Bilakah Seorang Muslim Dikira Sebagai Seorang Mukmin?

Tuesday, September 17, 2013

Soalan:

Allah SWT berfirman:

Maksudnya: “Sesungguhnya orang-orang Yang beriman dan beramal soleh, disediakan bagi mereka Syurga-syurga Firdaus, sebagai tempat tetamu (yang serba mewah). (al-Kahfi: 107)

Persoalannya, apakah maksud iman? Bagaimana pula saya dapat tergolong dalam golongan yang beriman yang dimaksudkan di dalam ayat? Apakah jika saya telah melaksanakan kesemua rukun-rukun iman yang enam bermakna saya telah memenuhi salah satu syarat bagi melayakkan diri memasuki syurga firdaus yang tertinggi? Apakah pula maksud “dan beramal soleh”, apakah ia memaksudkan memperbanyakkan amalan soleh atau bagaimana? Mohon penjelasan dari ustaz, terima kasih.

 

Jawapan:

Seorang lelaki pernah bertanya kepada al-Hasan al-Basri dengan berkata: “Wahai Aba Sa’ied (gelaran untuk al-Hasan al-Basri), Apakah kamu seorang yang beriman?” jawab al-Hasan al-Basri: “Iman itu ada dua, jika kamu maksudkan dari pertanyaan kamu ini tentang iman kepada Allah, malaikat, kitab-kitab, para rasul, syurga dan neraka, hari kiamat dan hisab, maka aku adalah seorang yang beriman terhadap semua perkara tersebut. Namun jika kamu maksudkan pertanyaan kamu itu bersesuaian dengan firman Allah SWT:

Maksudnya: “Sesungguhnya orang-orang Yang beriman itu (yang sempurna imannya) ialah mereka Yang apabila disebut nama Allah (dan sifat-sifatnya) gementarlah hati mereka; dan apabila dibacakan kepada mereka ayat-ayatNya, menjadikan mereka bertambah iman, dan kepada Tuhan mereka jualah mereka berserah. Iaitu orang-orang Yang mendirikan sembahyang dan Yang mendermakan sebahagian dari apa Yang Kami kurniakan kepada mereka. merekalah orang-orang Yang beriman Dengan sebenar-benarnya. mereka akan mendapat pangkat-pangkat Yang tinggi di sisi Tuhan mereka dan keampunan serta limpah kurnia Yang mulia (di Syurga).” (al-Anfal: 2-4) maka demi Allah, daku sendiri tidak tahu apakah daku termasuk dari kalangan mereka ataupun tidak.” (Sila lihat tafsir al-Qurtubi)

Berdasarkan kenyataan ini, kita dapat katakan bahawa seseorang yang beriman itu dapat memasuki daerah iman dengan hanya penyaksian tauhid dan kerasulan, pengakuan, pengamalannya akan rukun-rukun iman dan Islam disamping bebas dari melakukan perkara-perkara yang boleh membatalkan Islam dan iman sama ada dengan perkataan mahupun amalan. Bukti kenyataan saya ini adalah berdasarkan hadis Nabi SAW:

أمرت أن أقاتل الناس حتى يقولوا: لا إله إلا الله، فإذا قالوا لا إله إلا الله عصموا مني دماءهم وأموالهم إلا بحقها وحسابهم على الله

Maksudnya: “Aku diarahkan untuk memerangi manusia, sehinggalah mereka mengucapkan tiada tuhan yang berhak disembah sebenar-benarnya melainkan Allah. Jika mereka semua menyatakannya, terpeliharalah darah dan harta benda mereka melainkan dengan haknya, manakala ukuran sebenar mereka adalah terserah kepada Allah.” (HR al-Bukhari dan Muslim)

Setelah itu keimanan seseorang muslim dapat bertambah teguh dan kukuh berdasarkan sejauh mana kesempurnaan penyerahan dirinya kepada tuhannya, sekuat mana kesungguhannya menghiaskan diri dengan cabang-cabang iman yang berbagai. Sama juga iman seseorang boleh menjadi lemah berdasarkan sejauh mana maksiat yang dilakukannya dan pengabaiannya terhadap ketaatan kepada Allah dan Rasul. Kerana itu Nabi SAW bersabda:

الإيمان بضع وسبعون، أو بضع وستون شعبة, فأفضلها: قول لا إله إلا الله ـ وأدناها: إماطة الأذى عن الطريق

Maksudnya: “Iman itu ada lebih dari 70 cabang (antara 73-79 cabang), atau lebih dari 60 cabang (antara 63-69 cabang), yang paling utama ialah ungkapan Tiada Tuhan Yang Berhak Disembah Melainkan Allah, dan yang paling kecil sekali ialah menghilangkan duri (sesuatu yang menyakiti) dari jalan.” (HR Muslim)

Al-Imam Ibn al-Qayyim berkata di dalam kitab al-Solah:

Maksudnya: “Iman itu adalah satu asal yang memiliki berbagai cabang, setiap cabang dinamakan iman, maka solat termasuk di dalam iman, demikian juga dengan zakat, haji, puasa dan amalan-amalan batin terdiri dari rasa malu dan tawakkal.”

Adapun berkaitan dengan amalan-amalan soleh, jika ia terdiri dari amalan yang wajib dilaksanakan, meninggalkannya menjadi sebab berkurangannya iman. Manakala amalan-amalan sunat pula meninggalkannya menjadi sebab terlepas dari memperolehi kedudukan yang tinggi di sisi Allah SWT. Syeikh al-Islam Ibn Taimiyyah berkata:

الإيمان مركب من أصل لا يتم بدونه, ومن واجب ينقص بفواته نقصا يستحق صاحبه العقوبة, ومن مستحب يفوت بفواته علو الدرجة, فالناس فيه ظالم لنفسه, ومقتصد, وسابق

Maksudnya: “Iman itu tersusun dari asal yang tidak akan terlaksana tanpanya, terdiri dari kewajipan yang menjadi sebab berkurangan iman dengan meninggalkannya sehingga pelakunya berhak menerima hukuman, terdiri juga dari perkara sunat yang dengan terlepas dari melakukannya terlepaslah kedudukan  yang tinggi di sisi Allah. Maka manusia ada yang menzalimi dirinya sendiri, ada pula yang pertengahan dan ada pula yang terkehadapan.”


Cetak  
Wallahu a'lam