Ada sebahagian kumpulan orang Islam hari ini, kita pun tak tahu bagaimana sistem pengajian mereka, tetapi ada kecenderungan nak bawa masyarakat awam Islam, memberi fokus terus kepada Nabi Muhammad SAW. Segalanya Nabi Muhammad, minta tolong kepada Nabi Muhammad dan semuanya Nabi Muhammad.
Kita bukan kata tak boleh tawassul. Ramai ustaz telah sebut, tawassul itu ada yang dibolehkan secara ijmak dan ada pula yang menimbulkan khilaf dalam kalangan ulama, ada yang kata boleh ada pula yang kata tidak boleh.
Sedihnya hari ni, bukan sekadar tawassul bahkan hari ini ada dakwaan yang mengatakan boleh mintak tolong terus kepada Nabi Muhammad SAW.
Saya nak sebut perkara ini, tuan-tuan, para sahabat Nabi RA, mereka benar-benar memulia dan mengagungkan Nabi Muhammad SAW dalam bentuk yang hebat. Para sahabat berebut mengambil air lebihan wudhu Nabi SAW. Dalam peristiwa perjanjian Hudaibiah, sahabat berebut mengambil air liur yang diludah oleh nabi SAW, mereka sapukannya pada muka dan badan mereka.
Namun ada satu perbezaan yang besar antara sahabat yang melakukan sebegitu kepada Nabi SAW dengan umat Islam yang ada hari ini. Di mana para sahabat sekalipun mereka begitu dahsyat memulia dan mengagungkan Nabi SAW, mustahil mereka akan mensyirikkan ALlah dengan Nabi. Kenapa tuan-tuan? Iaitulah kerana sahabat yang memuliakan Nabi SAW, mencium baginda, sayang dan ambil berkat dengan janggut dan rambut Nabi SAW, ambil berkat dengan pakaian Nabi, ada yang menjadikan pakaian baginda sebagai kain kafan ketika mereka meninggal dunia, Anas bin Malik RA pula berpesan kepada anak muridnya, setelah dia serahkan beberapa helai janggut atau rambut Nabi SAW supaya diletakkan di bawah lidah beliau ketika beliau meninggal dunia, dan anak murid Anas memang meletakkan helaian rambut tersebut di bawah lidah Anas bin Malik ketika beliau meningga dunia, dan Anas dikebumikan dalam keadaan beberapa helai rambut Nabi SAW berada di bawah lidahnya.
Sahabat yang sebegini, sama sekali tidak akan mensyirikkan ALlah dengan Nabi SAW, kenapa tuan-tuan? Jawapannya ialah kerana sahabat melihat dengan jelas kemanusia baginda Nabi Muhammad SAW. Mereka melihat baginda juga bersedih sepertimana manusia lain bersedih, antaranya ketika putera baginda yang bernama Ibrahim bin Muhammad SAW, yang dilahirkan oleh Mariah al-Qibtiyyah, meninggal ketika masih kecil. Ketika dikebumikan baginda menangis dan mengalirkan air mata. Abdul Rahman bin ‘Auf, merasa hairan melihat baginda menangis sehingga beliau bertanya: “Wahai Rasulullah, dikau menangis dengan kematian anakmu?” jawab Nabi Muhammad SAW: “Wahai ‘Abdul Rahman, sesungguhnya ini adalah rahmah, adalah perasaan kasih sayang seseorang kepada anaknya, bila ada perasaan ini, akan menurutinya tangisan. Akan tetapi kita tidak akan mengungkapkan apa-apa perkataan, melainkan yang diredhai oleh Allah SWT.” Maknanya sahabat melihat jelas sifat kemanusiaan Nabi SAW.
Dalam peperangan Uhud, sahabat melihat pecah mulut Nabi. Topi perang yang baginda pakai, yang ada jaringan besi untuk melindungi muka, disebabkan hentakan kuat pada bahagian muka baginda oleh musuh, sehingga jaringan besi itu melekat di gusi Nabi Muhammad SAW. Muka baginda berdarah, gigi baginda patah. Sahabat menyaksikan semua perkara ini. Sahabat sedar baginda adalah manusia biasa seperti manusia lainnya.
Sahabat juga menyaksikan kegelisahan Nabi Muhammad SAW pada malam peperangan Badar. Abu Bakar tengak keadaan baginda, sehinggakan Abu Bakar menenangkan baginda dengan berkata: “Wahai Rasulullah, Allah telah mendengar doamu dan Allah pasti akan menolong kita.”
Oleh itu, generasi sahabat yang melihat dengan jelas kemanusiaan Nabi Muhammad SAW ini, pasti dapat bezakan antara Rasul yang memiliki sifat kemanusia dengan ALlah yang memiliki sifat yang maha sempurna. Mereka tahu bagaimana hendak memuliakan baginda sebagai seorang utusan ALlah yang dalam masa yang sama adalah seorang manusia biasa. Mereka menyaksikan dengan jelas sifat kemanusia baginda SAW. Sahabat juga menyaksikan, ketika isteri baginda SAW, ‘Aisyah RA difitnah dengan Safwan bin Mu’attal, baginda tidak dapat selesaikan fitnah tersebut, baginda sendiri gusar, baginda tanya kepada sebahagian sahabat apa yang patut baginda lakukan seperti yang disebut di dalam hadis Sahih Muslim, sehingga Ali bin Abi Talib RA berkata: “Wahai RAsulullah, wanita selain dari ‘Aisyah ramai lagi yang ada, Dikau boleh ceraikan dia dan berkahwin dengan mana-mana wanita yang kamu kehendaki, sudah pasti mereka tidak akan menolakmu.” Ini pandangan Ali bin Abi Talib, beliau menyaksikan baginda terkesan dengan fitnah tersebut. Riwayat dalam Sahih Muslim juga menyebut Rasulullah SAW sehingga kata kepada ‘Aisyah RA: “Wahai ‘Aisyah jika betul kamu lakukan apa yang dikatakan oleh orang ramai, bertaubatlah kepada ALlah, sudah pasti ALlah akan menerima taubat orang yang bertaubat kepada-Nya.” Perkataan Rasulullah SAW ini menyebabkan ‘Aisyah terkejut dan tidak sangka baginda akan kata sedemikian.
Semua yang saya ceritakan ini tuan-tuan, supaya kita sedar, sahabat yang memuliakan Nabi SAW, mereka juga tahu dan yakin baginda adalah insan sepertimana manusia lain. Berbeza dengan umat Islam hari ini. Apabila ada ustaz yang hanya memberi tumpuan kepada kelebihan dan sudut luar biasa yang berlaku kepada Nabi SAW, dalam masa yang sama mengabaikan sudut kemanusia baginda SAW, akan hilanglah keseimbangan dalam kefahaman terhadap Nabi SAW. Lahirlah sifat ghuluw dan melampau dalam memuliakan Nabi Muhammad SAW.
Kerana itu, kita seru kepada para ustaz, para tuan guru, para pendakwah, hiduplah dalam realiti hari ini. Jika sebutkan tentang kemuliaan Nabi SAW, sebutkan juga tentang sifat kemanusiaan baginda. Kita bimbang jika keseimbangan dalam seruan cintakan Nabi SAW diabaikan akan berlaku kecintaan yang melampau kepada baginda yang akhirnya boleh terjerumus dalam lembah kesyirikan. Sehinggakan Rasulullah SAW diletakkan seperti sama taraf dengan Allah SWT.
Jadilah seorang pembimbing dan penyeru kepada kebenaran. Bukan hanya fikirkan bagaimana nak menangkan kumpulan kita. Kita balik mengaji dari Yaman sebagai contoh, saya tak nafikan seorang alim yang memuji dan memuliakan Nabi SAW, jika dia benar-benar alim dia tidak akan melakukan kesyirikan. Tetapi yang lebih penting apa jaminan masyarakat awam akan selamat dari sikap ghuluw dan melampau dalam memuliakan Nabi SAW.