingga jadi terlalu ghairah lalu mencari mangsa untuk berzina atau merogol atau menuntun lucah. Jika sesiapa yang sedang berkhalwat, maka a’war akan jadi makhluk ketiga.”
Kemudian ada gambar di sini.
Yang keduanya:
“Masauth: - ejaan dia ialah مسوط - kegemaran jin bernama masauth ini adalah lebih kepada kejahatan mulut atau jadi ketika menulis, menjadikan seseorang itu gemar memanipulasi sesuatu cerita, mengadu-domba (batu api, menghasut, mengkritik yang menghancurkan dan lain-lain. Ramai yang terpedaya dengan jin ini.”
Jawapan:
Pertama sekali saya nasihatkan supaya maklumat agama tidak diambil dari sumber-sumber seperti ini. Jangan sama sekali kita berpada dengan maklumat-maklumat agama dari facebook, whatapps yang kita tidak kenal siapa pemilik sesuatu group, FB dan lain-lain dari media sosial. Semua media sosial bukan sumber ilmu yang muktamad, bukan juga sumber ilmu yang boleh dijadikan rujukan.
Kedua, jika ditanya tentang gambar jin, maka sudah tentu itu bukan gambar jin yang asal. Kerana jin bukan berjisim seperti yang ditunjukkan di dalam gambar. Akan tetapi kita kena tahu, jin adalah satu makhluk yang boleh tasyakkul, yakni dia boleh berubah-rubah bentuk. Ini antara kemampuan yang dikurniakan oleh Allah kepada jin. Mereka boleh berubah-rubah bentuk dan tak mustahil jin boleh berubah bentuk seperti gambar yang ditunjukkan di dalam poster. Tidak mustahil. Tetapi apakah itu gambar dan rupa asal jin, jawapannya tidak, kerana jin bukan makhluk yang berjisim seperti yang ditunjukkan di dalam gambar. Sebaliknya jin adalah termasuk dalam kumpulan makhluk halus yang kita tidak tahu gambar dan rupa sebenarnya.
Adapun tentang nama-nama jin yang dinyatakan di dalam poster, seperti a’war, masauth, sememangnya ada disebut oleh sebahagian ulama antaranya ada di dalam kitab Umdah al-Qari oleh al-‘Aini ketika dia mensyarahkan hadis dalam Sahih al-Bukhari dan al-‘Aini menyatakan ada riwayat daripada Mujahid daripada Ibn ‘Abbas yang mengatakan iblis itu memiliki anak-anak yang ramai dan semua anak-anak yang ramai itu dari lima jin, iaitulah sibr, kedua al-A’war, ketiga masauth, keempat dasim, dan kelima zalambur.
Saya tidak pasti apakah riwayat ini sahih, ia memerlukan semakan lanjut. Kerana di dalam ‘Umdah al-Qari hanya menyebut diriwayatkan oleh Mujahid daripada Ibn ‘Abbas, tanpa dinyatanya status riwayat ini sama ada sahih ataupun tidak.
Satu perkara yang perlu kita faham iaitu mengetahui nama-nama jin ini, bukan satu perkara yang penting bagi hidup seseorang muslim. Yang lebih penting ialah kita memohon perlindungan kepada Allah dari hasutan-hasutan jin dan syaitan. Inilah yang lebih penting. Kita jadikan mereka sebagai musuh dan bergantung kepada Allah, kita menyerahkan diri kepada Allah.
Demikian juga termasuk dalam perkara yang tidak penting iailah mengetahui tugas-tugas jin dan syaitan. Semua ini tidak penting. Yang penting kita menyedari adanya jin dan syaitan yang sentiasa menggoda dan menghasut kita.
Yang penting juga ialah kita menjaga diri kita dari terpengaruh dengan hasutan-hasutan jahat daripada jin dan syaitan.
Soalan kedua, jika gambar itu tidak benar, bolehkah gambar itu direka-reka untuk menakutkan orang ramai?
Jawapan:
Kembali kepada maksud yang dikehendaki oleh orang yang buat poster itu. Kalau dia memang bertujuan menakut-nakutkan orang, maka perkara itu salah dan poster itu tidak boleh disebarkan. Tetapi kalau dia nak gambarkan betapa buruk dan hodohnya jin dan syaitan itu, apakah kita mahu mengikut hasutan jin dan syaitan yang seburuk itu, wallahu a’lam, mungkin perlu diperhatikan semula dan dinilai, antara perkara yang lebih baik dan yang lebih buruk. Jika buruknya lebih banyak, maka perkara tersebut hendaklah dijauhi, jika baiknya lebih banyak, wallahu a’lam, perkara itu termasuk dalam perkara yang dibolehkan.