Oleh: Ustaz Mohamad Abdul Kadir bin Sahak
Tulisan ini merupakan jawapan kepada artikel yang disiarkan dalam akhbar Mingguan Malaysia bertarikh 29/11/09 oleh Panel Penyelidik Yayasan Sofa, Negeri Sembilan bertajuk: Tauhid Tiga Serangkai Disyariatkan Di Dalam Islam?.
Setelah membaca dan memahami artikel tersebut, disimpulkan ia berlegar kepada satu persoalan utama, iaitulah dakwaan kononnya pembahagian tauhid kepada tiga bahagian: Tauhid Rububiyyah, Tauhid Uluhiyyah dan Tauhid al-Asma’ wa al-Sifat dimulakan oleh Syeikh al-Islam Ibn Taimiyyah RH dan pembahagian ini tidak dikenali di zaman awal Islam. Benarkan dakwaan ini?
Bagi sesiapa yang mempelajari akidah yang bersumberkan al-Quran, al-Sunnah dan pemahaman generasi al-Salaf al-Soleh, pasti akan memperakui sesungguhnya dakwaan ini amat jauh untuk dinilai sebagai suatu hasil penyelidikan ilmiah. Sebaliknya ia lebih kepada bukti kedangkalan dan kecetekan ilmu yang berpunca dari amalan taklid membuta tuli. Lebih malang kedangkalan ini disertai keegoan yang parah sehingga berani mencabar sesiapa yang dapat membuktikan pembahagian tauhid kepada tiga bahagian telah ada sebelum kurun ke tujuh hijrah lagi.
Alangkah baik jika sebelum mencabar sesiapa, Panel Penyelidik Yayasan Sofa bertindak rajin sedikit, dengan membelek kitab-kitab tafsir yang mu’tabar di sisi Ahl al-Sunnah wa al-Jamaah yang ditulis sebelum kelahiran Syeikh al-Islam Ibn Taimiyyah. Cukup dengan Tafsir al-Imam al-Tobari (meninggal 310H). Pasti dengan merujuk kepada kitab tafsir ini sahaja akan terjawab segala kekaburan dan tidak tahu. Tetapi sayang Panel Penyelidik Yayasan Sofa tidak melakukan perkara ini melainkan bertaklid kepada beberapa penulis sahaja. Untuk itu tulisan ini ditulis, supaya ia dapat mengambil tempat seperti seorang celik membimbing seorang buta menyeberangi jalan, agar selamat sampai ke seberang sana.
Maka tulisan ini memberi tumpuan dalam membuktikan pembahagian tauhid kepada tiga bahagian telah ada di zaman awal umat Islam sebelum Ibn Taimiyyah RH, bahkan telah dinukilkan di dalam kitab-kitab tafsir beberapa riwayat daripada para sahabat Nabi SAW, para Tabi’ien dan para Atba’ al-Tabi’ien umat Islam.
Tujuan Pembahagian Ilmu Islam
Pembahagian mana-mana bidang ilmu Islam adalah suatu yang diterima di sisi para ulama Ahl al-Sunnah wa al-Jamaah, bahkan diterima oleh orang-orang yang berakal sejak zaman berzaman. Ia bertujuan memudahkan proses pembelajaran dan kefahaman terhadap nas-nas (teks) syarak. Demikian juga agar gambaran umum terhasil sebelum sesuatu bidang dipelajari. Contoh mudah dalam hal ini, al-Imam al-Syafie telah menyusun ilmu Usul di dalam Fiqh Islami. Hasilnya pembahagian ini diterima oleh para ulama selepas beliau.
Kaedah pembelajaran yang tersusun dengan pembahagiannya tidak pernah terdapat di zaman Nabi SAW, bahkan pembahagian ilmu kepada ilmu aqidah, fiqh dan akhlak juga tidak terdapat di zaman Nabi SAW. Sama halnya dengan penyusunan ilmu Mustalah al-Hadith, Ulum al-Tafsir, Usul al-Fiqh dan semua bidang ilmu syariah tidak pernah disusun, dibahagi dan diasingkan mengikut pembahagian-pembahagian seperti yang ada pada hari ini. Tidak pula bermakna ilmu-ilmu ini merupakan rekaan, bid‘ah dan tokok-tambah dalam agama. Sebaliknya ia hanyalah kaedah untuk memudahkan proses pembelajaran dan pemahaman. Lalu tidak berlebihan jika dikatakan teramat jahil orang yang mendakwa pembahagian-pembahagian ilmu ini sebagai bid‘ah. Kerana itu masyhur satu kaedah di sisi ulama usul yang disebut sebagai “la musyahhah fi al-Istilah” yang bermaksud tiada pertikaian terhadap pengistilahan jika kandungan atau maksudnya benar.
Pembahagian Tauhid Dalam Kalangan Generasi Awal Umat Islam
Syeikh al-Islam Ibn Taimiyyah RH bukanlah individu pertama yang bertanggungjawab mereka-reka pembahagian tauhid kepada tiga bahagian. Sebaliknya pembahagian ini telah wujud lebih awal lagi. Perkara ini dapat ditelaah dari kitab-kitab karangan ulama yang awal. Ibn Taimiyyah yang hidup pada kurun ke tujuh Hijriyyah hanya berperanan menghidupkan semula penekanan kepada tiga usur penting dalam tauhid. Di bawah ini disenaraikan beberapa bukti yang menunjukkan pembahagian tauhid telah ada sebelum kelahiran Ibn Taimiyyah RH lagi:
Pertama: Al-Imam Abu Abdillah, Ubaidullah Ibn Muhammad Ibn Battah al-‘Ukbariy (meninggal tahun 387H) berkata:
وذلك أنَّ أصل الإيمان بالله الذي يجب على الخلق اعتقاده في إثبات الإيمان به ثلاثة أشياء: أحدها: أن يعتقد العبد ربانيته ليكون بذلك مبايناً لمذهب أهل التعطيل الذين لا يثبتون صانعاً. والثاني: أن يعتقد وحدانيته ليكون مبايناً بذلك مذاهب أهل الشرك الذين أقروا بالصانع وأشركوا معه في العبادة غيره. والثالث: أن يعتقده موصوفاً بالصفات التي لا يجوز إلا أن يكون موصوفاً بها من العلم والقدرة والحكمة وسائر ما وصف به نفسه في كتابه. إذ قد علمنا أنَّ كثيراً ممن يقر به ويوحده بالقول المطلق قد يلحد في صفاته فيكون إلحاده في صفاته قادحاً في توحيده. ولأنَّا نجد الله تعالى قد خاطب عباده بدعائهم إلى اعتقاد كل واحدة من هذه الثلاث والإيمان بها
Maksudnya: “…dan demikian itu, bahawa asas keimanan kepada Allah yang wajib ke atas makhluk beriktikad dengannya dalam menetapkan keimanan terhadap-Nya adal tiga perkara (bahagian). Pertama: Keyakinan seorang hamba terhadap rabbaniyyah (Rububiyyah) Allah, agar keyakinan ini membezakan dia dengan mazhab golongan al-Ta’til yang tidak menetapkan adanya (tuhan) yang maha pencipta. Kedua: keyakinan seorang hamba terhadap wahdaniyyah (keesaan) Allah, agar keyakinan ini membezakan dia dengan mazhab golongan musyrik, yang mengakui adanya pencipta (Allah), tetapi mereka mensyirikkan-Nya dengan yang lain di dalam ibadah (tauhid ibadah atau uluhiyyah). Ketiga: Keyakinan seorang hamba terhadap Allah dengan sifat-sifat yang wajijb bagi-Nya seperti al-‘Ilmu (maha mengetahui), al-Qudrah (Maha berkuasa), al-Hikmah (maha bijaksana) dan semua sifat yang Dia (Allah) telah sifatkan diri-Nya di dalam kitab-Nya… (oleh itu), kita akan dapati Allah ta’ala telah mengarahkan hamba-hambanya dengan menyeru mereka untuk beri’tiqad kepada setiap dari tiga pembahagian ini dan beriman dengannya.” (al-Ibanah ‘an Syariah al-Firqah al-Najiah wa Mujanabah al-Firaq al-Mazmumah, Oleh Ibn Battah, hal. 693-694).
Perkataan Ibn Battah ini amat jelas menunjukkan pembahagian tauhid kepada tiga telah wujud dan diketahui oleh para ulama yang hidup beratus tahun sebelum kelahiran Ibn Taimiyyah. Bahkan perkara yang lebih penting untuk diberi tumpuan di sini bahawa perbezaan di antara tauhid rububiyyah dan uluhiyyah telah disebut juga oleh para sahabat Nabi SAW. Dalam bukti kedua di bawah ini disertakan pandangan beberapa sahabat Nabi SAW yang menyebut tentang pembahagian tauhid:
Kedua: Ketika menafsirkan firman Allah SWT:
وَمَا يُؤْمِنُ أَكْثَرُهُم بِاللَّهِ إِلَّا وَهُم مُّشْرِكُونَ
yang bermaksud: “Dan kebanyakan mereka tidaklah beriman kepada Allah, melainkan dalam keadaan mensyirikkan-Nya.” (Yusuf: 106).
Kata ‘Ikrimah RA (seorang sahabat Nabi SAW):
تسألهم: مَن خلقهم؟ ومن خلق السماوات والأرض، فيقولون: الله. فذلك إيمانهم بالله، وهم يعبدون غيره
“Kamu bertanya kepada mereka (orang-orang musyrik): Siapa yang menciptakan mereka? siapa yang menciptakan langit dan bumi? Pasti mereka akan menjawab: Allah. Demikian itulah iman mereka kepada Allah (yakni beriman kepada Allah sebagai Maha Pencipta. Keimanan ini masuk dalam bahagian tauhid rububiyyah), sedangkan mereka menyembah selain daripada Allah (menyerahkan penyembahan kepada selain Allah, masuk dalam bahagian tauhid uluhiyyah).”
‘Ikrimah RA juga berkata:
هُوَ قَوْلُ اللَّهِ: ﴿ولَئِنْ سَألْتَهُمْ مَن خَلَقَ السَّمَواتِ والأرْضَ لَيَقُولَنَّ اللَّهُ﴾، فَإذا سُئِلُوا عَنِ اللَّهِ وعَنْ صِفَتِهِ، وصَفُوهُ بِغَيْرِ صِفَتِهِ، وجَعَلُوا لَهُ ولَدًا، وأشْرَكُوا بِهِ
Maksudnya: “Ayat ini (Yusuf: 106) merujuk kepada firman Allah (yang bermaksud): “Dan jika kamu bertanya kepada mereka (orang-orang musyrikin Mekah), siapakah yang menciptakan langit dan bumi, pasti mereka akan menjawab Allah.” Iaitulah apabila mereka ditanya tentang Allah dan sifat-sifat-Nya, mereka mensifatkan Allah bukan dengan sifat-Nya. Mereka menjadikan Allah itu memiliki anak dan mereka mensyirikkan Allah dengannya.”
Ketiga: Seorang Sahabat Nabi SAW bernama Ibn ‘Abbas RA berkata ketika menafsirkan ayat surah Yusuf: 106 di atas:
من إيمانهم، إذا قيل لهم: مَن خلق السماء؟ ومن خلق الأرض؟ ومن خلق الجبال؟ قالوا: الله . وهم مشركون
Maksudnya: “di antara iman mereka (orang-orang musyrik), apabila ditanya kepada mereka: siapa yang menciptakan langit, bumi dan gunung-ganang? Mereka akan menjawab: Allah. Sedangkan mereka mensyirikkan Allah (mensyirikkan Allah di sini ialah dalam uluhiyyah-Nya, kerana mereka telah mengakui Allah pada rububiyyah iaitulah menciptakan segala planet).”
Keempat: Qatadah RH (w117H) berkata:
في إيمانهم هذا. إنك لست تلقى أحدًا منهم إلا أنبأك أن الله ربه، وهو الذي خلقه ورزقه، وهو مشرك في عبادته
Maksudnya: “Pada Iman mereka ini, sesungguhnya kamu tidak berjumpa dengan salah seorang daripada mereka, melainkan dia memberitahu kepada kamu bahawa Allah adalah rabbnya (tuhan yang menciptakannya dan segala-galanya), Dialah (Allah) yang mencipta dan memberi rezeki kepadanya (ciri-ciri rububiyyah Allah), sedangkan dia melakukan syirik dalam ibadah (tauhid ibadah adalah semakna dengan tauhid uluhiyyah).”
Kelima: Mujahid RH (w103H), seorang tabi‘e masyhur, berkata:
إيمانُهم قولهم: الله خالقنا ويرزقنا ويميتنا، فهذا إيمان مع شرك عبادتهم غيرَه
Maksudnya: “Keimanan mereka dengan perkataan mereka: “Allah yang menciptakan kami, memberi rezeki dan mematikan kami.” Ini adalah keimanan (pada rububiyyah), dalam masa yang sama ia disertai kesyirikan pada pengibadatan (uluhiyyah) mereka kepada selain Allah.” (Lihat tafsir al-Imam Ibn Jarir al-Tobari (w310H), surah Yusuf ayat 106)
Kesimpulan
Bukti-bukti ini sahaja sudah cukup menunjukkan pembahagian tauhid kepada tiga, Rububiyyah, Uluhiyyah dan Asma’ wa Sifat bukan dimulakan oleh Syeikh al-Islam Ibn Taimiyyah RH. Sebaliknya ia telah diketahui dalam kalangan umat Islam yang awal, bahkan di sisi para sahabat Nabi SAW. Sebagai tambahan di bawah ini disebutkan beberapa rujukan lain lagi untuk rujukan dalam permasalan ini:
1. Kitab al-Tauhid wa Ma’rifah Asma’ Allah azza wa jall wa sifatih ‘ala Ittifaq wa al-Tafarrud oleh al-Imam al-Hafidz Abi ‘Abdillah, Muhammad Ibn Ishak Ibn Yahya Ibn Mandah yang meninggal pada tahun 395 Hijrah. (Jilid 1: halaman 61-116, jilid 2: halaman 14-208, jilid 3: halaman 7 hingga penghujung kitab)
2. Lihat juga perkataan al-Imam al-Qadhi Abi Yusuf Ya’qub Ibn Ibrahim Ibn Habib al-Kufi, murid dan sahabat kepada al-Imam Abu Hanifah (pemuka Mazhab Hanafi). Beliau meninggal pada tahun 182 Hijrah. Perkataannya telah dinukilkan oleh al-Imam al-Hafidz Abi ‘Abdillah, Muhammad Ibn Ishak ibn Yahya ibn Mandah (meninggal tahun 395H) di dalam kitabnya al-Tauhid wa Ma’rifah Asma’ Allah azza wa jall wa sifatih ‘ala Ittifaq wa al-Tafarrud, jilid 3: halaman 304-306.
3. Kitab al-Fiqh al-Absat, oleh al-Imam Abu Hanifah, al-Nu’man Ibn Thabith yang meninggal pada tahun 150 Hijrah, halaman 51. Ketika beliau menyebut: “Dan Allah itu diseru dari atas bukan dari bawah (isyarat kepada tauhid al-Asma’ wa al-Sifat), kerana bawah bukan daripada al-Rububiyyah dan al-Uluhiyyah sesuatupun.”
Al-Quran dan al-Sunnah melarang kita tertaklid membuta tuli kepada sesiapapun melainkan kepada Nabi SAW. Samada Ibn Taimiyyah atau sesiapa sahaja, pandangan mereka perlu dirujuk kepada al-Quran dan al-Sunnah. Diambil apa yang bertepatan dengan dua rujukan ini dan ditinggalkan yang lainnya. Untuk mengenal pasti pendapat yang lebih bertepatan dengan al-Quran dan al-Sunnah, pemahaman para sahabat dan para ulama generasi awal Islam perlu dirujuk. Maka individu-individu yang memakai gelaran agama seperti ustaz, panel penyelidik dan seumpamanya perlulah merajinkan diri mengkaji dan memahami setiap persoalan yang hendak dibicarakan, sebelum berani membuat sesuatu kesimpulan. Sikap malas dan ‘taklid buta’ perlu dijauhi, jika tidak, ada baiknya kita mendiamkan diri sahaja, agar kebodohan dan malas diri sendiri tidak diketahui ramai dan menyusahkan orang lain.