Hukum Sedekah Pahala Kepada Nabi SAW

Para ulama berbeza pandangan berkaitan sedekah pahala amalan kepada Nabi SAW: 

Pertama: Sekumpulan ulama melarang dan beranggapan sedekah pahala amalan kepada Nabi SAW termasuk dalam perkara yang dilarang dan ditegah. Hal ini disebabkan baginda tidak pernah mengizikan hal sedemikian demikian juga berdasarkan kedudukan tinggi baginda, di mana menyedekahkan pahala amalan kepada baginda menimbulkan sangkaan baginda memerlukan sedekah pahala dari umat. Hal ini sudah tentu satu tindakan yang merendahkan kedudukan Nabi SAW.

Di samping itu, amalan soleh yang dilakukan oleh sesiapapun dari kalangan umat Baginda SAW, sebenarnya adalah sumbangan dan jasa dari baginda jua. Kerana itu setiap amalan yang dilakukan oleh umat baginda sekalipun tidak diniatkan pahalanya disedekahkan kepada baginda, pahala kepada baginda sebagai penyebab kepada berlakunya amalan-amalan soleh tetap tercatiti untuk baginda. Justeru niat sedekahkan pahala amalan saleh kepada baginda termasuk dalam perbuatan menghasilkan sesuatu yang telahpun terhasil dan ia merupakan sesuatu yang tidak perlu dilakukan. Kata al-Imam al-Nawawi RH 

إهداؤه - أي ثواب قراءة القرآن - للنبي صلى الله عليه وسلم لم ينقل فيه أثر ممن يُعتد به، بل ينبغي أن يُمنع منه؛ لما فيه من التهجم عليه فيما لم يأذن فيه، مع أن ثواب التلاوة حاصل له بأصل شرعه صلى الله عليه وسلم، وجميع أعمال أمته في ميزانه، وقد أمرنا الله بالصلاة عليه، وحث صلى الله عليه وسلم على ذلك، وأمرنا بسؤال الوسيلة والسؤال بجاهه، فينبغي أن يتوقف على ذلك، مع أن هدية الأدنى للأعلى لا تكون إلا بالإذن

maksudnya: "Dan menghadiahkan - iaitulah menghadiahkan bacaan al-Quran - kepada Nabi SAW tidak ada dinukilkan tentangnya walau satu athar dari mereka yang diikuti. Bahkan sepatutnya perkara itu dihalang, kerana di dalam perbuatannya termasuk dalam perbuatan tidak wajar yang tidak pernah diizinkan oleh baginda. Dalam masa yang sama pahala membaca al-Quran diperolehi oleh baginda dengan asas syariat baginda SAW, bahkan kesemua amalan umat baginda berada di dalam timbahan pahala baginda. Allah telah memerintahkan kita mengucapkan selawat ke atas baginda, dan baginda SAW telah menganjurkan hal tersebut, demikian juga mengarahkan kita memohon wasilah untuk baginda dan memohon dengan kedudukan baginda. Maka sepatutnya berpada dengan perkara-perkara tersebut. Dalam masa yang sama hadiah dari pihak yang lebih rendah kepada pihak yang lebih tinggi tidak dilakukan melainkan setelah mendapat keizinan." 

Kata Ibn Qadhi Syuhbah al-Asadiy al-Dimasyqiy: 

وهو المختار، والأدب مع الكبار من الأدب والدين، وأعمال الأمة من الواجبات والمندوبات في صحيفته صلى الله عليه وسلم

maksudnya: "Dan ianya adalah pandangan yang terpilih (ditegah menghadiahkan pahala kepada Nabi SAW), adab dengan pihak yang lebih tinggi termasuk dalam adab dan ajaran agama. Dalam masa yang sama amalan-amalan umat terdiri dari amalan wajin dan sunat sememangnya sedia tercatit sebagai pahala dalam lembaran pahala baginda SAW." 

al-Imam al-Sakhawi ada menukilkan dari guru beliau alHafidz Ibn Hajar al-'Asqalani yang pernah ditanya: 

عمن قرأ شيئاً من القرآن وقال في دعائه "اللهم اجعل ثواب ما قرأته زيادة في شرف رسول الله صلى الله عليه وسلم"، فأجاب: هذا مخترع من متأخري القراء، لا أعلم لهم سلفاً فيه

maksudnya:  "Tentang seseorang yang membaca sesuatu dari al-Quran kemudian berkata di dalam doanya: "Ya Allah, jadikanlah pahala apa-apa yang aku bacakan sebagai penyebab bertambahnya kemuliaan Rasulullah SAW." Jawab al-Hafidz Ibn Hajar al-'Asqalani: "Perkara ini adalah suatu yang direka dari kalangan para qurra yang kemudian. Tidak kami ketahui ada contoh dalam apa yang mereka lakukan itu." (Mawahib al-Jalil 2/545) 

Kata al-Khatib al-Syarbini: 

منع الشيخ تاج الدين الفزاري منه، وعلله بأنه لا يتجرأ على الجناب الرفيع إلا بما أذن فيه، ولم يأذن إلا في الصلاة عليه صلى الله عليه وسلم وسؤال الوسيلة

maksudnya:  "al-Syeikh Taj al-Din al-Fazariy melarang melakukannya, dan beliau memberikan sebab larangan tersebut iaitulah tidak boleh menceroboh hak pihak yang memiliki kedudukan yang tinggi melainkan dalam perkara yang diberi keizinan dan tidak diizinkan melainkan dalam berselawat ke atas baginda dan memohon wasilah untuk baginda." (Mughniy al-Muhtaj 4/111) 

al-'Allamah al-Dardir al-Maliki menyatakan: 

صرح بعض أئمتنا بأن قراءة الفاتحة مثلاً وإهداء ثوابها للنبي صلى الله عليه وسلم مكروه

maksudnya: "Sebahagian para imam (ulama ikutan) telah menjelaskan bahawa membaca al-Fatihah sebagai contoh dan menghadiahkan pahalanya kepada Nabi SAW satu perbuatan yang makruh." (al-Syarh al-Kabir Ma'a Hasyiah al-Dusuqi 2/10) 

Kedua: Harus menyedekahkan pahala amalan kepada Nabi SAW. Ulama yang berpandangan sebegini berdalilkan dengan athar dari Ibn 'Umar RA yang dikatakan pernah melakukan umrah untuk Nabi SAW selepas kewafatan baginda SAW. Namun athar ini antaranya disebut oleh al-Khatib al-Syarbini di dalam Mughniy al-Muhtaj tanpa didatangkan sanad, beliau berkata: 

جوزه بعضهم، واختاره السبكي، واحتج بأن ابن عمر رضي الله تعالى عنهما كان يعتمر عن النبي صلى الله عليه وسلم عمرة بعد موته من غير وصية. وحكى الغزالي في "الإحياء" عن علي بن الموفق - وكان من طبقة الجنيد - أنه حج عن النبي صلى الله عليه وسلم حججاً، وعن محمد بن إسحاق السراج النيسابوري أنه ختم عن النبي صلى الله عليه وسلم أكثر من عشرة آلاف ختمة وضحى عنه مثل ذلك

maksudnya:   "Sebahagian mereka (ulama) mengharuskan (hadiah pahala kepada baginda), dan pandangan ini dipilih oleh al-Subki, dan beliau berhujah bahawa Ibn 'Umar RA pernah melakukan umrah untuk Nabi SAW selepas kewafatan baginda tanpa ada wasiat dari baginda. al-Ghazzali juga telah menghikayatkan di dalam al-Ihyaa' daripada 'Ali bin al-Muwaffaq - beliau dari tabaqah al-Junaid - yang telah melakukan haji beberapa kali untuk Nabi SAW. Demikian juga daripada Muhammad bin Ishak al-Siraj al-naisaburi bahawa beliau telah mengkhatamkan al-Quran untuk Nabi SAW lebih dari 10,000 kali khatam dan menyembelih korban untuk baginda seperti jumlah begitu juga." (Mughniy al-Muhtaj 4/111) 

Selain itu, ulama yang mengatakan boleh menghadiahkan pahala amalan soleh kepada Nabi SAW juga berdalilkan dengan alasan tidak terdapat tegahan menghadiahkan pahala kepada baginda SAW. Demikian juga bolehnya melakukan haji dan puasa untuk orang yang telah mati merupakan bukti lain bolehnya menghadiahkan pahala kepada Nabi SAW. 

Kata al-Bahuti al-Hanbali RH: 

كل قربة فعلها المسلم وجعل ثوابها أو بعضها كالنصف والثلث أو الربع لمسلم حي أو ميت جاز ذلك ونفعه ذلك، لحصول الثواب له، حتى لرسول الله صلى الله عليه وسلم

maksudnya: "Setiap amalan qurbah yang dilakukan oleh seseorang muslim dan dia jadikan pahala amalannya itu atau separuhnya seperti separuh, atau 1/3 atau 1/4 untuk seorang muslim lain yang hidup atau yang telah mati adalah harus dan bermandaat untuk orang tersebut kerana keberhasilan pahala untuknya sehinggakan untuk Rasulullah SAW." (Kassyaf al-Qina' 2/147) 


Cetak  
Wallahu a'lam