Soalan yang menyebut: “Layakkah kita untuk mendapat syafaat Nabi Sallallahu Alaihi Wasallam di akhirat kelak, sedangkan amalannya tidak berlandaskan sunnah?”
Jawapan:
Untuk menjawab soalan ini, pertama, setiap umat Islam wajib ke atas mereka memiliki keazaman untuk mengikut sunnah Nabi sallallahu alaihi wasallam. Ini kerana di dalam hadis, Nabi sallallahu alaihi wasallam bersabda:
مَنْ رَغِبَ عَنْ سُنَّتِيْ فَلَيْسَ مِنِّيْ
Maksudnya: “Sesiapa yang membenci sunnah ku maka dia bukan dari kalangan aku.”
Hadis ini memberi ancaman besar kepada orang-orang yang sengaja dan berniat untuk menyalahi dan menyelisihi Sunnah Nabi Muhammad Sallallahu Alaihi Wasallam. Kerana itu saya nyatakan wajib ke atas setiap umat Islam berazam untuk mencintai dan mengamalkan sunnah nabi Muhammad sallallahu alaihi wasallam.
Sekalipun demikian, sekalipun kita berhasrat mencontohi dan mengikuti sunnah Nabi sallallahu alaihi wasallam, namun tidak mustahil ada beberapa amalan kita secara sedar ataupun tidak, akan ada yang berbeza dengan sunnah Nabi sallallahu alaihi wasallam, kerana tidak ada di kalangan manusia ini, melainkan semua kita ini penuh dengan serba kekurangan dan tidak ada di kalangan kita walaupun seorang, melainkan semua kita memiliki kekurangan yang banyak. Kerana itu, walaupun apa keadaan kita sekalipun, kita tetap mengharapkan syafaat Nabi Sallallahu Alaihi Wasallam di akhirat kelak. Kerana itu kita juga dianjurkan mengamalkan beberapa amalan yang melayakkan kita untuk mendapat syafaat Nabi sallallahu alaihi wasallam, antaranya berdoa selepas azan, berselawat ke atas Nabi Sallallahu Alaihi Wasallam selepas azan, demikian juga memperbanyakkan Selawat ke atas baginda Nabi Muhammad sallallahu alaihi wasallam.