Kalimah Akidah العقيدة pada bahasa ialah ikatan الربط, simpulan الإبرام, kemantapan الإحكام, kekukuhan, bersangatan kuat, saling bersimpul kuat, saling melekat dan mensabitkan, termasuk juga yakin dan jazam. Kalimah jama' atau pluralnya ialah 'aqa-id العقائد.
Ia berasal dari kalimah al-'Aqd العقد yang berlawanan dengan al-Hill ألحل yang bermaksud merungkai. Allah SWT berfirman:
لاَ يُؤَاخِذُكُمُ اللّهُ بِاللَّغْوِ فِي أَيْمَانِكُمْ وَلَكِن يُؤَاخِذُكُم بِمَا عَقَّدتُّمُ الأَيْمَانَ
maksudnya: "Allah tidak mengenakan balasan disebabkan sumpah kamu yang tidak sengaja, tetap Dia menghukum kamu kerana sumpah-sumpah yang telah kamu kukuhkan." (al-Maidah: 89)
Maka al-'Akidah adalah hukum yang tiada lagi keraguan di sisi orang yang meyakininya. Akidah dalam agama Islam adalah merujuk kepada perkara-perkara keyakinan tidak termasuk amalan anggota, seperti akidah kuwujudan ALlah, pengutusan rasul dan seumpamnya.
Kesimpulannya; apa-apa yang diyakini secara pasti di dalam hati seseorang, maka itulah akidah, sama ada ia perkara benar atau tidak.
Pada istilah 'akidah bermaksud perkara-perkara yang wajib dibenarkan oleh hati, jiwa merasai tenang dengannya sehingga menghasilkan keyakinan yang tetap tidak bercampur dengan sebarang keraguan. Inilah yang dinamakan sebagai iman yang kukuh yang tidak hadiri keraguan. (Lihat al-Wajiz Fi 'Aqidah al-Salaf al-Saleh oleh 'Abdullah bin Abd al-Hamid al-Athari, hal. 29, melalui lamanweb: dorar.net)