Hukum Melafazkan Perkataan "Aku Kafir"

Tuesday, February 26, 2013

Soalan:


Assalammualaikum ustaz, sy mempunyai seorang adik yg sangat degil & sering mencari gaduh antara adik yg lain dan sehingga ke satu saat, adik saya bergaduh dgn ibu saya, ibu saya meminta dia mengucap utk menahan sabar dan dengan lantang nya dia mengatakan dia KAFIR so tak perlu nak beristifar, soalan saya adakah adik saya telah murtad dan keluar dr isalam dan apakah yg perlu saya lakukan untuk menyelesaikan masalah ini? saya amat berharap ustaz dapat menjawab soalan saya td. Terima kasih.

Jawapan:

Jika adik tersebut mengucapkan kalimah kufur dalam keadaan dia sedar, maka ia dikira telah terkeluar dari agama Islam (murtad). Syeikh al-Islam Ibn Taimiyyah berkata:

فمن قال كلمة الكفر من غير حاجة عامدا لها عالما بأنها كلمة كفر فإنه يكفر بذلك ظاهرا وباطنا

Maksudnya: “Sesiapa yang mengucapkan kalimah kufur tanpa ada keperluan (yang mendesak) dengan sengaja, mengetahui kalimah itu adalah kalimah kufur, maka orang itu telah menjadi kufur zahir dan batin.” (al-Sorim al-Maslul)

            Wajib bagi orang yang sebegini dia bertaubat kepada Allah SWT dengan taubat yang bersungguh-sungguh, memperbaharui imannya dengan mengucapkan syahadah لاإله إلا الله, tiada apa-apa kafarah lain selepas dari itu. Cuma anjurkan kepadanya untuk memperbanyakkan beramal soleh, berusaha menjaga lidahnya agar tidak mengulangi perbuatan yang sama. Allah SWT berfirman:

وَإِنِّي لَغَفَّارٌ لِمَنْ تَابَ وَآَمَنَ وَعَمِلَ صَالِحًا ثُمَّ اهْتَدَى

Maksudnya: “Dan sesungguhnya Daku benar-benar akan mengampunkan sesiapa yang bertaubat, beriman dan beramal soleh, kemudian tetap di atas  jalan yang benar.” (Toha: 82)

Namun sekiranya ungkapan itu dilafazkan ketika bersangatan rasa marah dan tidak diniatkan kepada kandungan maksud kufur itu, maka insyaAllah tidak mengapa. Al-Imam Ibn Qayyim al-Jauziyyah berkata:

ومن تدبر مصادر الشرع وموارده تبين أن الشارع ألغى الألفاظ التي لم يقصد المتكلم بها معانيها، بل جرت على غير قصد منه كالنائم والناسي والسكران والجاهل والمكره والمخطئ من شدة الفرح أو الغضب

Maksudnya: “Sesiapa yang memerhatikan sumber-sumber syarak akan jelas bahawa pembuat syarak mengabaikan lafaz-lafaz yang diucapkan dalam keadaan sipengucapnya tidak meniatkan kepada maksud ucapan tersebut. Bahkan ungkapan itu dilafazkan tanpa diniatkan kepada maksudnya seperti seorang yang tidur, seorang yang terlupa, mabuk, jahil, dipaksa, tersilap kerana terlalu gembira atau terlalu marah.” (Lihat I’laam al-Muwaqqi’ien ‘an Rabbil ‘Alamin oleh al-Imam Ibn al-Qayyim)


Cetak  
Wallahu a'lam