Jika telah ditakdirkan, apa perlu beramal?

 

Kata Ali bin Abi Talib radiallahuanhu: “Suatu hari kami menghantar Jenazah di perkuburan al-Baqi’ al-Gharqad. Rasulullah sallallahu alaihi wasallam datang kepada kami dan baginda duduk. Lalu kami pun duduk di sekeliling baginda. Bersama baginda sebatang tongkat kecil tidak melebihi paras pinggang. Lalu baginda menundukkan kepala baginda sambil menggaris-garis ke tanah dengan tongkat tersebut. Kemudian baginda bersabda -  waktu ni jenazah tak ada lagi, jenazah belum sampai di kubur lagi. Nabi dan para sahabat pergi ke kubur dahulu. Jenazah masih diuruskan di rumah atau tempat pengurusan. -  Nabi pegang tongkat, kemudian Nabi bersabda:  

“Tidak ada seorangpun dari kalangan kamu semua, melainkan Allah telah tetapkan tempatnya di dalam syurga atau di dalam neraka.”

Kita semua ni telah ditentukan, ahli syurga atau ahli neraka. Perkara ini termasuk di dalam takdir atau ketetapan Allah Subhanahu Wa Ta'ala.

Habis tu perlu tak kita beramal? Dah semua ditentukan sama ada di syurga atau neraka. Perlu tak kita beramal? Maka jawapannya: perlu! Kerana kita tak tahu kesudahan kita di mana. Allah pula telah memberi pilihan kepada kita, sama ada hendak ke syurga atau ke neraka.

Saya nak pesan, dalam memahami akidah, kita tak boleh faham takdir bersendirian, tak boleh! Kalau kita faham takdir bersendirian, kita akan gagal. Memahami takdir mesti bersama dengan memahami dan meyakini bahawa Allah adalah Tuhan yang Maha bijaksana. Allah tidak menentukan syurga atau neraka kepada seseorang, melainkan Allah telah sediakan sebab-sebab yang membawa kepada syurga atau neraka. Kerana Dia tuhan yang maha bijaksana. Dia bukan hanya berkuasa nak bagi jadi sesuatu, terus jadi secara terkejut begitu sahaja. Dia juga Maha bijaksana, Dia susun semua dengan detail, teliti dan dengan terperinci. Seseorang tidak akan masuk dalam syurga, melainkan dia menempuh jalan-jalan menuju ke syurga, sebab-sebab yang membawa dia ke syurga. Seseorang tidak akan masuk ke dalam neraka, melainkan dia telah menempuh jalan-jalan yang menuju ke neraka.

Wajib juga kita Imani bahawa Allah adalah Tuhan yang maha adil, tidak zalim kepada seseorangpun dari kalangan hamba-Nya. Mustahil kalau ada hamba Dia yang benar-benar nakkan syurga, beramal soleh, buat apa yang Dia suruh dan tinggalkan apa yang Allah larang, tiba-tiba Allah masukkan orang itu ke dalam neraka. Mustahil perkara itu berlaku! Kerana Allah wajib tidak zalim. Allah wajib adil.

Semua kefahaman ini mesti disekalikan. Semuanya satu pakej, tak boleh faham berasingan, tak boleh! Kerana itu Allah turunkan Rasul kepada kita, turunkan kitab, rasul jelaskan kepada kita ajaran Allah, apa yang Allah Ta'ala suka, apa yang awak Allah murka. Setelah dijelaskan kepada kita, Allah janjikan pahala berlipat kali ganda dari kebaikan yang dilakukan, Allah beri ancaman kepada pelaku dosa. Lalu Allah beri pilihan kepada kita, pilihlah jalan mana yang dikehendaki.

Kalau ada orang kata: “Nak beramal buat apa Ustaz? Allah telah tetapkan. Beramal penat-penat, tiba-tiba masuk neraka." Lalu dia tak beramal. Maka kita kata kepada orang seperti ini: "Kalau betul kamu tidak beramal sama sekali sehingga ke hujung hayat, maka sememangnya kamu layak masuk ke dalam neraka. Kalau kamu benar-benar masuk ke dalam neraka, maka sememangnya itulah yang layak untuk kamu, kerana kamu mencari-cari dan menempuh jalan ke neraka.”

Sebab itu kita kena beramal, kerana kita beriman Allah Ta'ala tidak zalim dan Allah Ta'ala Maha bijaksana. Kita tidak serahkan bulat-bulat kepada takdir kerana kita tidak tahu apa kesudahan kita. Kita juga masih diberi peluang. Jadi beriman kepada takdir perlu kepada elemen-elemen ini, supaya kita tidak salah dalam memahami takdir.


Cetak  
Wallahu a'lam