Ramai di kalangan ulama, bukan sedikit, tetapi ramai. Saya tak berani nak kata jumhur kerana ia perlukan semakan lanjut. Tetapi bukan dua tiga orang ulama. ramai di kalangan ulama bahkan ulama dalam mazhab Syafie yang bukan seorang dua, mengatakan tidak boleh sedekah pahala kepada Nabi Muhammad SAW. Alasannya adalah kerana Nabi SAW ini memiliki kedudukan yang tinggi. Sedekah pahala kepada Nabi adalah perbuatan menghina kedudukan baginda SAW. Nabi Muhammad tidak perlukan sedekah pahala daripada kita.
Cuba dengar perkataan orang yang nak sedekahkan pahala: “Kita sedekahkan pahala bacaan al-Fatihah ini kepada Nabi Muhammad.” Apakah kita merasakan baginda Nabi SAW memerlukan sedekah daripada kita? Baginda perlukan pertolongan daripada kita?
Baginda ketika hidup tidak menerima pemberian sedekah, Nabi hanya menerima pemberian hadiah. Ini kerana sedekah adalah kepada orang yang memerlukan bantuan, itulah sedekah. Nak sedekah pahala kepada emak dan ayah yang meninggal tak apalah, itupun menimbulkan perbezaan pendapat ulama. Tetapi Nabi Muhammad SAW, lihatlah diri kita terlebih dahulu. Apakah begini kita lakukan kepada Nabi SAW?
Sedarlah, baginda memiliki kedudukan yang begitu tinggi, tak wajar melakukan sesuatu perkara kepada baginda sebelum mendapatkan keizinan daripada baginda terlebih dahulu. Yang diizinkan kepada kita buat untuk Nabi SAW adalah berselawat, salam dan mohon wasilah, seperti yang ada dalam doa azan iaitulah: آت محمد الوسيلة والفضيلة bermaksud: “Ya Allah berilah kepada Nabi Muhammad al-Wasilah dan al-Fadhilah.” Apa dia al-Wasilah, tuan-tuan? Sedekah pahala biasa? Tidak..! Nabi Muhammad bukan ini level baginda. Level baginda adalah hendak mendapatkan wasilah bukan pahala biasa. Iaitulah satu kedudukan yang paling tinggi di dalam syurga yang tidak layak oleh sesiapapun melainkan seorang sahaja, dan baginda bersabda: “Aku mengharapkan yang seorang itu adalah aku.” Lalu siapa yang meminta wasilah untuk aku, dia berhak mendapat syafaat daripada aku.” Maka kita minta Wasilah kepada baginda, kerana baginda yang mengarahkannya.
Ramai di kalangan ulama yang kata tak boleh sedekah pahala kepada Nabi Muhammad. Sedekah pahala kepada baginda mencalarkan kedudukan baginda yang amat mulia.
Tapi saya tak nafikan ada juga di kalangan yang kata boleh. Mereka berdalilkan riwayat daripada Ibn ‘Umar yang pernah melakukan umrah untuk Nabi SAW. demikian juga riwayat daripada beberapa orang yang lain, yang didakwa dari kalangan sahabat yang dikatakan pernah buat umrah dan korban untuk baginda. Namun semua riwayat ini tidak datang dari periwayat yang sahih melainkan periwayatan yang bermasalah.
Termasuk di kalangan ulama yang tidak membenarkan sedekah pahala kepada Nabi SAW adalah al-Imam al-Nawawi RH. Oleh itu, jika hendak memuliakan Nabi, hendaklah mengikut syariat, bukan dengan memandai-mandai sendiri.