Soalan:
Salam ustaz, sebahagian orang dan ustaz mengaitkan keluarnya dajjal dengan keringnya tasik Tiberia berdasarkan hadis tamim ad dari, adakah ia benar? Kerana dlm hadis tamim ad dari hanya menyebut dajjal bertanya tgg tasik Tiberia dan mengatakan ia akan kering tanpa mengaitkan isu itu dengan kemunculannya, dan Hadis lain memberitahu tasik tersebut kering diminum yajuj majuj yg dtg selepas kematian dajjal, mohon pencerahan ustaz.
Jawapan:
Hadis yang diriwayatkan oleh Imam Muslim dari Tamim alDari boleh menunjukkan air dari Tasik Tabariyyah طبرية akan berkurangan ketika kemunculan dajjal, bukan habis atau kering keseluruhannya. Kerana dajjal ada berkata tentang airnya:
أما إن ماءها يوشك أن يذهب..
Maksudnya: "Adapun airnya (air tasik Tabariyyah) hampir sahaja akan pergi..."
Terutama dengan adanya hadis dari alNawwas bin Sam'an RA yang juga diriwayatkan oleh Imam Muslim, menunjukkan Ya'juj dan Ma'juj ada meminum air dari tasik tersebut. Ini menunjukkan air tasik itu masih ada. Keluarnya Ya'juj dan Ma'juj berlaku selepas Nabi 'Isa membunuh dajjal. Hal ini menurut athar yang dikeluarkan oleh Nu'aim bin Hammad di dalam alFitan, hadis bilangan 1279, daripada Arthoh أرطاة daripada 'Amir alAlhaniy daripada Tubai' تبيع.
Namun, hadis Tamim alDari itu juga mungkin sahaja boleh membawa maksud air itu kering keseluruhannya ketika keluarnya dajjal. Setelah itu berair semula dan diminum oleh Ya'juj dan Ma'juj setelah terbunuhnya dajjaal. Kerana lafaz يوشك أن يذهب boleh juga difahami kering keseluruhannya. Kedua-dua ini boleh difahami dari hadis-hadis tersebut. Untuk kepastian ia memerlukan kajian dan semakan yang lebih mendalam.