SDI 0719: Benarkah Nabi Idris Juga Diangkat Ke Langit Seperti Nabi Isa AS?

Soalan: 
 
Ustaz bin sahak, betulkah nabi Idris juga tidak dimatikan seperti nabi Isa? Baginda diangkat ke langit seperti nabi isa?
 
Jawapan:
 
Dakwaan mengatakan Nabi Idris diangkat ke langit ketika hidup adalah bersumberkan maklumat Israiliyyat (sumber Yahudi). alHafidz Ibn Hajar alAsqalani berkata di dalam Fath alBari 6/375:
 
وكون إدريس رفع وهو حي لم يثبت من طريق مرفوعة قوية وقد روى الطبري أن كعبا قال لابن عباس في قوله تعالى ورفعناه مكانا عليا أن إدريس سأل صديقا له من الملائكة فحمله بين جناحيه ثم صعد به فلما كان في السماء الرابعة تلقاه ملك الموت فقال له أريد أن تعلمني كم بقي من أجل إدريس قال وأين إدريس قال هو معي فقال أن هذا لشيء عجيب أمرت بأن أقبض روحه في السماء الرابعة فقلت كيف ذلك وهو في الأرض فقبض روحه فذلك قوله تعالى ورفعناه مكانا عليا وهذا من الاسرائيليات والله أعلم
 
Maksudnya: "Dan keberadaan Idris (AS) diangkat (ke langit) ketika baginda masih hidup tidak thabit dari jalan yang marfu' lagi kukuh. alTabari meriwayatkan bahawa Ka'ab pernah berkata kepada Ibn 'Abbas tentang firman Allah: "dan kami (Allah) angkatkannya (nabi Idris) ke tempat yang tinggi," membawa maksud baginda pernah bertanya kepada sahabat baginda dari kalangan malaikat, lalu malaikat itu membawa baginda naik (ke langit). Ketika sampai di langit yang ke-empat dan bertemu dengan malaikat maut, malaikat itu bertanya: "aku mahu engkau beritahu kepadaku, berapa lamakah lagi ajal nabi Idris? Jawab malaikat maut: "di mana Idris?" Malaikat itu menjawab: "Beliau bersamaku sekarang ini." Kata malaikat maut: "ini suatu yang menghairankan. Aku telah diperintahkan untuk mencabut nyawa nabi Idris di langit yang ke-empat," lalu aku bertanya: "bagaimna demikian sedangkan bagjnda berada di bumi?" Lalu malaikat mautpun mencabut nyawa baginda." Demikianlah yang dimaksudkan dengan firman Allah: "dan kami naikkan kedudukannya di tempat yang tinggi." Ini adalah termasuk kisah dari Israiliyyat (orang Yahudi), dan Allah yang lebih mengetahui kebenaran kisah tersebut..." 
 
Para ulama berbeza pandangan tentang maksud firman Allah SWT tentang Nabi Idris AS:
 
ورفعناه مكانا عليا
 
Maksudnya: "dan kami (Allah) angkatkannya (Nabi Idris AS) ke tempat yang tinggi." 
 
1) Maksud "angkat" di sini ialah angkat dari sudut makna iaitulah mengangkat kedudukan baginda ke tempat yang tinggi antara manusia iaitulah kedudukan nabi yang merupakan kedudukan yang tertinggi. (Lihat alBaidhawi: Anwar alTanzil Wa Asrar alTa'wil 4/22 dan alSa'di: Taisir alKarim alRahman 496) 
 
2) Maksud "angkat" di sini ialah mengangkat hakiki atau hissi. Inilah pandangan kebanyakan ulama tafsir. Mereka pula berbeza pandangan dalam menetapkan tempat yang diangkat nabi Idris ke sana, apakah di langit yang ke-empat atau ke-enam atau ke dalam syurga? sebab dan kisahnya. Di samping itu ulama tafsir juga turut berbeza pandangan tentang apakah baginda diangkat (رفع) atau diwafatkan (قبض), atau baginda masih kekal hidup seperti nabi Isa AS?  
 
Namun terdapat hadis daripada Anas bin Malik yang diriwayatkan oleh Imam Muslim di dalam sahihnya yang menafsirkan maksud ayat alQuran: dan kami angkatkannya ke tempat yang tinggi. 
 
Hadis tersebut mengisahkan peristiwa Isra' dan Mi'raj, di dalamnya dinyatakan:
 
Maksudnya: "Kemudian kami dibawa naik ke langit ke-empat, lalu Jibril AS meminta dibukakan pintu langit. Dikatakan: "siapa?" Jibril menjawab: "Jibril." Ditanya pula: "siapa bersamamu?" Jibril menjawab: "Muhammad." Ditanya lagi: "beliau telah dilantik (sebagai rasul?)? Jibril menjawb: "beliau sudah dilantik" Lalu pintu langi dibuka untuk kami, di situ terdapat Idris AS, lalu baginda mengalu-alukan kedatanganku dan mendoakan kebaikan untukku. Firman Allah azza wa jalla: "Dan kami angkatkatnya ke tempat yang tinggi..."
 
Hadis ini menunjukkan nabi Idris berada di langit yang ke-empat, dan hadis ini tidak menafikan juga baginda diangkat membawa maksud diangkat kedudukan dari sudut maknawi iaitulah diangkat menjadi Nabi. 
 
Ibn Juzaiy (ابن جزي) menyatakan pandangan ini adalah yang lebih masyhur. (alTashil 3/7) Ibn Kathir juga berpandangan baginda berada di langit yang ke-empat. (alBidayah wa alNihayah 1/100)

Cetak  
Wallahu a'lam